Showing posts with label Gadis. Show all posts
Showing posts with label Gadis. Show all posts

Wednesday, April 17, 2013

Sakit perut




Bahasa Inggeris tingkatan satu sekarang guna pakai sistem set. Kelas aku hari Isnin dan Selasa. Aku dapat Set 5. Set 4, 5 dan 6 serentak.


Ada sekali Set 4 cikgunya tiada. Kurang sihat dan aku terus masuk mintak buat kerja sendiri dan jangan bising. Di tangan ada pembaris besi. Imej garang tu penting. Kelas mula dari jam 10.40 - 12.40, dua jam. Makanya pasti ada yang pundi kencing size s maka akan kerap ke toilet. Pun aku pesan nak pergi toilet kena minta dengan aku dulu.


Baru sepuluh minit aku mengajar di Set 5, datang seorang budak perempuan stok bajet ayu. Datang ketuk pintu minta nak pergi toilet. Siap cakap omputeh. Sekolah kampung macam tempat aku mengajar memang susah nak train budak suruh cakap bahasa Inggeris. Rela tak ke toilet demi tak payah cakap Bahasa Inggeris. Makanya permission granted.


Selang lima belas minit (aku agak-agak saja) datang lagi minta nak ke toilet. Kali pertama berteman. Kali ini seorang diri.


"Bukan tadi ja awak baru pi? Ni pasaipa nak pi lagi?"


"Sakit perut, teacher...." Muka sedih sambil pegang perut. Sebab percaya aku bagi dia pi.


Lepas tu tak tau selang berapa minit. Tak boleh dah nak agak, mai lagi mintak nak pi toilet. Pun aku bagi. Lepas aku cakap "Yes, please." terus aku sambung pompang-pompang sebab bimbang kelak objektif tak tercapai.


Dah habis mengajar aku bagi latihan. Letih berdiri aku duduk sambil membelek buku rekod sendiri. Datang lagi budak yang sama mintak nak pi toilet. Aku senyum dan angguk. Aku sambung lagi belek-belek buku sendiri. Kagum tulisan tangan aku yang cantik dan kemas. Kahkahkah.

"Teacher...." Siti Hajar, budak kelas aku yang duduk paling depan, paling hampir dengan pintu panggil aku. Aku terus bangun pi mengadap.

"Yes sayang," Ya, aku panggil budak-budak aku sayang. Takpun honey bun, sweetie pie ikut sedap mulut aku sebab nak tunjuk aku ni kasih belaka dengan mereka. Ecewahhh. Tapi time marah hangit bun pun aku boh.


"Teacher cuba tengok budak yang nak pi toilet tu..." Siti Hajar tunjuk budak yang bajet ayu tadi, yang katanya sakit perut sebab tu istiqamah ke toilet, tengah melenggang kangkung naik tangga yang mengadap blok tingkatan tiga. Blok tingkatan tiga yang budak lelakinya tak pandai mengeja apatah lagi membaca tapi handal main peewit-peewit dengan adik-adik tingkatan satu dan dua.


Ketahuilah suara aku memang kuat. Kalau sekali aku tengking satu blok confirm boleh dengar. Sekali aku naik hantu, dua blok boleh dengar. Dua blok yang jaraknya dua ratus meter.


Berbekalkan kekuatan suara yang dimiliki, maka marilah malukan budak bajet ayu tadi.


"HAHHH, KAMU YANG KATA NAK PI TOILET TADI MELENGGANG-KANGKUNG PASAIPA. KATA TAK TAHAN SANGAT DAH NAK BERAK. TADI MAI MINTAK PI TOILET SAMPAI TERKENTUT-KENTUT, YANG TERHEGEH-HEGEH LAGI TU PASAIPA?

"SAT LAGI TAIK BERTABUR AWAK JUGAK YANG MALU"


Mencicit budak tu ke toilet lepas dengar aku berleter secara live dengan ayat-ayat menusuk jantung. Budak-budak laki tingkatan tiga yang asalnya memiwit telah mengeboo sambil gelak-gelak. Aku senyum puas hati.



Aku bukan suka-suka nak malukan dia. Tapi bila dia suka-suka menipu aku memang aku panas hati. Dan lepas tu langsung tak mintak pi toilet dah. Haaaaaa nak tipu la lagi cikgu awak nih?







