Tuesday, August 28, 2012

Jenis-jenis tetamu yang datang beraya



Assalamualaikum semua saudara sandari, cikibum cikibum. Bagaimana dengan sambutan hari raya anda? Adakah lebih meriah berbanding puasa anda ataupun anda rasa sama saja dengan hari-hari yang lain. Kepada yang rasa sama sahaja seperti hari-hari lain, mungkin anda tak berpuasa di bulan Ramadhan ataupun berkemungkinan juga kerana anda tak dapat bercuti dan pulang ke kampung di hari raya.


Hari ini sudah 10 Syawal dan aku episod menggantikan puasa dan berpuasa enam bakal dilakukan. Itupun kalau rajin dan tidak tergoda dengan menu-menu yang lazat dimasak oleh Bini Ustaz mahupun diri sendiri. Mengaku tu diri sendiri masak sedap. Sahabat-sahabat di sekolah, sila jangan buat open house terlalu awal kerana diriku yang imannya tak dapat diwarisi ini mudah tergoda dengan makanan free.


Sehingga hari raya kelima ramai tetamu yang hadir di rumah dan kerana kerajinan yang sememangnya ada dalam ini, aku secara sengaja telah membuat kajian terhadap tetamu-tetamu yang datang. Ayuh kita lihat jenis-jenis tetamu yang datang beraya.


1) Mata duitan
Ini biasanya budak-budak tak cukup umur yang datang rumah memang hadap duit raya saja. Rumah aku jenis rumah kampung ada halaman rumah dan porch bagai. Budak-budak yang hadap duit raya ni, nak jalan masuk ke pintu pun tak sudi. Mungkin mereka saban tahun cuba mengatasi rekod terdahulu dengan harapan kutipan duit raya lebih memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya. Ada juga yang muka tembok jenis bagi salam kemudian dengan tulus dan telus menyampaikan hajat di hati 'Kami datang nak duit raya saja'. Huiii. Anak siapa perangai begini. Tapi dalam hati tuan rumah yang pemalas seperti aku rasa bersyukur tak terhingga kerana tak perlu susah payah berpenat lelah buat air oren ketuk ais bagai tapi minum setakat seteguk sahaja.



Aku dulu kecil-kecil memang gigih berusaha kutip duit raya. Dapat lima kupang pun tak bising kerana bangsa reti bersyukur. Budak zaman sekarang kalau kita bagi seringgit sumpah tahun depan dia tak datang. Itu kalau yang jenis mata duitan. Kalau yang jenis otak singkat aku bagi duit lama dia tak mahu. Nak duit baru padahal tak sedar nilai duit tu sama sahaja. Harus aku bagi siku baru dia reti barangkali.




2) Merisik anak tuan rumah
Makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang ada anak dara atau anak teruna yang masih solo gemar mengambil kesempatan di hati raya merisik anak orang. Tak payah pergi cari contoh yang jauh-jauh. Aku dengan berbesar hatinya sudi menjadikan diri aku sebagai contoh. Ada juga yang pagi-pagi di hari raya kedua telefon Bini Ustaz tanyakan aku dan kakakku. Benarlah orang kata bangun pagi rezeki murah. Hehehe.


Tak reti pulak aku nak elaborate panjang-panjang. Biasa kalau cerita diri sendiri memang tak berapa nak handal. Cuba kalau cerita pasal nak mengutuk nak mengata tiba-tiba mulut petah berkata-kata dan tangan ni lancar saja nak menaip. Tsk




3) Ziarah sambil bergosip
Di hari raya, sebelum mulut mengungkapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin, ada juga yang mengambil kesempatan membuat kunjungan ke rumah sanak saudara dan rakan taulan dengan menambah aktiviti bergosip sama ada secara sulit atau pun secara berjemaah. Aku pun termasuk juga dalam kumpulan ini. Macam biasa aku memang jenis sedar diri dan mengaku saja aku ni bukan lindungan kaabah bagai. Gosip-gosip adalah berkisar apa yang berlaku atau peristiwa-peristiwa yang ada kaitan dengan diri sendiri.



Baru-baru ini ada aku bergosip tentang kawan aku yang telah menipu aku dan kawan aku serta melibatkan sejumlah wang yang besar. Bab menipu tu boleh nak maaf. Tapi yang bab duit tu memang ada rasa macam nak simbah asid pun ada. Melalui kunjungan hari raya sambil bergosip juga dapat aku menghapdet kisah-kisah terkini tentang rakan-rakan dan mungkin juga musuh-musuh yang ada. Hahaha. Dah macam orang main politik ada musuh segala. Kalau datang sepupu sepapat aku sakan juga kami bergosip. Waktu macam nilah boleh tahu sepupu mana yang dah ada boyfriend, anak buah mana yang dah nak menikah, siapa yang mengandung, siapa yang dapat transfer, siapa yang menganggur dan segala hapdet yang mungkin tidak terdapat di facebook.


