Sunday, August 28, 2011

Kalau Lapang Datang Rumah Terpelahang

Apa itu terpelahang?

Merujuk kepada Bini Pak Ngah yang masih cantik jelita terpelahang bermaksud terbuka luas. Orang utara biasanya memang tahu apa maksud terpelahang. Orang Pahang pun belum tentu faham maksud terpelahang walaupun bunyi perkataan tersebut hampir sama dengan nama negeri mereka. Untuk menjelaskan maksud terpelahang aku akan memberi beberapa contoh ayat. Ayat-ayat ini kebanyakkannya digunakan oleh Bini Pak Ngah;

Situasi 1
Bini Pak Ngah ada urusan di luar dan seperti biasa mengingatkan (membebel) pada anak-anak sebelum keluar
"Pintu tu jangan dok biaq terpelahang. Kalau nak pi mana-mana kunci pintu, tutup tingkap semua"

Situasi 2
Bini Pak Ngah baru pulang dari urusan di luar dan mendapati pintu terbuka luas tanpa ada sesiapa di tingkat bawah
"Yang dok biaq pintu terpelahang tu pasaipa? Nak bagi pencughi masuk ka?" (dan sila-sila sambung dengan ayat-ayat lain berdasarkan situasi anda ingkar pada perintah emak anda)

Maaf. Aku bukan mahu mengajar bahasa. Tapi sudah menjadi kebiasaan aku memberi penerangan sesuai dengan kerjaya pilihan aku.

Baiklah. Sebenarnya entri ini bertujuan mengundang rakan-rakan (yang betul-betul kawan dengan aku) dan pelajar-pelajar aku datang ke rumah arwah ayah aku (aku belum ada rumah) untuk menjamah hidangan yang sudah pasti membuat perut anda naik sedikit kecuali anda sudah mula berpuasa enam. Awas. Pelajar-pelajar yang selalu bersangka buruk dan banyak menganiaya pelajar-pelajar lain tidak digalakkan hadir kerana kelak mungkin hati anda bakal disakiti.

Sekiranya berkelapangan jemputlah datang ke rumah terpelahang pada hari raya kedua. Pakai seluar atau kain yang longgar di pinggang supaya mudah makanan menerjah masuk. Jangan pula terlalu longgar kerana aku tidak mahu sambutan rumah terpelahang bertukar menjadi parti buih dengan kehadiran stripper.

Selamat Hari Raya Eidulfitri. Maaf Zahir Batin kepada semua yang mengenali aku sama ada secara live atau tertunda. Maaf juga kerana tidak ada duit raya tahun ini.

Oh ya. Rumah Terpelahang maksudnya Rumah Terbuka. Kalau lapang datang. Kalau sempit tak payah datang.

Lapang lawannya sempit kan?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...