Wednesday, April 10, 2013

Saya ada kanser hati



Budak perempuan tingkatan satu sekolah aku ramai yang stok gedik terhegeh-hegeh gatai belaka. Sehari dua puluh kali pergi toilet. Pergi toilet boleh lalu Block D, block abang-abang tingkatan tiga. Hati berbunga abang tingkatan tiga peewit-peewit padahal yang duk mengorat tu baca pun tak pandai. Nama sendiri pun gagal tulis dengan betul. Ada hati jugak budak-budak tingkatan satu nak buat boyfriend. Kelapaq jugak nak buat abang angkat. Geli! Geli!


Hari ni memebebel sekandaq kat budak perempuan ni. Mintak pergi toliet sambil pegang dada. Kali pertama tak bising. Kali dua aku dah tak berapa nak suka. Kali tiga aku hangin terus jadi mulut naga.


"Ni yang nak pi toilet dua tiga kali ni pasaipa? Tak kena tang mana?"


"Saya tak sihat teacher..." Muka sedih tak mau-mau.


"Tak sihat celah mana?" Setakat tayang muka sekupang depan aku ingat aku nak percaya?


"Saya sakit teacher...saya ada kanser hati..." sambil tangan pegang dada.


Ni pengaruh lagu Melayu la ni. Bila lirik ada sebut hati, penyanyi pegang tang jantung. Lagu orang puteh sebut heart tak apa la pegang dada.


Lagi satu nak marah sebab main sebut kanser hati serupa kanser hati tu sakit perut, pening kepala. Confirm nak menipu aku tu. Sanggup demi abang-abang tingkatan tiga yang tak reti baca.

















Monday, April 16, 2012

Perkara-perkara yang aku tak faham tentang perempuan: Edisi Budak Sekolah



Tahukah anda perempuan merupakan makhluk yang sukar difahami. Aku yang dilahirkan sebagai perempuan sejati kadang-kala tak faham dengan diri sendiri. Kalau bahasa omputeh akan menggunakan adjektif complicated untuk menyatakan betapa rumitnya orang perempuan ini.



Untuk kali ini, julung-julung (julung-julung konon bajet gempaklah sangat) kalinya aku akan paparkan edisi budak sekolah. Budak sekolah di sini mencakupi sekolah rendah dan sekolah menengah. Aku pernah menjadi budak sekolah. Dan sekarang profession aku juga perlu untuk aku hadam fiil budak-budak sekolah. Walaupun telah berada di dalam dunia persekolahan selama 11 tahun dicampur empat tahun sebagai guru sudah jadi 15, aku masih belum faham beberapa perkara tentang budak perempuan di sekolah. Ayuh kita kaji adakah anda mengalami situasi yang sama.



1) Pujian bermaksud suka
Aku antara perempuan yang telus apabila memberi komen atau pujian. Kalau aku rasa benda tu comel, cute maka tak bertangguh walau sesaat aku sebut saja. Kalau tiba-tiba sedang jalan ada budak melintas bau masam satu masam aku pun akan terus sebut Pergh, gila masam kepam bau budak tu dan kalau dia dengar lagi aku suka supaya lepas ni dia sedar dia ada masalah bau badan yang telah membuatkan aku putus nyawa selama dua saat tanpa sempat mengucap

Makanya ketika di zaman sekolah kalau aku rasa budak tu hensem aku memang akan terus sebut secara tidak bertangguh. Tapi ada juga kawan yang jenis sangap bila aku puji budak tu hensem terus dia kata aku suka budak tu. What the whaaaaaat? Maka bila aku nafikan mereka menuduh aku tak mahu admit perasaan sendiri. Dan bermulalah episod gosip-menggosip di kalangan rakan-rakan padahal aku cuma puji cakap dia hensem. Zaman sekolah aku pernah cakap Syed hensem (Syed, if you read this, you were hensem. Hahaha) dan sekaligus menyebabkan ramai gadis rakan sebaya menganggap aku menaruh hati padanya. Oh, please-lahhhh, hati aku buat apa nak taruh tempat lain. Tak pernah pula aku daftar untuk donate-kan hati aku.



