Thursday, December 6, 2012

Jenis-jenis pelajar yang dapat dilihat di dalam dewan peperiksaan




Memilih pekerjaan sebagai guru, anda tidak mengelak mahupun menepis daripada menjadi pengawas peperiksaan. Sekurang-kurangnya sekali seumur pekerjaan, anda akan menjadi pengawas untuk peperiksaan-peperiksaan umum yang terdapat di Malaysia seperti UPSR, PMR, SPM, MUET dan STPM. Tahun ini merupakan kali keempat aku mengawas peperiksaan dan kali pertama untuk peperiksaan SPM. Sungguh bahagia apabila aku hanya perlu mengawas selama enam hari. Empat kali mengawas peperiksaan, aku dapat mengklasifikasikan jenis-jenis pelajar yang terdapat di dalam peperiksaan.





1) Pelajar masa depan gemilang
Pelajar yang masa depannya gemilang dapat dilihat dari sebelum bermulanya satu-satu kertas. Sebelum melangkah masuk ke dewan, tangan diangkat memohon doa. Doanya sudah pasti panjang dan boleh jadi qunut nazilah juga dibaca. Melangkah masuk ke dalam dewan menggunakan kaki kanan. Kalau tersalah rela berundur walaupun tahu belakangnya ramai yang sedang menyerbu dan diri tak ada side mirror. Sewaktu berjalan masuk, mulut terkumat-kamit. Terkumat-kamit membaca doa ataupun menghafal nota-nota penting. Nak duduk doa. Tatkala ketua pengawas mengumumkan boleh mula menjawab soalan, ditadahnya tangan sekali lagi berdoa. Menjawab pula dengan khusyuk. Sekali sekala tengok jam bimbang tak cukup masa. Masa menjawab digunakan sepenuhnya. Agak tak cukup kertas, laju angkat tangan. Aku yang mengawas pun jalan laju macam penguin nampak ikan dalam air jernih tak sabar nak terjun laut. Dah cukup masa, kadang tak henti menulis. Kalau dah habis, semak dua tiga kali. Bila pengawas dah kutip, baca doa lagi. Nak keluar dewan, ucap terima kasih, senyum dan lagi ada doa. Huiiii. Kagum aku. Macam-macam doa boleh ingat. Cerah hati. Tahniah. Terus aku nampak bayang A lurus untuk pelajar begini.




2) Pelajar PJJ
Bagi anda yang bersekolah di asrama penuh, atau sekolah budak-budaknya pandai belaka, pasti tidak tahu pelajar sekolah menengah ramai yang belajar secara PJJ. Bulan Januari datang sekolah, mendaftar dan ambil buku teks. Yuran PIBG belum tentu dia bayar. Tak apa. Itu boleh kutip hari nak ambil keputusan. Masa setiausaha peperiksaan minta guru kelas kutip duit yuran SPM, dia pun bayar dan semangat isi borang fotostat kad pengenalan segala. Bulan berikutnya, 20 hari sekolah, 15 hari sahaja dia muncul. Bulan berikutnya 10 hari dan semakin bertambah bulan semakin kurang hari kedatangannya. Bulan 7, bulan 8 terus hilang seperti disorok bunian. Tapi kalau disorok bunian petang dan malamnya yang kita tak nampak. Tapi pelajar PJJ, petang dan malamnya berpesta muda mudi tak ingat mati.


Tiba di hari peperiksaan, boleh muncul tanpa rasa malu dan datang bergelak ketawa seperti sudah berkurun dia bersedia. Padahal sekolah haram tak datang dan biasanya guru-guru menggelarkan mereka PJJ. Nama saja PJJ, tapi jangan haraplah mereka di rumah membaca dan mengulangkaji secara maya. Mungkin lebih banyak membuta dari mencelik. Mereka ini di dalam dewan peperiksaan datang sekadar menyakitkan hati guru di sekolah dan guru yang mengawas. Sudahlah tak mahu menjawab soalan. Di dalam dewan usik mengusik rakan yang ada dan ada yang perasan kacak dimengoratnya pengawas yang comel seperti aku. Huahuahua. Akhirnya jumpa point untuk aku perasankan diri. Kahkahkah dan sila jangan carutkan aku. Baiklah, mari kita sambung. Biasanya aku selalu memaksa mereka keluar dari dewan peperiksaan. Bukanlah aku memaksa dengan menghalau atau menggunakan teknik mengugut atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya aku akan mengulang tanpa jemu yang mereka dibenarkan keluar selepas 30 minit masa peperiksaan berlalu. Di samping itu aku juga meracuni fikiran mereka dengan kelazatan makanan di kantin atau keempukkan tilam di rumah. Hihihi




3) Pelajar ganjil
Pelajar ganjil bukanlah pelajar yang mempunyai angka giliran yang ganjil di dalam dewan peperiksaan. Tetapi terma ini merujuk kepada pelajar yang bersikap ganjil seolah-olah dia berada di dalam dunianya sendiri. Sewaktu pelajar lain gigih menjawab mahupun menghentam jawapan, dia sibuk membelek benang yang diberi. Benang yang sepatutnya diikat pada kertas dipusing-pusing pada hujung pen atau pensel dan kemudian tersengeh sendiri. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran beliau tetapi biasanya aku akan berjalan menghampiri pelajar begini dan memberi pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan dan aku sendiri pun tak tahu bagaimana hendak mengekspresikan pandanganku itu dengan kata-kata.


Lihat dunia pelajar ini. Wajahnya tampan tapi stokin yang dipakai....nahaiiii


Pesanan penaja: Muka yang nampak kental jangan disangka gagah. Mungkin punggungnya longgar

Senang cerita, biasanya selepas menerima pandangan begitu, pelajar begini akan mengamalkan konsep tomma'ninah. Makna kata berhenti seketika dan sejurus aku berlalu pergi, dia menyambungnya lagi seolah-olah tidak terkesan dengan pandangan aku tadi. Cis!





