Wednesday, June 29, 2011

Selamat Hari Guru!!!!!

Tajuk entri benar. Tak, aku tak gila. Aku masih waras. Walaupun hari guru bulan lepas, enam belas Mei *bila mengeja entri menjadi panjang sikit* tapi tempat aku sambut sebulan kemudian which is on 16th eh! sixteenth of June *hui makin panjang ni. Harus mengeja nombor. Takut nanti tak ingat ejaan malu sahaja menjadi guru*


Pagi-pagi datang buat aerobic. Terkinja-kinja, terlompat-terlompat. Seronok kaum Adam di pagi hari dapat mencuci mata. Patutlah air-cond bahasa melayunya pendingin Hawa eh!


Cikgu Amir dah macam kena serangan heart attack


Acara wajib setiap tahun main belon berisi air. Aku insan terpilih maka belon yang dibaling dapat sahaja aku sambut. Padahal aku sambut pakai t-shirt. Hehehe. Harap-harap perut aku tidak terdedah. Malulah nampak pusat! Sambut-menyambut memang terrar tapi apabila perlu membaling macam orang cacat sahaja. Orang cacat balingannya lebih comel. Tak tahu kalau alignment tangan aku lari. Memang tersasar jauhhhhhhhh.

Tahun ini ada acara gusti lengan. Kalau aku bertanding pasti lawan aku dapat walkover. Awal-awal lagi aku dah angkat bendera putih. Tangan aku memang kecil. Tak tahu hendak explain kekecilannya. Bayangkan sahaja di usia dua puluh lapan tahun ini aku pakai kasut size empat. Sepatutnya tiga setengah tetapi tidak ada size tiga setengah maka yang lagi setengah aku pura-pura sahaja. Kalau sport shoes size tiga,tahu?! Ya, tiga!
 -__-

Lelaki-lelaki keringat mengalir membasahi leher.
Perempuan-perempuan masih tersenyum gembira. 
Main lompat getah pun seronok juga. Sakan melompat sudah pasti ada gegaran-gegaran kecil. Tak kira lelaki mahupun perempuan. Gegaran perut tak tahu berapa skala ritcher. Hihihi.
Tak sangka aku boleh melompat setinggi itu. Aku lompat dah okay. Tapi teammate aku  tu
mungkin kakinya panjang sebelah. Asyik tersangkut sahaja.


Habis bersuka-ria dan berpeluh lencun perlu tukar baju. Sebenarnya nak tunjuk yang tukar baju. Bukan gambar semasa menukar baju. Tetapi gambar setelah menukar baju. Baju dah tukar. Bukan tak berbaju.

Idayu dan Rafidah

Ya, tema tahun ini Back to School!

Kependekkanku terserlah! Kepala senget banyak makan leher ayam agaknya.

Kanak-kanak riang!

Siap dengan sling bag. 
Tag nama juga diberi kepada semua guru. Tag diberi berdasarkan ketinggian. Jadi usah buat tertanya-tertanya kerana sudah pasti aku dapat Tingkatan 1. Acara dalam dewan boleh tahan sahaja. Movie yang dipertontonkan seronok. Sound effect macam cerita tamil. Hihihi. Overall okaylah sebab habis awal tak macam tahun lepas sampai jam 3.00 petang. Aku hampir mencarut tahun lepas ditambah dengan suasana panas dalam dewan.

Harap-harap tahun depan lebih seronok dan meriah walaupun aku sudah tiada di sana. Cikgu-cikgu harus lebih sporting. Mungkin boleh buat lakonan. Asyik budak je yang berlakon cikgu-cikgunya bila pulak?

Pesta Liar di Tempat Kerja

Hui seronok betul aku dapat berpesta liar selama tiga hari. Terkinja-kinja dan terjerit sana sini macam orang hilang akal. Macam-macam gaya, macam-macam perangai. Yang berpakaian casual okay-lah kalau mahu terlompat sana-sini tapi yang pakai baju kurung pun mahu juga. Nasib baik tak ada angin kencang kalau tidak sudah pasti terangkat sana sini dan ada yang ambil kesempatan cuci mata maka bertambahlah dosa hehehe.