2) Lelaki, sila jangan tenung awek sekolah
Pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan khas oleh blog aku yang setakat ini masih tak layak buat entry promote barang atau iklan bagai. Maka buat masa ini hanya pesanan khidmat masyarakat yang boleh tahanlah tahap ikhlasnya aku paparkan. Perempuan memang dilahirkan dengan perasaan sensitif. Tetapi tahap sensitif setiap perempuan adalah berbeza. Di kalangan budak sekolah, ada yang jenis sensitif tahap dewa. Sensitif di mana kalau ada pakwe sekolah tak kira muka hensem atau pecah rumah tenung dia, terus dia buat conclusion pakwe tu suka atau minat dengan dia. Kahkahkah. Sungguh perasan tak tercapai dek akal.

Aku dah jadi cikgu ni pun ada juga budak perempuan datang mengadu budak lelaki tenung dia ditambah dengan penjelasan macam nak kat dia. Aduhailahnyapun. Nak nasihat macam mana pun aku tak faham kerana pada aku memang sungguhlah jenis minah perasan kalau tengok saja terus kata nak dengan dia. Kalau macam tu, sila jangan jadi cikgu. Seandainya anda mengajar di hadapan sudah pasti majoriti matanya tertumpu pada anda kecuali kes mata tak berapa centre. Pasti awek sekolah begini akan anggap semua budak lelaki dalam kelas tu nak kat dia. Hahaha. Haruslah aku kata pathetic dirimu wahai awek sekolah. Maka untuk lelaki, sila jangan tenung sembarangan kerana mungkin anda akan disyak suka pada awek tersebut padahal mungkin anda tenung kerana baju budak perempuan tu ada tanda warna merah yang mencurigakan, atau boleh jadi anda mempunyai mata tak berapa centre.



3) Tuduh menuduh
Budak perempuan di sekolah ramai yang jenis mudah terasa dengan budak lelaki. Di sekolah jarang untuk jumpa lelaki bermulut lazer suka hati mengata kecuali yang jenis lembut-lembut atau memang ganas otai sekolah. Aku pengamatan aku, majoriti pakwe sekolah pernah dituduh oleh mana-mana awek sekolah kononnya anda yang curi buku dia, anda yang sorokkan beg dia, anda cakap sesuatu dengan niat nak perli dia, pendek kata semua benda dia tuduh budak lelaki dan pakwe sekolah.

Aku sebenarnya kurang arif untuk memberikan penjelasan panjang lebar tentang ini kerana seperti yang aku nyatakan perempuan ni complicated. Maka situasi yang aku cuba sampaikan di sini juga agak complicated. Hahaha. Padahal alasan malas nak berfikir dan bagi contoh.



4) Emosi luar kawalan
Secara puratanya, gadis-gadis cukup umur ketika berusia belasan tahun. Maka apabila dilawati oleh Aunty Flow, emosi gadis akan terganggu. Tetapi ketika melalui zaman persekolahan, ada juga antara rakan aku mempunyai gangguan emosi walaupun Aunty Flow belum pernah buat site visit. Tahukah anda *bajet rancangan ilmiah ala-ala tv pendidikan* di usia begini awek sekolah biasanya akan membentuk kumpulan atau 'klik'. Makanya segala aktiviti harian dirancang dan ditempuh bersama. Buat jahat bersama, kantoi juga bersama. Ada juga yang mengambil pendekatan lagu Indonesia dan Omputeh, berdua lebih baik dan two is better than one. Untuk menjelaskan contoh yang di sini aku ingin memberi nama kepada watak gadis sekolah yang digambarkan.


Tengku Farhana Natasya dan Puteri Intan Suhaila berkawan semenjak hari pertama pendaftaran tingkatan satu. Ya, nama harus panjang untuk mewujudkan elemen-elemen novel Alaf 21. Kahkahkah. Makanya semenjak hari pertama berkenalan mereka menjalinkan hubungan baik. Makan bersama, prep bersama, tidur di waktu yang sama (tidur tak boleh bersama kelak disyak pasangan luar tabi'ie), mandi juga di waktu yang sama. Hendak dijadikan cerita arakian suatu hari Tengku Farhana Natasya tidak berbual mesra seperti selalu apabila bersama Puteri Intan Suhaila. Dan perkara begini boleh menyebabkan tergurisnya hati Puteri Intan Suhaila dan mula terfikir-fikir dia ada melakukan kesilapan sehingga mengguris hati Tengku Farhana Natasya. Pergh gila letih taip nama makhluk dua orang ni. Boleh kejang kalau buat novel 421 muka surat dan meletakkan Tengku Farhana Natasya dan Puteri Intan Suhaila sebagai watak utama.

