Sunday, August 28, 2011

Kalau Lapang Datang Rumah Terpelahang

Apa itu terpelahang?

Merujuk kepada Bini Pak Ngah yang masih cantik jelita terpelahang bermaksud terbuka luas. Orang utara biasanya memang tahu apa maksud terpelahang. Orang Pahang pun belum tentu faham maksud terpelahang walaupun bunyi perkataan tersebut hampir sama dengan nama negeri mereka. Untuk menjelaskan maksud terpelahang aku akan memberi beberapa contoh ayat. Ayat-ayat ini kebanyakkannya digunakan oleh Bini Pak Ngah;

Situasi 1
Bini Pak Ngah ada urusan di luar dan seperti biasa mengingatkan (membebel) pada anak-anak sebelum keluar
"Pintu tu jangan dok biaq terpelahang. Kalau nak pi mana-mana kunci pintu, tutup tingkap semua"

Situasi 2
Bini Pak Ngah baru pulang dari urusan di luar dan mendapati pintu terbuka luas tanpa ada sesiapa di tingkat bawah
"Yang dok biaq pintu terpelahang tu pasaipa? Nak bagi pencughi masuk ka?" (dan sila-sila sambung dengan ayat-ayat lain berdasarkan situasi anda ingkar pada perintah emak anda)

Maaf. Aku bukan mahu mengajar bahasa. Tapi sudah menjadi kebiasaan aku memberi penerangan sesuai dengan kerjaya pilihan aku.

Baiklah. Sebenarnya entri ini bertujuan mengundang rakan-rakan (yang betul-betul kawan dengan aku) dan pelajar-pelajar aku datang ke rumah arwah ayah aku (aku belum ada rumah) untuk menjamah hidangan yang sudah pasti membuat perut anda naik sedikit kecuali anda sudah mula berpuasa enam. Awas. Pelajar-pelajar yang selalu bersangka buruk dan banyak menganiaya pelajar-pelajar lain tidak digalakkan hadir kerana kelak mungkin hati anda bakal disakiti.

Sekiranya berkelapangan jemputlah datang ke rumah terpelahang pada hari raya kedua. Pakai seluar atau kain yang longgar di pinggang supaya mudah makanan menerjah masuk. Jangan pula terlalu longgar kerana aku tidak mahu sambutan rumah terpelahang bertukar menjadi parti buih dengan kehadiran stripper.

Selamat Hari Raya Eidulfitri. Maaf Zahir Batin kepada semua yang mengenali aku sama ada secara live atau tertunda. Maaf juga kerana tidak ada duit raya tahun ini.

Oh ya. Rumah Terpelahang maksudnya Rumah Terbuka. Kalau lapang datang. Kalau sempit tak payah datang.

Lapang lawannya sempit kan?

Monday, August 15, 2011

Tahan air mata dan jangan rindu

Aku terlalu sibuk di bulan Ramadhan ini. Terlalu banyak yang perlu diselesaikan sehingga Bini Pak Ngah kata muka aku tak berapa manis. Mungkin kerana kurang gula akibat dari berpuasa.

Aku akan kembali. Sila rindukan aku bermula sekarang.



Saturday, August 6, 2011

Cuaca Panas Rasa Nak Minum Tapi Nanti Batal Puasa

Cuaca sekarang memang panas. Kalau pelajar sekolah yang berhampiran sempadan Thailand tempat aku mengajar dulu akan cakap panas tahap. Tahap di sini bermaksud sangat. Very. Jiddan (nak tunjuk terrar bahasa Arab).

Memang cuaca sekarang panas. Bulan puasa pukul 11.00 pagi dah rasa mahu minum. Mulut kering, tekak perit rasa macam kat Africa (padahal tak pernah pun pergi Africa).