Kalau berdasarkan edaran sulit yang diberikan pesta liar bermula jam 3.00 petang. Tapi aku lihat 3.30 pun macam tak ada apa sahaja. Pesta liar tak ada. Yang berkeliaran adalah. Ke hulu ke hilir macam pegawai pencegah maksiat. Takut juga aku kalau-kalau kena ambush nanti masuk surat khabar. Tapi tak apa sekali sekala glamer. 

Macam biasa (betul ke biasa? Aku pun tak tahu. Hentam sahaja. Tak tahu nak guna penanda wacana yang sesuai) sebelum berpesta liar harus ambil gambar sebagai bukti aku di tempat kejadian.

 Lihat aku berbaju kurung. Bukan apa. Aku tidak mahu disaat berliar-liaran aku menjadi lupa diri. Maka berbaju kurung pilihan yang tepat supaya menjadi reminder untuk diri sendiri.


 Ini mahu terbang ke apa. Ganas nih. Gadis-gadis jangan buat ini di rumah. Bahaya tahu. 


 Jejaka hangat. Bukan hangat sebab hottt. Tapi hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hehe


 Ini seorang lagi mahu terbang. Yang hebatnya masih boleh senyum siap tayang gigi. Penting tu jatuh penuh bergaya.

 Ini mungkin geng bina badan yang dilantik menjadi bonzer pesta liar. Hati-hati jangan sampai diheret keluar.

 Pesta liar hanya dihidangkan aiskrim. Kena bayar bayar pulak tu. Cis!

 Pengebom berani mati yang Baling baling bom kepada mereka yang berpesta tak ingat Tuhan.
 Innalillahhh innalillahhh you've found your wayyyy 

 Yang berbaju kurung pencegah maksiat. Yang bertopi muka ketat mungkin dah kena tangkap

 Yang histeria dibawa ke sini. Mahu dijampi dan diubati.

 Teman sehidup sahaja

 Mangsa histeria-kah ini?


 Ini bukan DJ Dave

 Boleh buat poster filem 'Berlari ke Langit'.

Kalau tadi jejaka hangat yang ini suam-suam kuku aje. Hehehe.

Cukup-cukuplah merepek meraban. Ini bukan pesta liar. Separa liar juga bukan. Aku suka mengekzejeret perkara-perkara begini. Ini kejohanan balapan dan padang. Walaupun bukan pesta liar aksi-aksi terlompat-lompat dan terkinja-terkinja benar-benar berlaku. 

 Ini semua gambar perbarisan yang naik lenguh kaki aku berdiri. Kejap-kejap aku duduk padahal aku kena usher Encik VVIP. Mula-mula je kejap-kejap pastu aku bantai duduk terus sampai upacara perasmian. Aku dah tak berapa muda tenaga dah kurang. Harus minum kacip fatimah lepas nih!


 Aksi pakwe jambu lompat tinggi. Sumpah muka memang jambu! Asal dari Kelantan. Kalau teringin nak berkenalan jangan segan inbox aku. 


Ini bajet ayu plus hot *padahal senyum macam mintak penampar*. Gambar-gambar terakhir sebelum meninggalkan tempat yang dicintahik. Kalau nak berkenalan dengan aku pun sila inbox dengan segera. Nombor giliran akan diberi dan borang perlu diisi untuk mengelakkan sebarang kesulitan. 

~Sekian~

Thursday, June 9, 2011

Imbangan duga


Dulu zaman menengah atas aku aliran Prinsip Akaun. Aku pun tak tahu kenapa aku ambil aliran akaun. Mungkin kerana aku ini seorang yang berprinsip dan aku suka dengan duit. Hoi siapa yang tak suka duit?! Maka aku fikir Prinsip Akaun sesuai dengan aku. Rupanya apa yang aku fikir tak betul. Bukan tak betul kerana aku gila. Aku masih betul decision sahaja tak betul. Tak betul juga kalau cakap aku ni tak betul sebab sebetul-betulnya aku masih betul. Betul tak? Ok sekarang cuba baca betul-betul berapa banyak betul dalam perenggan ni. Tak apa, kalau rasa jawapan tak betul boleh buat pembetulan.