Jadinya nampak tak gangguan emosi yang dialami oleh Puteri Intan Suhaila. Gila sensitif baru tak bercakap tiba-tiba tersentap. Aku juga pernah mengalami perkara begini. Rasa macam nak sikukan sahaja sikuku di wajahnya kerana tiba-tiba tersentap ingat aku marah padanya padahal aku letih di siang hari nak bercakap pun tak lalu.





Pada firasat aku ada lagi perkara-perkara lain yang aku tidak faham. Tetapi kerana setelah sekian lama tidak menghapdet blog sehingga jatuh nusyuz maka mungkin akibatnya fikiran tidak dapat menjana idea-idea cemerlang. Lain kali aku sambung lagi.




































Ingat nak stop dah. Tapi terasa keji gila buat penutup seperti kencing tak lawas. Tapi malangnya masih tak ada idea. Sila jangan maki.






Monday, December 26, 2011

Jenis-jenis promoter di kaunter produk kecantikkan


Gadis dan kecantikkan mempunyai hubungan yang sangat akrab. Makanya setiap gadis normal memiliki satu hormon untuk tampil cantik dan diiringi kemahuan mencuba pelbagai jenis produk yang berada di pasaran. Hubungan para gadis dan produk kecantikkan bolehlah ditafsirkan seperti carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga atau  air dicincang tak akan putus. Buktinya, walaupun selepas kecewa dengan produk kecantikkan yang dibeli, kekecewaan tersebut tidak kekal tetapi sudah pasti gadis-gadis akan move on dengan mencari produk kecantikkan yang lain berdasarkan iklan-iklan yang ditayangkan atau testimoni-testimoni palsu di majalah dan akhbar. Hahaha. Suka-suka aku nak kata palsu. Aku jenis manusia yang tak percaya cerita dongeng dari majalah atau surat khabar. Scarlet Johansson pun cakap 'How do I know it was a lie? Because I read it on newspaper'. I loikeeee.


Aku mempunyai beauty awareness yang agak tinggi. Bermula dari zaman universiti, dah pegang duit sendiri telah bermacam-macam produk yang aku guna. Dari Safi kepada Olay, terjah ke Nano dan kembali ke Olay dan terkini combination Olay dan Hada Labo. Ada juga produk-produk lain yang aku guna dalam sebulan dua tetapi kerana tak ada kesan aku buang begitu sahaja atau sedekah kepada yang berminat. Memandangkan aku telah menggunakan pelbagai jenis produk, maka aku perlu berhadapan dengan pelbagai jenis manusia yang bekerja sebagai promoter di kaunter-kaunter produk kecantikkan. Ayuh kita lihat jenis-jenis promoter yang terdapat di kaunter kecantikkan.


1) Perasan lawa
Promoter yang perasan lawa adalah promoter yang rasa dirinya cukup cun padahal sekadar boleh tahan. Dah tepek make-up segantang memanglah nampak putih melepak dan gebu padahal lihat di leher kesan daki pun ada. Hahaha. Promoter yang perasan lawa adalah promoter yang boleh dikatakan mempunyai self-esteem yang tinggi kerana tanpa ragu-ragu membandingkan dirinya dengan kita sebagai pembeli. Aku pernah mengahadapi situasi begini dan sumpahlah kalau aku lelaki tak hadap sangat pun dengan muka dia. Sungguh berani mati dia mengeluarkan statement dia lagi cantik dari aku padahal aku ni siapa yang kata aku tak comel? Kahkahkah. Statement riak rasa macam nak tabuh tapi itulah hakikat sebenarnya. Sebagai promoter, kalau benar pun hang lagi lawa tak payahlah nak telus sangat. Jaga hati customer yang boleh jadi tengah PMS maka tak jadi beli barang.


