Saturday, December 3, 2011

Jenis-jenis kawan yang kita ada



Siapa yang hidup di dunia tak ada kawan memang sangat pathetic. Kalau manusia jenis aku, memang aku tak ramai kawan. Nak kata aku sombong, boleh juga. Tapi aku ni sebab selalu sangat terkena dapat kawan jenis makan kawan lepas tu mula nak rasa meroyan. Maka kerana itu aku memilih bila nak berkawan. Aku ramah dengan semua orang, tapi dalam aku beramah mesra dan bergurau senda aku berhati-hati untuk menjadikan mereka kawan. Pergh! Sembang kencang. Macamlah orang teringin sangat nak berkawan dengan aku. Hahahaha. Memandangkan hidup aku menghampiri 29 tahun, aku dapati manusia yang kita berkawan ada macam-macam jenis. Ayuh kita lihat jenis-jenis kawan yang kita ada.


1) Kawan bisnes
Kawan bisnes bukan bererti kawan yang kita bagi duit buat share dalam bisnes. Ini adalah kawan yang hanya mencari kita untuk join MLM. Selama ini dia menghilang entah ke mana. Kalau ada Facebook pun dia tak pernah nak tegur apatah lagi nak poke atau like komen anda. Tetapi pada suatu hari entah apa yang dia mimpi dengan penuh ramah dia menegur anda di Facebook dan mengelike setiap komen dan status anda. Setiap tweet anda juga akan diretweet tak lupa dengan tanda like. Tak cukup dengan itu jawapan-jawapan anda di Formspring akan diklik ikon senyum tanda suka.


Tidak lama selepas itu pasti dia akan meminta nombor telefon dan penuh mesra mahu belanja anda makan dan sanggup bersusah payah datang mengambil anda di rumah sekiranya anda tak punya kenderaan dengan alasan lama gila tak jumpa hang. Selepas itu bermulalah episod anda akan dipujuk menjadi downline kepada MLM yang diceburi. Apabila dipujuk-pujuk anda sudah pasti tak sampai hati tambah pula dah termakan budi. Takkan pula nak gadai body? Tanpa kerelaan wang simpanan anda seperti diragut dan anda akan pulang ke rumah dengan penuh sesalan.




2) Kawan berfoya dan berjimba
Ini pula kawan di masa seronok sahaja. Ketika anda bersedih hati dan inginkan tempat mengadu mereka akan menjauhkan diri sekalipun anda mengoffer untuk belanja makan kerana mereka sudah pasti dapat mengesan situasi anda yang memerlukan mereka menadah telinga dan menunjukkan rasa kasihan yang mendalam.

Tetapi keadaan akan menjadi sebaliknya sekiranya masing-masing berada dalam mood mahu berjoli, berfoya-foya hu ha sana sini. Sudah pasti mereka seperti lipas kudung bersegera datang dengan cadangan hebat berserta list tempat-tempat yang harus dikunjungi dalam memenuhi aktiviti bersuka-ria.




3) Kawan study/kerja
Kebiasaannya sebilangan besar memilih kawan yang berbeza apabila mahu belajar. Ini kerana kawan yang dipilih untuk study adalah kawan yang jenis bersungguh-sungguh dan fokus ketika belajar dan secara tidak langsung anda akan terpengaruh dengan sikap yang ditunjukkan. Kebarangkalian memilih kawan yang berbeza juga tinggi sekiranya anda mempunyai tabiat ponteng kelas atau malas salin nota maka dengan kawan yang sebegini anda dengan mudah boleh fotostat nota-nota yang dia ada. Walaupun agak keji tetapi ini adalah masa depan anda. Maka sudah pasti dapat ditebus dengan membelanja makan dan menghantar kad ucapan tanda menghargai kawan study anda.



Begitu juga ditempat kerja. Sekiranya ditugaskan untuk menyiapkan sesuatu projek, sudah pasti kita berharap mendapat kawan yang rajin dan anda boleh menumpang kerajinan kawan anda secara tidak langsung. Ini bukan mengambil kesempatan. Tetapi mendapat kawan yang rajin boleh memotivasikan diri anda. Kalau dapat kawan sekepala tetapi malas maka rugilah anda dan sudah pasti menjadikan anda bermotibasi.




4) Kawan gitu-gitu
Kawan gitu-gitu adalah kawan yang anda kenal secara tidak sengaja. Sebagai contoh dalam situasi aku yang menghadiri Kursus KISSM maka aku bertemu cikgu-cikgu lain yang aku sekadar tahu nama. Maka sepanjang dalam kursus aku akan senyum atau nak tunjuk ramai sikit cakap hai. Paling kuat mungkin kalau duduk semeja time makan macam keji pula masing-masing buat tak tahu maka aku akan berbual dan hanya tahu nama berdasarkan tag nama yang dipakai. Apabila tamat kursus tak ada pula aku minta nombor telefon kerana aku tidak suka memberi harapan palsu konon akan terus keep in touch padahal hanya mengamalkan konsep touchNgo. Hahahaha. Bagi yang belajar, mungkin kawan yang secara kebetulan anda sekuliah dan tahu nama masing-masing tetapi sekadar senyum dan cakap hai-hai bye-bye.