Tapi ada juga sedara mara aku yang omega dalam kepala tak berapa banyak. Nama aku dan kakak aku asyik tertukar-tukar padahal nama kami jauh berbeza. Aku Widad, dia Affaf. Lagi satu dah beribu kali dah aku cerita aku sekarang di Kuala Pegang tapi masih ramai yang sangka aku di Bukit Kayu Hitam. Masa aku di Bukit Kayu Hitam mereka sangka aku di USM. Harus aku reka cerita aku dapat sekolah lain. Mungkin ketika itu dalam kepala mereka ada memori aku di Kuala Pegang.



4) Rehat dan Rawat
Bagi yang memandu jauh, gunakan kesempatan hari raya untuk menambah pahala dengan melawat kawan-kawan atau saudara mara anda. Di samping dapat beramas mesra dan meminta maaf kot-kot ada dosa yang dilakukan secara sedar atau tak sedar, anda juga dapat merehatkan badan dan jika langkah tak kengkang tuan rumah akan menjamu anda dengan hidangan yang boleh meningkatkan kolestrol dan menambah berat badan anda. Siapa-siapa pun suka makanan yang lazat tapi yang tambah berat badan tu walaupun tak suka boleh pejam mata.



Bagi emak-emak yang ada anak kecil kalau singgah rumah saudara atau kawan boleh tumpang bilik air nak tukar diapers segala. Untung sabut anda boleh lelap barang sejam dua sebelum meneruskan perjalanan jauh. Tapi biasanya kita sebagai tetamu akan pilih kawan yang rapat atau saudara kita yang boleh tahan akrab dan ramahnya untuk dijadikan tempat rehat dan rawat. Kalau kawan yang sekadar hai-hai bye-bye atau saudara yang kita jumpa time kenduri kahwin sahaja mungkin segan juga tiba-tiba buat ramah sampai tumpang tidur segala.




Kecederaan akibat jatuh tangga menyebabkan aku tidak dapat mengingat dengan cemerlang. Ditambah pula aircond dalam wad ni macam nak membunuh aku ke hapa makanya aku cuma dapat senaraikan setakat empat sahaja. Raya lain kali kita lihat barangkali ada pertambahan. Itupun kalau aku tak buat aksi stuntman hingga jatuh tangga seperti tahun ini -__-


Jadi bagaimana dengan anda? 
Tepuk dada, suluh cermin dan kaji anda jenis tetamu yang bagaimana? 






10 comments:

faizal abd fathi said...

no 4 le... no 1 dah tua dah nak dapat duit raya, no 2 .... jumpa direct cakap... saya sayang awak ( hahahah gila tak pernah buat ) no 3... bab bergosip ni perempuan lagi POWER kan....hehehhe

O'gosh Iskandar said...

aiseh..ada gak masuk sana sikit..sini sikit...tapi part R&R tu x penah buat lagi...sebab x suka berjalan jauh2 heret anak...kesian..

norinaomar said...

Ada tetamu yang telah dikenal pasti tiap2 tahun timing diorang datang pada masa yang serupa contohnya waktu senja (supaya dapat makan malam) atau waktu tengahari pukul 12(supaya dapat makan tengahari)

Tapi tuan rumah tetap berbesarhati walaupun masakkan lauk sardin..Tetap ikhlas..

contoh tetamu tersebut ialah ibuku..hehehehe

shizansyafik said...

raya kat rumah je.. menerima tetamu... =) dah ok ke kaki?

Hikaru Yui said...

jenis nak duit saja tu area rumah saya pun ada.. hahah mmg syok xgadyh nak layan tanya anak sapa duduk mana umoq brapa bagai

TecerWidad said...

@faizal abd fathi Lelaki pun handal juga cuma selalu macam lindungan kaabah. hehe

TecerWidad said...

@O'gosh Iskandar Jangan heret. Dukung mereka.

TecerWidad said...

@norinaomar Hahaha. Mungkin ibu-ibu nak lepas geram kerana kecil-kecil dulu time malam kita selalu nak susu. Ini sahaja cara mereka membalas.

TecerWidad said...

@shizansyafik Rugilah duduk di rumah saja. Puasa enam di raya keduakah?

TecerWidad said...

@Hikaru Yui Ya, betul! Kalau tak nak kena interview segala lepastu tahun depan tanya lagi soalan yg sama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...