2) Indah khabar dari rupa
Ini merupakan pengalaman aku ketika mahu mencuba produk Syurah tapi hasrat aku terbatal melihatkan wajah si promoter dek kerana statementnya yang pada aku ibarat dia telah membunuh kariernya sebagai promoter. Si akak promoter dengan jayanya menghasut aku membeli produk Syurah dan memberi syarahan panjang lebar tentang keberkesanan produk Syurah. Aku hampir percaya dan perlahan-lahan menanam tekad untuk membeli dan mencubanya tetapi nafsu aku secara tidak sengaja atau mungkin juga sengaja, dimatikan apabila si akak promoter mengaku telah menggunakan produk tersebut lebih dari dua bulan. Ini bukan nak menghina tapi wajahnya berjeragat dan berjerawat sedangkan sebelum tu promote kat aku produk ni boleh hilangkan jerawat jeragat bagai. Makanya lebih baik si akak promoter tak buat statement berani mati begitu kerana bisa melumpuhkan syahwat membeli produk itu. Dalam konteks ini bukan produk Syurah yang salah, tapi akak promoter yang salah. Ya, dia yang salah.


3) Encyclopaedic knowledge of beauty products
Aku cukup suka kalau dapat promoter begini. Yang sanggup cerita pro and cons semua produk yang ada. Promoter jenis ini juga akan berkongsi tips-tips dan juga regime penjagaan wajah yang betul. Masa aku beli produk Olay, aku dapat promoter sebegini dan aku memang cukup bernafsu nak beli. Di samping itu, promoter sebegini juga akan bertanya tentang jenis kulit dan permasalahan yang ada supaya dia dapat mengsuggestkan produk yang sesuai dan kemungkinan untuk berlaku penyesalan di kemudian hari mungkin sedikit rendah. Mengikut kajian rambang aku, promoter sebegini biasanya boleh didapati di kaunter-kaunter kecantikkan yang menjual produk yang dah established atau bahasa mudahnya, dah gah berbanding produk-produk lain.


4) She thought she is an encyclopaedic knowledge of beauty products
This kind of promoter is definitely the opposite of the above type. Aku mengalami situasi begini apabila ketika aku ke pasaraya Aneka di Baling. Akak promoter tu seingat aku dah lama gila kerja kat situ. Dah lah jenis memaksa, kemudian berlagak pandai yang aku rasa macam nak simbah asid saja. Ada satu ketika aku pergi cari SPF lotion tajuk Banana Boat. Aku dah dapat rasa mungkin tak ada sebab pasaraya Aneka, what do you expect? Kahkahkah. Makanya akak promoter yang aku rasa lebih bersifat menyibuk berbanding menolong datang promote produk apa ntah yang langsung aku tak pernah dengar. Bila aku tanya ada tak produk Banana Boat, dia kata tak pernah dengar. Yang aku bengang sekali dia boleh tambah You pakai produk kampung. Mana ada jual kat sini. Aku tak buang masa mencarut dalam hati. Aku takdak kekuatan lagi nak mencarut right on face. Tunggulah kalau aku tengah PMS. Boleh jadi aku mencarut secara live kerana keperasanan yang dia tunjukkan.


Sikit punya glamer jenama ni dia kata produk kampung??? 
Harus aku bagi back hand dua kali berturut-turut di wajahnya


5) Tak ikhlas
Promoter yang tidak ikhlas adalah promoter yang tidak melayan anda ketika anda dibelenggu pertanyaan dan dia hanya akan menghampiri anda dikala anda sudah membuat keputusan untuk membeli. Biasanya dia cuma akan bagi tahu harga sambil buku resit di tangan kerana biasanya promoter di kaunter produk kecantikkan mendapat komisen berdasarkan jualan produk. Sekiranya bertemu promoter sebegini adalah afdal untuk anda nasihatkan dia berhenti kerja atau cuba bekerja di bahagian lain. Kadangkala juga wajah masam mencuka menjadi hiasan dan dipamerkan tanpa segan silu sedangkan pada aku sekiranya anda memilih bekerja sebagai promoter adalah wajib untuk anda berwajah manis dan anda tidak dibenarkan menggunakan PMS sebagai alasan untuk bermasam muka. Hahaha.