Bila sebut panas semua orang cakap tentang global warming atau pemanasan global. Tapi kalau yang menjawab rungutan aku tu (cuaca panas tak tahan) budak science bajet pandai nak jadi doktor laa. Kalau di kalangan yang bajet lindungan kaabah mesti cakap neraka nanti lagi panas. Macam-macam jenis jawapan yang sewaktu dengannya seperti;

'Akhirat nanti lagi panas'

'Ini baru panas dunia'

'Neraka nanti lagi panas' (Eh. Yang ini dah cakap tadi)

Kesimpulannya semua cakap benda yang sama.

Yang aku hairannya, mereka yang cakap neraka lagi panas nih, tahu macam mana? Dah pernah pergi ye?


Friday, August 5, 2011

Kuiz Agama Sempena Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Wahhh entri-entri di bulan puasa memang kena bagi salam ye? Mungkin kerana tajuk entri yang berkisarkan keagamaan maka memulakan entri dengan memberi salam menjadi lebih afdal. Alhamdulillahi rabbil 'alimin. Wassolatu wassalamu ala ashrafil ambiya iwal mursalin. Wa'ala alihi wassohbihi ajma'in. Nampak tak. Sekarang entri ini menjadi lebih afdal dan lebih panjang. Hihihi. Tapi tak apa. Anda yang membaca mendapat pahala. Tak perlu berterima kasih. Menjadi tanggungjawab sesama orang Islam. Ok. Tiba-tiba rasa macam skema tulis eh. Taip macam ni. Bercakap tak apa tapi bila mengarang rasa macam an awkward moment.

Sempena dengan bulan ramadhan bulan puasa menambah iman maka aku sangat berbesar hati untuk menganjurkan Kuiz Agama Edisi Ramadhan. Syarat-syarat penyertaan sangat mudah. Pastikan anda beragama Islam dan telah bersunat. Yang tak sunat lagi tak boleh masuk wokey. Hadiah cuma untuk pemenang utama iaitu pakej percutian ke Istanbul (peewiittt *tepuk tepuk*). Setiap peserta yang menjawab semua soalan dengan betul akan menerima sijil penyertaan walaupun tak menang *tepuk lagi*

Wahhh murah hati betul cikgu ini *terharu*



Soalan pertama:










Ok. Aku tipu sahaja.

Ingat aku kaya macam Rosmah ke? Aku mana ada duit. Hutang PTPTN pun belum habis bayar mahu sponsor hadiah ke Istanbul. Tunggulah aku dapat suami jutawan. Hadiah pergi bulan pun aku offer. Eh. Kenapa perlu minta suami jutawan. Lebih baik aku yang jadi jutawan. Kalau suami jutawan tak mustahil dia akan kahwin lebih dari satu.

Ekceli pada hari keempat berpuasa aku telah mengadakan kuiz agama di dalam kelas. Kelas yang di hujung waktu dan pelajarnya juga kelas hujung-hujung buat aku geram kerana semua bising seperti tak berpuasa. Walaupun mengajar Bahasa Omputeh aku mempunyai pengetahuan agama yang aku rasa melayakkan aku menyertai Ustazah Pilihan tetapi dari segi umur telah terlebih walaupun rupa nampak macam remaja sekolah. Ok. Aku perasan. Namun dari segi aplikasi pengetahuan adalah kurang (banyak) jadi malu juga mahu pergi audition -_____-