Cukup. Cukup. Cuba serius sikit. Cuba betul-betul eh!

Cikgu Norjehan. Itu nama guru yang mengajar Prinsip Akaun aku. Memang nama sebenar. Orangnya rendah-rendah tidak sepadan dengan suaranya yang lantang eh macam perli diri sendiri sahaja. Antara perkara basic untuk akaun mesti pandai buat imbangan duga. Imbangan duga adalah akaun perbelanjaan dan pendapatan. Jadi bila ditambah pendapatan bahagian debit dan perbelanjaan bahagian kredit mesti sama. Tak boleh terlebih mana-mana akaun. Sebenarnya aku pun tak pasti betul (yang ini tak usah bilang) atau tidak penerangan aku sebab aku pun ingat-ingat lupa. Aku memang tak pandai akaun dan hasilnya waktu SPM cukup-cukup kredit sahaja. Hahaha. Kalau tak faham, google sahaja pasti jawapan di depan mata.

Jadi sebelum hari kejadian aku bertungkus-lumus basah lencun ketiak untuk buat imbangan duga. Hasilnya imbangan aku tetap tergelincir. Pendapatan lebih dari perbelanjaan. Usaha tangga kejayaan. Nama pun tangga, bukan escalator atau lift yang lebih cepat dari tangga. Jadi harus sabar dan tekun untuk mencapai kejayaan. Jangan fikir yang cepat sahaja. Biar lambat asal selamat. Maka aku meneruskan usaha mencari jawapan (background lagu jika kau fikirkan kau bolehhhh, kau hampiri kejayaan).

Memang menghampiri sahaja. Tak dapat nak duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan kejayaan. Cikgu Jehan dan bilang (bukan satu dua tiga. Yang perlu dibilang perkataan betul) siapa  tak hantar homework kena denda *memang dah aku cakap guru dan denda ibarat isi dengan kuku*. Hoi memang cari nahaslah kalau tak hantar. Tak mahu aku kena denda jadi aku hantar juga walaupun jawapan aku memang tak betul (yang ini juga tak perlu).

Kalaulah malang boleh dibau pasti aku tak terkena. Cikgu Jehan semak jawapan dalam kelas pula. Ibarat telur di hujung tanduk aku menunggu giliran aku. Bukan giliran AF. Masa ni AF bukan belum ada. Yang ada AFfaf kakak aku sahaja. Sampai sahaja giliran aku,

"Widadddd (banyak huruf d tandanya dia panggil sebab tak puas hati. Ok, tak payah nak selindung. Sebab dia marah. Puas hati?)!!!! Awak buat apa ni?!"

"Saya buat imbangan duga la, cikgu" *jangan nak duga saya pula*

"Kenapa tak sama?! Kan saya dah kata akaun debit dengan kredit mesti sama?! Ni kenapa duit masuk lebih dari duit keluar?"

..diam..

"Hah, kenapa?!" Cikgu Jehan tanya lagi.


"Owh, saya songlap duit tu cikgu. Saya pecah amanah"

Ya, itulah jawapan aku sebab aku dah tak tahu nak kata apa. Akibatnya aku didenda berdiri luar kelas. Cikai betul. Dah hantar homework pun kena denda juga. Tapi 5 minit sahaja kemudian aku ke tandas sehingga habis waktu Prinsip Akaun. Hahaha. Keji betul aku!

Aku google gambar imbangan duga tapi gambar ni yang keluar. Aku pun tak tahu apa kaitannya.
Sekarang cuba kira ada berapa pepatah dan peribahasa dalam entry ini. Kalau betul ada hadiah menanti anda!

Tuesday, June 7, 2011

Man ana???

Tajuk konon macam cekang sangat bahasa arab. Tak tak. Ini bukan nak main teka-teki bahasa arab atau nak letak lirik lagu kumpulan Brothers. Nak buat extra class bahasa arab pun tak jugak. Ini nak kongsi sebuah non-fiction yang berlaku masa di UIA PJ.