Aku percaya mana-mana gadis yang membeli produk kecantikkan pernah bertemu jenis-jenis promoter begini. Mungkin ada jenis-jenis lain yang belum aku discover kerana memandangkan aku tak suka berhadapan dengan promoter, aku lebih suka menggunakan khidmat kekasih gelap dan dari apa yang dia sampaikan aku terus membeli tanpa perlu dengar pendapat atau pandangan akak promoter. Cara begini juga dapat mengelakkan aku dari mencarut-carut ringan dan menyalahkan akak promoter kerana aku membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana akak promoter sekaligus tak adalah aku tambah kering duk mengata mereka. Kepada gadis-gadis, aku harap anda tidak mudah terpengaruh dengan pujukan dan kata-kata manis akak promoter kerana sebenarnya lebih banyak auta berbanding fakta.













Baru aku perasan, aku tak sepatutnya guna term akak promoter kerana ada juga promoter di kaunter produk kecantikkan yang nampak sahaja seperti akak.





Thursday, December 1, 2011

Perangai awek sekolah yang menjadi dambaan pakwe sekolah

Setelah menjalankan kajian selama berbulan-bulan maka aku dengan jayanya akan membentangkan hasil dapatan ke atas kajian perangai awek sekolah yang menjadi dambaan pakwe sekolah. Sekiranya anda rajin menggodeh entri-entri aku yang lalu, sudah pasti anda pernah membaca entri tentang perangai awek sekolah yang membuatkan pakwe sekolah menyampah. Adalah tidak adil untuk tidak membuat entri balas supaya awek-awek berperangai lebih mulia sekaligus menjadi dambaan pakwe-pakwe sekolah anda dan seantero Malaysia amnya.

1) Perahsia
Awek-awek sekolah mesti bersikap perahsia kerana pakwe-pakwe sekolah memang menyampah dengan awek-awek sekolah yang mulut kepoh dah macam hormon terlebih ke apa. Sebagai contoh, budak sekolah zaman sekarang memang akan mengorat menggunakan teknik mengeadd anda di Facebook dan selepas itu berchatting-chatting mesra di Facebook. Seterusnya pakwe sekolah akan meminta nombor telefon anda dan anda tanpa segan silu sudah pasti memberi nombor telefon anda. Maka bermula saat itu sudah pasti anda kerap berbalas mesej.


Apabila sesi berbalas mesej berlanjutan, di sinilah sikap perahsia perlu awek sekolah tonjolkan. Sudah menjadi tabiat sebilangan awek sekolah gemar menghebahkan kepada kawan-kawan di sekolah tentang pakwe sekolah yang sering berbalas-balas mesej dengan anda. Walaupun tidak menzahirkan niat di hati, pakwe sekolah sebenarnya tidak suka sikap anda yang seperti radio karat atau mami jarum heboh-heboh pada sahabat ketat atau sesiapa sahaja. Sekiranya anda memilih menjadi perahsia, maka sudah pasti pakwe sekolah bakal memilih anda. Wah, dah macam tagline iklan apa lagi.



2) Tidak melebih-lebih
Ketika pakwe sekolah mula bermesej-mesej anda sebagai isyarat dia mahu mendekati anda, sekiranya ingin menjadi awek sekolah dambaan pakwe sekolah, anda tidak perlu mempamerkan keeksaitedan anda apabila berbual-bual di telefon, mesej-mesej atau terserempak di sekolah. Buat biasanya sahaja dan tak perlu tergedik-gedik kerana pakwe sekolah cukup menyampah dengan awek gedik. Berada di dalam situasi tidak bertepuk sebelah tangan memanglah menyebabkan paras hormon meningkat secara mendadak. Namun demikian sebagai awek sekolah, anda perlulah mengawal supaya tidak melebih-lebih. Sifat melebih-lebih kebiasaannya menjadi spoiler di awal-awal perhubungan pakwe-makwe sekolah.