Bilangan pelajar seramai 25 orang bisingnya seperti 100 orang. Suara masing-masing seperti ada build-in microphone. Aku pula malas mahu marah-marah kerana kelak pahala puasa kurang (dan hilang keremajaan). Maka aku meminta semua pelajar berdiri dan siapa yang mahu duduk perlu jawab soalan. Masing-masing pegang buku latihan English sambil selak-selak kamus kerana mereka menjangkakan soalan berkisar Bahasa Omputeh. Bukan aku memandang rendah pada mereka tetapi aku pernah tanya Things You Can See in Classroom. Ada yang jawab dog, frog, chicken. Huii ini sekolah ke zoo? Bila aku kata tak ada masing-masing terpisat-pisat. Aku tanya apa maksud dog dia jawab monyet. Ahhh. Banyaklah kau punya monyet. Kesimpulannya menyakitkan hati sahaja.
Aku lebih rela mereka tidur dari buat bising
Maka aku terus tanya soalan. Soalan aku yang pertama, 'Bagaimanakah niat puasa di bulan Ramadhan?'. Seorang sahaja yang angkat tangan. Yang lain semua muka puzzle. Nasib baik jawab betul. Soalan aku yang seterusnya, 'Bacakan doa sebelum makan.' Budak perempuan confident angkat tangan dan aku pun suruh dia baca.

Allah humma barik kana. Fi ma rozak kana. Wa kina 'azabannar

Kana kana. Entah datang dari mana buah kana. Mahu ketawa tapi macam kasihan. Maka anak ustaz yang iman tak dapat diwarisi ini mengajar sebutan yang betul.

Soalan seterusnya, 'Bacakan surah al-asr.' Ada tiga orang yang angkat tangan dan aku suruh ketiga-tiganya baca bersama-sama.

Wal asr. Innal insana lafi khus. Innallazi naamanu wa'amilussolihat.
Wa taawasau bis sob. Wa taawasau bis sob.

Astaghfirullah. Istighfar panjang aku. (ciri-ciri Ustazah Pilihan). Memang ketiga-tiga baca dengan kesalahan yang sama.

Macam-macam soalan aku tanya. Niat sembahyang fardhu pun tak boleh jawab. Sembahyang subuh jadi empat rakaat. Doa iftitah dan surah al-fatihah pun tak dapat nak beza. Memandangkan masing-masing mengaku puasa aku bertanyakan tentang solat tarawikh. Kebanyakkan pelajar lelaki mengaku pergi masjid sembahyang tarawikh *tapi sembahyang Subuh tak buat padahal semua bangun sahur*.  Maka sesi kuiz diteruskan dengan 'Bagaimanakah niat sembahyang tarawikh?'. Ramai-ramai mereka jawab,

Assolatu jamiah rahima kumullah. Assolatu laillah....

-____________________________-

Kau tengok. Niat sembahyang dengan selawat pun tak tahu. Wajib mereka malu dengan anak buah aku yang masa tadika dah tahu semua bab solat. 

Sesi kuiz agama tamat dengan penuh rasa kecewa. Mak ayah budak-budak ni buat apa di rumah. Kalau semua benda mahu sekolah yang ajarkan tak perlulah ada anak. 

tak tsk
Moralnya di sini ibu bapa sila jalankan tanggungjawab anda. Kalau anda tak pandai carilah guru untuk mengajar anda dan anak-anak anda. Agama itu penting tahu especially bab sembahyang. Tuhan tak akan tanya berapa koyan duit yang kau dah sedekah. Tuhan tak akan tanya berapa kali kau puasa sunat, berapa kali kau pergi umrah. Tuhan tanya bab sembahyang dulu. Jangan tahu buat anak dan beranak sahaja. 

Strike while the iron is hot
Melentur buluh biar dari rebungnya

Monday, August 1, 2011

Perkara-perkara yang aku suka tentang puasa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana di hari yang penuh barakah ini dapat kita berkumpul dan menghirup udara segar (inhale). Ya. Udara di kampung aku masih segar kerana berhadapan dengan rumah aku ada sebuah gunung. Diulang, sebuah gunung. Bukan dua. Satu sahaja. Tetapi gunung ini menjadi mangsa manusia-manusia rakus kerana telah menjadi gondol. Bukan digondol kerana mahu bina rumah atau shopping complex macam Queensbay tetapi kerana sumber batu kapur. Wah, macam berilmiah sahaja entri kali ini. Ahh tak perlu aku cakap manusia rakus kerana aku rasa kalau aku punya lesen untuk menembak batu kapur sudah pasti berkoyan-koyan duit aku ada. Biasalah manusia, bila ada peluang depan mata mudah jadi haloba. Termasuklah aku. Hehehe