5) Kawan makan kawan
Ini adalah jenis kawan yang harus diberi tapak kaki supaya dia mendapat pengajaran. Harus diingat, kawan makan kawan bukanlah fenomena kanibalisme tetapi merujuk kepada kawan yang jenis tikam belakang kawan.


Tak kiralah tikam dengan pisau, kuku, jarum atau recorder, atau dengan cerita-cerita yang mengaibkan anda, mereka adalah kawan yang makan kawan. Apabila bersama anda, dia biasanya bersikap mulia dah boleh diberi tokoh kawan sejati tetapi di belakang anda dialah duri dalam daging, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam. Harapkan pagar, pagar makan padi!




6) Pengambil kesempatan
Kawan yang gemar mengambil kesempatan mempunyai ciri-ciri yang hampir dengan kawan berjimba dan kawan makan kawan. Kawan jenis ini adalah kawan yang bersama kita apabila dia susah atau anda adalah seorang yang boleh dipergunakan. Suka atau tidak, kita harus belajar terima kenyataan yang ramai antara kita susah nak berkata tidak termasuklah aku. Benci-benci aku dengan mana-mana hamba Allah, bila dia susah aku selalu rasa kesian kemudian mulalah nak tolong padahal lepas tu aku rasa menyesal. Hahaha. Keji.
Ini statement penyedap hati untuk diri yang selalu diambil kesempatan

Maka pengambil kesempatan akan menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk mempergunakan anda. Sebagai contoh, ketika di universiti anda mempunyai kereta yang sudah pasti memberi advantage kepada mereka yang di sekeliling anda. Akan ada yang mahu meminjam kenderaan atau menumpang kereta anda terutamanya apabila ke kelas atau keluar berjimba. Harus diingat juga, kawan berjimba tidak semestinya mengambil kesempatan ke atas anda tetapi pengambil kesempatan, apa yang sempat dicapai sudah pasti tidak dilepaskan.




7) Kawan dunia akhirat
Inilah kawan sejati yang susah dicari. Datang neraka atau air tinggi, mereka tetap dengan anda melalui tebal dan nipis. Memang susah nak cari dan kalau dah jumpa memang seronok sampai ke mati.


Walaupun ketika anda sedang sedih akibat putus dengan awek, dia sanggup teman anda di kedai mamak sehingga pagi untuk mendengar luahan hati anda. Dia juga sanggup menyerang mana-mana blogger yang mengopi entri anda. Dia juga sanggup jadi posmen demi memenuhi impian anda nak mengorat awek baru di sekolah. Senang cerita buat jahat bersama-sama, buat baik sehati sejiwa.





Macam-macam jenis kawan kita ada. Aku sebenarnya pernah terkena kawan MLM. Kalau diingat balik memang boleh buat aku mencarut ringan dan menggenggam erat jari jemari dengan penuh sesal dan geram kerana akhirnya aku terpedaya dengan janji manis kawan aku padahal mula-mula dulu dah berazam penuh tekad tak akan terpedaya. Aku juga pernah melalui episod kawan makan kawan sehingga aku buat keputusan untuk menjadikan semua kawan di sekeliling aku sebagai kawan gitu-gitu. Bertuah gila siapa yang ada kawan dunia akhirat. Aku rasa kalau untuk aku, mungkin emak, kakak-kakak dan adik perempuan aku adalah kawan dunia akhirat aku. Jahat-jahat dan buruk-buruk aku, mereka tetap ada dan tidak pernah membuang aku. Eh eh, teremo pulak. Ni yang buat rasa nak menangis tiba-tiba.





8 comments:

yui92 said...

hehe... kawan blog xda?


*come hell or high water?*

khairul_bariyyah said...

eh2, tba2 nak teremo jugak.. isk~

buruk sgt aih come hell or high water tukaq pi jdi kot melayu.. haha

Wawa Amran said...

Btol.. Emak & adik beradik lar kwn dumia akhirat.. Baik buruk kita semua die terima..

TecerWidad said...

@yui92 Kawan blog pun kawan gitu-gitu sahaja. Kalau menjadi rapat dan mengaplikasikan datang neraka atau air tinggi, bolehlah menjadi kawan dunia akhirat.

TecerWidad said...

@khairul_bariyyah Eceh. Nak kain buruk buat lap ayaq hinguih. Hahahaha. Oleh jalan, saya cintakan bahasa melayu. Kahkahkah

TecerWidad said...

@Wawa Amran Ya, maka marilah sama-sama kita berusaha menjadi kakak@adik mithali dan anak solehah

Kayun.Zack said...

hehe. kwn kat kolej skrg byk yg mcm dok 'hi hi bye bye' ja.

situasi slalu jdik msa jumpak kat kafe mkn sorang2 sbb takdak kwn nak teman.

saya: hi

dia: hi

(makan,makan,makan)

dia: bye, naik dulu ek.

saya: ok2 bye.

hoho selalu terjadi kepada org yg x berapa nak peramah mcm saya.

TecerWidad said...

@Kayun.Zack Tapi situasi tecer pula selalu dijadikan kawan hi hi bye bye. Hahaha. pathetic sungguh. balasan orang sombong macam tecer. kahkahkah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...