3) Jual mahal
Awek sekolah mesti bersikap jual mahal. Mengaplikasikan sikap jual mahal menandakan anda ada maruah. Jangan tunjuk murah sangat. Ini tidak. Sebahagian besar awek sekolah jual murah kalah harga pasar malam. Kalau di pasar selonggok tiga hengget, dia jual mungkin sama tapi boleh diskaun atau bagi special price. Sungguh murah tanpa maruah. Mengamalkan sikap jual mahal juga boleh menguji sejauh mana pakwe sekolah tersebut mendambakan awek itu. Lagipun benda yang murah dan senang dapat biasanya kurang dihargai. Tetapi kalau yang susah nak dapat dan mahal pula memang akan disayangi hingga hujung nyawa. Cewahhhh.



4) Tak perasan dari segala segi
Setiap manusia mesti ada perasaan perasan kerana ia sebenarnya (sangat) membantu dalam meningkatkan self-esteem masing-masing. Tetapi sikap perasan sepanjang masa konon dalam semua bidang dia lah yang handal dan cemerlang sungguh attitude yang meloyakan. Menjadi awek sekolah dambaan pakwe sekolah mudah sahaja.
Perangai begini keji. Pakwe sekolah menyampah yang amat.
Walaupun dikurniakan wajah yang cun, awek sekolah jangan bajet cun sangat sehingga asal ada mana-mana pakwe sekolah yang senyum terus sangka nak mengorat. Kalau pakwe sekolah minta nombor telefon terus sangka pakwe sekolah nak meluahkan perasaan padahal pakwe sekolah nak pinjam latihan add maths nak mintak tiru. Maka jelaslah sikap perasan meloyakan pakwe sekolah. Walaupun anda memang gifted, cantik dan pandai tak usah perasan. Biasa-biasa sahaja. Tak mutahil beratur pakwe sekolah nakkan anda. Hehehehe.




5) Muka cun, perangai pun cun
Dikuniakan wajah yang menjadi dambaan setiap pakwe sekolah sememangnya menjadi dambaan setiap awek sekolah. Namun jangan lupa. Muka cun sahaja tak cukup, perangai juga mesti cun. Memiliki wajah yang comel, cantik, cun atau jelita tetapi mempunyai perangai yang ntahapaapa ibarat makan roti canai yang sedap tetapi tak ada kari untuk dicicah. Spoiler besar. Percaya atau tidak, kebiasaannya awek-awek sekolah yang wajahnya kategori boleh tahan ada pakwe berbanding awek sekolah berwajah comel, cantik, cun atau jelita. Ini kerana awek sekolah dari kategori suam-suam kuku mengamalkan sikap-sikap mahmudah maka sudah pasti menjadi dambaan pakwe sekolah.




6) Hebat serba serbi, tapi bukan pengawas sekolah
Ini sebenarnya yang paling penting. Pakwe sekolah cukup tak suka awek-awek pengawas. Kalau pakwe sekolah nak sangat pun, biasanya pakwe sekolah tunggu sampai habis sekolah ataupun ditakdirkan pindah sekolah. Biasalah. Dah kalau pengawas mesti skema.


Keskemaan pengawas seperti skema jawapan objektif. Salah hitamkan jawapan, tidak ada markah bagimu. Pakwe sekolah yang jadi pengawas tak apa, tak sama macam awek sekolah yang jadi pengawas. Oh ya, pengawas pusat sumber tidak termasuk dalam kumpulan ini. Walaupun mereka ada juga yang skema, tetapi keskemaan mereka bolehlah diibaratkan seperti kertas jawapan subjektif atau soalan struktur. Hahahaha




Berkemungkinan besar banyak lagi perangai-perangai lain yang menjadi dambaan pakwe sekolah tetapi aku hanya menyatakan perangai-perangai biasa sahaja. Bagaimana awek sekolah sekalian? Adakah kini anda menemui jawapan mengapa anda tidak menjadi dambaan pakwe sekolah? Jujurnya ada pakwe zaman sekolah bukanlah seronok. Setakat hadiah teddy bear dan pen sebatang yang konon mahal sungguh tak cool. Sudahlah beli pakai duit biasiswa atau duit kumpul hari-hari yang mak ayah bagi, lepas tu bajet couple sehidup semati. Belajar-belajar jual mahal. Andai benar pakwe sekolah dambakan anda, sudah pasti dia sanggup berusaha dan menanti sehingga sama-sama dah berjaya masuk universiti.
















Tetiba aku rasa macam nak nyanyi lagu Dambaan Pilu. Apa dah jadi dengan Khai AF1?



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...