Kak Melah *tipu - aku dah tak ingat nama akak ni* duduk berjiran dengan aku. Bukan jiran sekampung. Tapi jiran satu aras. Kami semua budak baru dan tak tahu siapa roommate. Kak Melah eksaited bila ada orang ketuk nak masuk bilik dia dan yeay dah ada seorang roomate. Kak Melah terus salam siap kenalkan diri dia datang dari Negeri Sembilan. "Ana dari Kelantan". Roommate Kak Melah orang Kelantan. Kak Melah dah habis eksaited sambung kemas locker pasang cadar masak air bla bla bla.

Malamnya roommate Kak Melah bawa kawan sekolah dia. Kawan sekolah dia bawa lagi kawan beramai-ramai singgah di bilik Kak Melah macam ada sambutan parti separa liar. Kak Melah tak ada kawan jadi baring atas katil pura-pura baca majalah padahal telinga dengar roommate Kak Melah sembang apa.

"Ana ingat nak tukar course la. Ana rasa tak boleh bawa course ni. Ana nak satu course dengan anti". Roommate Kak Melah nak tukar course. Kak Melah terus lagi pasang telinga.

"Ana rasa anti cuba la dulu," kawan roommate Kak Melah cuba pujuk.

Kak Melah dah mula pening.

"Ana pun rasa macam tu jugak," kawan kepada kawan roommate Kak Melah cuba bagi sokongan.

"Ana....bla..bla..bla..ana"

"Tak, ana.....ana...ana...ana"

Hoi apehal ramai sangat nama Ana ni? Macam mana nak beza Ana-Ana ni semua? Kak Melah bertambah darab kuasa dua pening.

Kak Melah jumpa aku di cafe terus tak sabar dan cerita. Kahkahkah aku bantai gelak. Ana tu saya la Kak Melah! Bukan nama dia Ana. Kasihan tak pernah tengok cerita P.Ramlee kah? Kahkahkah aku gelak lagi.

Monday, June 6, 2011

Jenis-jenis denda yang terdapat di sekolah

Guru dan denda ibarat isi dan kuku. Setiap guru mempunyai cara tersendiri untuk mendenda pelajar kerana denda juga secara tidak langsung menjadi hiburan yang tak perlu bayar bil elektrik atau beli popcorn dan air soda. Masa zaman aku sekolah aku dan denda ibarat air dicincang tak akan putus. Aku tak nafikan aku dahulu memang nakal nak arwah. Bila dah besar *peningkatan umur dan berat badan sahaja. Jangan sebut tentang fizikal, emo* aku teringin juga nak pelajar-pelajar aku rasa denda-denda yang aku lalui. Tapi aku takut nanti ada yang buat laporan mampuslah aku dihadapkan ke mahkamah malulah aku nak balik rumah pasti seluruh keluarga ditohmah.

1. Pakai telekung sembahyang
Aku dahulu sekolah agama. Kalau dah sekolah agama tudung mesti labuh. Diri yang kecil suka mengambil kesempatan pakai tudung kecil. Biasanya aku selamat tapi sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah tapi aku ibarat terjatuh ke simen. Luka pedih sakit kalau mandi tak nak bagi kena air. Aku dihadapkan kepada warden. Nasib baik bukan aku seorang sahaja dua tiga orang kawan aku juga terkena maka kalau didenda tidaklah malu. Akibat tak dengar kata dan belagak pandai kami didenda pakai telekung semayang untuk sesi persekolahan. Malu tak usah cerita tapi bajet cool macam tak ada apa-apa. Nasib aku sangat baik sebab kelas aku tak ada lelaki. Kelas kawan-kawan denda *kawan masa denda sahaja* yang lain ada lelaki. Tapi budak lelaki keji juga. Kelas aku bersebelahan library maka hari itu pengunjung library lebih dari biasa kerana nak tengok aku pakai telekung pergi sekolah. Malu usah cerita la. Rasa mahu maki tapi dalam hati sahaja.