Ramadhan tiba lagi. Aku harap semua berjaya mengganti puasa sebelum tibanya Ramadhan. Aku tinggal puasa 6 hari sahaja dan telah berjaya memuasa enamkan puasa-puasa ganti tersebut. Tahun ini kebarangkalian untuk tidak tinggal puasa sangat tinggi. Awas. Aku tidak makan sebarang ubat ataupun kerana pregnant tetapi kerana kitaran kewanitaan aku yang sebegitu rupa *tak perlulah aku describe rupanya. Dah besar nanti mesti tahu. Kalau tak tahu juga tunggu la dah menikah nanti* makanya aku berpotensi untuk berehat dari mengganti puasa, insyaallahhh insyaallahhh. Walaupun bulan puasa perlu menahan lapar dan dahaga *dahaga kasih sayang tak perlu ditahan* ada beberapa perkara yang aku suka tentang puasa. Bahasa mudahnya aku antara manusia yang sukakan bulan puasa. Wahh macam bagus sahaja. Bajet nak masuk Ustazah Pilihan kah? Kahkahkah.


1) Menurunkan berat badan
Kerana perlu menahan lapar dan dahaga makanya berat menjadi lebih jinak dan manja untuk melakukan penurunan. Untuk pengetahuan semua berat aku 43kg. Mungkin ada cakap, ah gediklah minah ni nak kurus lagi. Tetapi harus juga untuk tahu tinggi aku cuma 149cm. When I was younger (maksudnya sekarang masih muda) berat aku cuma 38kg. Entah kenapa bekerja di Langkawi dahulu angin pantai yang panas dan masin membuatkan nafsu makan dan perut berereksi secara luar biasa dan berat badan menjadi liar naik sehingga 46kg. Oemjee. Namun terima kasih Herbalife yang telah membantu aku menjinakkan berat badan aku menjadi 41kg.
Seri ayu - kuih yang selalu menjadi pilihan
Di bulan puasa hanya waktu bersahur sahaja aku makan nasi. Kadang-kadang bihun sup dan kemudian nasi dan nasi. Aku kategori wajib bersahur dan makan makanan berat. Tanpa makanan berat maka aku menjadi tak bermaya rasa mahu curi-curi buka puasa tapi tersedar semua tu berdosa. Sesi berbuka puasa aku sangat mudah. Tak perlu air berais yang berwarna-warni. Tak perlu lauk-pauk seperti rakan syaiton. Aku hanya minum air teh o panas atau milo panas secawan. Makanan pula hanya tiga atau empat biji kuih. Bukan empat jenis. Empat biji sahaja. Kadang-kadang murtabak. Memang tidak ada nasi yang hanya membuatkan perut berat dan kemudian berpura-pura tak larat untuk berterawikh.

2) Murtabak Abang Man
Pasar Ramadhan dan bulan puasa bolehlah diibaratkan seperti isi dan kuku yang tiada sekam. Aku juga antara pengunjung tegar pasar Ramadhan. Tetapi pasar Ramadhan di tempat aku sahaja kerana ada murtabak Abang Man yang super duper delicious dan aku percaya Khairul Bariyyah pasti sedang meroyan dan meronta-ronta mahu pulang dan makan murtabak Abang Man. Hahaha  *sila kesali kerana tidak berada di rumah* Murtabak ini hanya dijual pada bulan puasa. Masa zaman aku sekolah rendah setiap hari dijual tetapi kemudian menjadi bermusim sahaja seperti Prosperity Burger McD. Aku tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kelazatan murtabak ini. Saiznya yang kecil comel macam owner blog ini, kaya dengan kolestrol seperti daging dan minyak, memang tidak ada tandingan.