4) Pelajar taqlid
Sebagai bekas pelajar sekolah agama disamping diberi jolokkan anak ustaz...hahaha. Tetiba aku rasa macam tak berapa nak kena perkataan jolokkan tu. Tak apa. Tak penting. Makanya aku rasa wajar aku menggunakan terma berunsurkan bahasa arab. Biasalah, bajet handal serupa hebat sangat tak lain tak bukan akulah.


Makanya pelajar taqlid adalah pelajar yang mengikut perbuatan rakan-rakannya yang lain secara mengkhinzir buta. Sebagai contoh, kawannya angkat tangan mohon ke tandas, dia juga sibuk cerita pundinya size XS maka mahu turut serta ke tandas. Dilihat kawan yang lain angkat tangan minta kertas, dia juga sibuk mahu kertas padahal kertas yang diberi awalnya guna bahagian atasnya sahaja. Ya, bahagian atas yang perlu ditulis nombor kad pengenalan, angka giliran, nama matapelajaran dan kod kertas. Itu sahaja tetapi dek kerana nak mengikut kawan dan konon tak mahu ketinggalan, gigih angkat tangan minta itu ini.





5) Trend-setter
Yang trend-setter begini setiap kelas atau dewan peperiksaan seorang sahaja. Biasanya muka yang sama dan pakwe sekolah yang akan jadi trend-setter. Maksud aku di sini, ini adalah pelajar pertama yang angkat tangan untuk meninggalkan dewan peperiksaan. Pelajar-pelajar lain sebenarnya tak tahan juga berlama-lamaan di dalam dewan bimbang punggung mereka berakar barangkali. Tetapi masing-masing tidak mahu jadi yang pertama walaupun mendapat isyarat dari rakan seperjuangan untuk bangun secara serentak tetapi masih tidak bangun-bangun dan keluar dari dewan peperiksaan. Aku kadangkala mahu sikukan sahaja pelajar begini kerana sesungguhnya mata aku rimas melihat aksi mereka. Dan secara tiba-tiba sewaktu aku hampir melampiaskan marah aku, akan ada penyelamat di mana tanpa ragu-ragu dan mempamerkan wajah kental tangan diangkat dan mohon untuk keluar. Dan tak tunggu lama, pelajar-pelajar taqlid tadi akan turut akan tangan dan keluar secara berjemaah.




6) Pelajar buaih
Buaih ini adalah dialek utara yang kata dasarnya adalah buas. Tetapi buas ini bukan bererti liar seperti buaya di dalam sungai Amazon mahupun amazon dot kom. Buaih boleh didefinisikan sebagai tak boleh duduk diam. Pelajar buaih di dalam dewan peperiksaan merujuk kepada pelajar yang peralatan menulisnya kerap kali jatuh. Kalau bukan tudung pen, boleh jadi kad pengenalan atau slip peperiksaannya jatuh. Sebagai pengawas sudah pasti aku perlu mengutip barang yang jatuh dan dengan tertib meletakkannya semula di atas meja pelajar begini. Tunggu lagi barang 10 minit benda lain pula yang dijatuhkan. Sesungguhnya pelajar yang sama yang akan jatuh segala benda yang ada di atas mejanya. Mujur anggota badan yang lain memang bersambung sejak azali. Kalau semua boleh main tanggal, tak mustahil benda dalam seluar pun tertinggal atau terjatuh tengah jalan.






Ada juga pelajar-pelajar yang tanpa rasa malu angkat tangan tanya jawapan pada pengawas. Kalau peperiksaan Bahasa Inggeris, ada yang tanpa ragu-ragu mohon aku berikan maksud perkataan. Ada juga jenis yang angkat tangan dan bila pengawas tanya ada apa dijawabnya dia sedang mengeliat. Yang ini memang tunggu hari nak makan kaki aku! Mengawas peperiksaan sebenarnya sangat menjemukan dan meletihkan. Perlu berkawad, tak boleh bersembang, perlu sentiasa peka membuatkan aku pengsan di atas katil tatkala sampai di rumah. Dan akhir kata, pengawas peperiksaan tak sama dengan pengawas sekolah. Pengawas peperiksaan baik hati dan comel. Contoh mudah sudah pastilah diriku. Pengawas sekolah...malas aku nak cerita.













7 comments:

faizal abd fathi said...

errr... harap saya tak termasuk galam golongan tersebut ( dah lama tinggal sekolah... dah lupa yang mana satu...hehehe )

Hikaru Yui said...

1... PJJ tu apa?

2... jolokkan mmg aneh... hehe julukan lah tecer =p

3... part hati kental tidak gagah pungung longgar tu mmg xbleh blah..kahkah



hah tudia sampai kena buat point punya nak buktikan yg kita baca betui2 lah kata =p

myfreeminded said...

hahaha..... PJJ tu aku stuju sesgt..

TecerWidad said...

@faizal abd fathi Dah lupa kaa buat-buat lupaaa? hihi

TecerWidad said...

@Hikaru Yui

1. Pendidikan Jarak Jauh

2. Lemah jugak Bahasa Melayu tecer nooo

3. Tecer jujur dalam mengekspresikan pendapat. Hihihi

Bagoih noo. Patut cemerlang sokmo

TecerWidad said...

@myfreeminded Kan? Rasa nak siku jaaa

Kakchah Jelita said...

hahahah nak tegelak dengan istilah jenis2 pelajar dalam peperiksaan. memang betul apa yg awak katakan tu. yes awak pemerhati dan penilai yg hebat. selamat berkenalan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...