2. Tabik hormat
Duduk di asrama dan culas untuk prep. Dalam satu minggu aku akan buat apa sahaja untuk sekurang-kurangnya tak pergi prep. Duduk dalam locker perkara biasa, sembunyi bersama syaiton di bilik air selalu juga. Hahaha nasib baik dah besar jadi 'orang' juga. Macam biasa aku dan rakan-rakan bekerjasama untuk ponteng kelas prep. Tapi kami tergelincir dari jalan yang lurus. Ingatkan line sudah clean and clear ibarat air yang tenang tak ada buaya tapi ada godzilla rupanya. Bila dah kena tangkap didenda beratur di tepi jalan naik ke asrama dengan pakai uniform sekolah. Setiap kenderaan atau pelajar lalu kena bagi tabik hormat. Sudahlah cuaca panas membunuh rasa macam mahu berlakon pengsan lantas buat keputusan untuk duduk dan main batu seremban. Hahaha memang keji kami semua.


3. Bertaubatlah sebelum terlambat
Malam itu tak ada kelas prep. Aku dan rakan-rakan lepak di sekolah sambil mengeji peraturan sekolah yang ketat dan sendat. Aku dah bilang cakap malam dengar-dengar dan memang sungguh ada warden yang dengar. Kerana marahkan peraturan kami cakap nak bakar sekolah. Hanya sebut sahaja, malaikat di kiri pun tidak menulis lagi. Encik warden mendenda kami sembahyang sunat taubat dari jam 9.30 malam hingga pukul 12.00 tengah malam. Setengah jam yang pertama sahaja aku buat betul-betul lepas tu sudah tidak ketahuan. Entah berapa kali kami semua terbatal air sembahyang dan setiap kali berwuduk terasa was-was sahaja. Hihihi

4. Tazkirah
Mulut aku ibarat murai tercabut ekor. Bukan aku sahaja. Kawan-kawan aku pun sama juga. Bersembang di surau selalu terkantoi dengan ustazah dan pengawas. Akibatnya aku antara penyampai tazkirah terkemuka di surau. Masa mula-mula memang malu lama-lama dah jadi muka tembok. Bagus juga kerana sedikit sebanyak menambah ilmu di dada.

5. Alih bahasa
Aku tak ingat masa tingkatan berapa. Tapi kami satu kelas tak siapkan homework bahasa arab. Yang tak buat langsung pun ada tapi bukan aku. Kami didenda untuk pilih satu lagu dan translate lagu tersebut ke dalam bahasa arab. Rasa mahu menangis tapi tahan sahaja. Sewaktu ustaz suruh buat pembentangan aku pura-pura pening dan berehat di bilik sakit. Hihihi.

6. Sembahyang atas tar
Bukan sembahyang di jalan TAR yang ada jual kain dan tudung murah tu. Ini jalan tar di depan surau. Malang memang tak berbau. Aku lambat bangun untuk subuh dan didenda sembahyang jemaah di atas tar. Aku sembahyang langsung tak khusyuk tapi berlakon konon tawaduk kerana menundukkan pandangan sepanjang berlangsungnya denda tersebut. Memang aku insaf dan tak pernah lagi didenda *padahal kalau dah lewat aku sembahyang di dorm sahaja*.

Zaman sekarang dendanya lain pula tapi tak boleh extreme kelak mengundang bahaya pada kerjaya. Tapi satu yang aku respect cikgu-cikgu aku tak pernah pandang negatif pada mana-mana pelajar tak kira betapa nakal atau jahat pelajar tersebut. Layanan masih sama dan kesalahan lalu tak diungkit.

"SAYA SAAAAYANG CIKGU-CIKGU SAYA"

Sunday, June 5, 2011

Tips-tips menghadapi mock interview

Pelajar tingkatan 4 sekolah aku semua mungkin makan tak kenyang tidur tak lena dan mandi tak basah. Bukan kerana result PPT tapi tengah gabra sebab buka sekolah ni dah start mock interview. Haha padan muka siapa suruh belajar kat sini. Macam-macam soalan mereka tanya sehingga kalau aku charge satu soalan satu ringgit aku sudah boleh bayar bil air rumah aku selama 4 bulan. Tapi kerana aku ini guru maka tak boleh berkira nanti orang tuduh guru tak ikhlas mengajar. Aku sudah dua kali menjadi interviewer jadi boleh untuk aku bocorkan sedikit tips. Jadi sila tadah bahagian yang bocor itu.