3) Bazar Ramadhan
Aku tak tahu pada orang lain pasar Ramadhan dan bazar Ramadhan mungkin tidak ada bezanya. Tetapi pada aku ada perbezaan selain dari ejaannya. Bazar Ramadhan menjual kelengkapan beraya seperti baju, sampin, tudung, dan songkok. Kasut dan sandal pun ada dijual tetapi kualiti dan nilainya mungkin tidak seperti Crocs yang melihat harganya sahaja terus mengucap panjang seperti anak Pak Imam terkantoi dengan ayahnya ketika menonton video .3gp. Di tempat aku lokasinya juga berbeza dan waktu perniagaan bazar ramadhan lebih panjang berbanding pasar ramadhan. Kepanjangannya tidak pula aku ukur kerana otak aku lembab sikit nak mengira.


Setiap kali Ramadhan aku akan memborong tudung seperti mahu berniaga. Aku tidak terpengaruh dengan gaya tudung Indonesia yang ada awning boleh kurangkan tempias ketika hujan atau melindungi sinar UV ketika cuaca panas terik. Tudung jenis shawl juga tidak mendapat tempat di hati kerana aku risau terbelit leher sendiri mati belum sempat nak bernikah. Tudung yang seperti nama ikan masih menjadi pilihan.

4) Program tv yang tidak merapu
Kedatangan Ramadhan juga memberi perubahan kepada stesen tv. Slot telenovela yang memaparkan pelakon wanita dieksploitasi lalu mendedahkan benjolan-benjolan yang aku tidak mahu ulas panjang-panjang diberhentikan untuk mengurangkan pengurangan pahala puasa. Hehehe. Cerita-cerita hantu yang buat aku tak takut tetapi lebih kepada memaki hamun kerana hantunya langsung tidak menakutkan dan rupa pula buruk sehingga menyesal tengok cerita bodoh begini, juga tidak ada dan digantikan cerita-cerita yang memberi pengajaran tetapi hanya insaf sekejap sahaja kemudian aku pun dah lupa. Hahaha. Keji betul perangai. Setiap petang pasti ada rancangan memasak. Mulut aku pasti akan berbunyi 'sedapnyaaa. Kita cuba buat mak' tetapi hampeh. Semuanya bersifat sementara. Begitu juga dengan resepi kuih raya. Sekadar menghabiskan kertas dan dakwat pen atau menumpulkan pensel.

5) Mengurangkan dosa mengumpat
Terus terang sahaja setiap hari pasti ada perkara yang diumpat. Ada umpatan yang dibenarkan ada juga seperti makan daging saudara sendiri -___- Apabila tidak dapat makan dan minum maka tidak boleh rejuvenate tubuh badan dan restore tenaga untuk bercakap. Penggunaan tenaga untuk bercakap haruslah diminimakan secara optimum kerana kelak akan meletihkan diri sendiri. Maka sesi umpatan dan kejian ditangguhkan ke waktu lain yang lebih bersesuaian. Hehehe.

Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang aku suka tentang Ramadhan. Selain dari emak yang tiba-tiba menjadi rajin membuat pelbagai jenis kuih *Khairul Bariyyah, sila teruskan kecemburuan* aku juga menjadi lebih rajin ke dapur. Kebiasaannya aku memang dah rajin tetapi di bulan puasa tahap kerajinan meningkat sehingga menjadi pilihan untuk dibuat menantu. Hehehe. Ayuh kita tingkatkan prestasi bulan Ramadhan.Aku harap tidak ada yang aku kenali akan menjadi penumpang van mayat pada bulan puasa kali ini. Percaya atau tidak orang yang tinggalkan puasa sebenarnya tak takut Tuhan tetapi lebih takutkan manusia kerana sekiranya perbuatannya dilihat sudah pasti cerita tersebut akan dijaja. Tapi kalau Tuhan nampak tak apa. Tuhan tak bagitau kat orang lain (tazkirah selingan)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...