1. Pengetahuan am
General knowledge mesti tiptop. Kalau nama-nama menteri, nama sultan, nama agong mesti ada dalam kepala hotak. Nama penuh wokayy. Bukan setakat jawab Abdul Halim atau Sultan Mizan. Kau jangan ingat mereka bapa saudara atau jiran belakang rumah. Itu baru bab nama belum lagi tempat kau nak pergi. Tempat yang kau nak pergi tu pun kau mesti tahu latar belakang. Kalau bab suruh buat latar belakang lagu Justin Bieber kau hafal sangat, sekarang hamek kau! Mesti boleh beza antara UK, London and England. Ini soalan fevret Madam Hajar.


2. Communication Skills
The main objective of mock interview is to develop the communication skills of the interviewee. Jadi SILA BERCAKAP. Jangan buat macam duduk kat library walaupun sesi mock interview kau kat library padahal hari-hari lain kau pergi library mulut berkicau macam sebelum ni kau bisu setahun. Akan ada sesi kumpulan kau dapat tajuk then discuss. Yang ini biasanya berkait dengan general knowledge and current issues. Ini kadang-kadang globalisasi pun tak tahu. Langgan newspaper setiap hari baca hiburan sahaja inilah padahnya.

3. Kera dihutan disusui, diri sendiri mati terkangkang.
Ini namanya perlibahasa. Interviewer mintak kau cerita pasal diri kau. Kami bukan nak dengar adik-beradik kau 13 orang buat apa, abang kau engineer kat mana, kakak kau pakar apa. Tak. Tak mahu. Yang bab keluarga cerita sikit sahaja. Yang penting cerita pasal diri sendiri. Apa yang dah dicapai, akademik, kokurikulum jawatan. Masa ni lah kau perlu riak dan takbur tentang diri kau walaupun kau Majlis Syura atau bakal ketua BADAR hehehe.

4. Course/Bidang
Yang ni pun ramai jugak terkena. Kata nak amek medic tapi Biology dapat D. Pandai-pandailah jawab. Lepas tu mesti tahu dah amek course ni boleh kerja apa, kerja yang macam mana. Dekat sini pun ada opinion-giving question. Contoh kau ambil Civil Engineering. Interviewer mungkin akan tanya isu jalan runtuh, lebuhraya retak. Kalau amek pharmacy, easy access to drug. Hah, jangan nak tunjuk muka kelat. Jawab sahaja yang penting confident bukan jawapannya confidential.

5. Miscellaneous
Yang lain-lain mungkin perkara-perkara kecil sahaja. Jangan lupa bagi salam pada interviewer walaupun kau tak suka dia. Duduk mesti tegak. Muka jangan ketat macam lepas makan jeruk masam nak arwah. Kalau interviewer suruh nyanyi belasah saja. Pitching lari kau kejar sampai dapat Bila sesi wrap-up pun jangan buat muka. Kalau suka ambil buat pedoman kalau tak suka ambil buang jauh-jauh. Bila speaking jangan pakai taram sampai interviewer pun tak faham kau cakap apa.
Aku rasa itu sahaja tips-tips yang boleh ditadah. Tak payah risau, nama pun mock. Habis-habis pun kena deliver public speaking. Aku rasa interview yang dalam kubur lagi takut walaupun kau jawab sambil baring sahaja. Tsk tsk. Nasib baik zaman aku ada mock wedding sahaja. Hahaha best gila sebab main kawen-kawen tak perlu baca apa.

Jenis-jenis guru yang terdapat di tempat aku (Part I)

Manusia dilahirkan dengan pelbagai ragam. Kalau semua manusia sama, tak syioook lah kan. Di sekolah aku ada macam-macam jenis guru. Guru-guru ini dikategorikan berdasarkan sikap dan approach mereka pada pelajar dan rakan-rakan sekerja. Sekiranya anda seorang guru, anda rasa kategori manakah yang paling hampir dengan diri anda.

1. Guru bajet bagus
Guru bajet bagus ni mana-mana pun ada. Bukan sahaja di kalangan guru, di kalangan pelajar, adik-beradik, saudara mara juga ada. Guru yang bajet bagus ni suka meletakkan salah pada pelajar tanpa mencermin diri dahulu. Mungkin cermin mereka retak seribu (cindai). Kadang-kadang sesama guru pun macam tu juga. Mereka sahaja eh! Tak boleh guna mereka nanti ada yang terasa buat laporan pula. Kahkahkah. Sesama guru pun dia sahaja yang betul. Guru yang bajet bagus ni umpama prefect di kalangan guru. Mungkin zaman sekolah dulu tak terpilih jadi pengawas bila dah jadi guru nak balas dendam. Hihi

kau pikir kau hebat sangat




2. Guru sugar high
Sugar high di sini bukan sebab guru ini sweet urine (ada budak tulis sweet urine masa time exam. kahkahkah) atau suka makan benda manis. Tak elok kaki kena potong insaf pun tak guna. Guru yang sugar high guru yang energetic dan banyak ketawa. Kebiasaannya guru sugar high mempunyai suara yang lantang macam komando askar. Aku rasa aku sugar high sebab setiap hari aku mesti gelak kadang dah macam kebas mulut dan pipi dan terus rasa awet muda. Ok, perasan. Takpe perasan macam ni, jangan perasan bagus sudah kelak dibenci.

3. Guru komando askar
Kalau suara high-piched boleh gegarkan gegendang telinga dan cairkan najis mutawasitah di dalam telinga, maka anda memang guru komando askar. Selalunya guru disiplin memang guru komando askar. Tapi masa zaman aku sekolah guru disiplin aku baik sampai aku tak sampai hati nak buat jahat tapi hang buat jugak kan -__-  Di tempat aku mengajar guru komando askar terbahagi kepada dua. Ada komando askar Israel (yang ni memang garang nak arwah), ada komando askar kadet remaja sekolah. Hihihi

4. Guru lindungan kaabah
Guru lindungan kaabah guru yang memiliki akhlak terpuji  tidak mengumpat tidak mengeji dan sudah pasti bukan diri ini. Di tempat aku seorang sahaja guru lindungan kaabah ini. Orangnya memang baik dan sangat lemah lembut. Kalau ada orang tengah mengumpat dia mesti terus bangun tak mahu dengar. Tapi yang baiknya dia tak ada buat muka tapi senyum memanjang. Aku rasa nak insofff bukan nak restoren mamak Insof tu tapi sebutan insaf dalam allughatul arabiyah.

5. Guru MIA
MIA person is everywhere. Di kalangan guru pun adaaa. Pun ada dua jenis. Ada yang jenis memang hilang tanpa diketahui sebab musabab ada yang hilang konon-konon kau lah manusia paling sibuk. 

6. Guru kool.
Bukan bukan. Bukan sekolah Shahrukh Khan dalam Mohabbatein tu. Ini guru yang cool sahaja. Orang lain semua tengah stress dia relax sahaja macam tak ada kerja. Orang lain berdebar takut kena marah dia senyum sahaja. Kadang-kadang aku jeles dengan guru yang macam ni tapi aku memang selalu nervous. Kadang-kadang tak ada apa-apa pun tapi datang sekolah rasa berdebar-debar. Harap-harap bukan masalah jantung. Ameen.

Mungkin lepas ni Jalil Hamid boleh buat lagu pasal guru jugak sebab sebenarnya ada banyak lagi jenis-jenis guru cuma aku dah malas ataupun boleh KIV nanti sambung buat entri baru hehehe. Okay, sekarang mahu bersiap pergi kenduri kahwin dan perlu bersedia secara mental dan fizikal kerana aku akan ditanya bila pula kenduri aku dan bila tertekan fizikal akan memberi ereksi mahu makan banyak. Tsk tsk.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...