Showing posts with label Me-Myself-and-I. Show all posts
Showing posts with label Me-Myself-and-I. Show all posts

Sunday, August 12, 2012

Sungguh mendengar kata




Semenjak bulan lalu, tak tahu kenapa jerawat datang menyerang tanpa belas kasihan. Sudahlah tak beri sebarang petanda sedar-sedar di waktu pagi sudah ada dua tiga biji. Bini Ustaz selalu pesan kalau nak bagi pokok bunga cepat putik kembang bunganya, kena cakap dengan mereka. Maka berdasarkan pesanan yang disampaikan aku mengaplikasikan teknik yang sama kepada semua perkara.



Nak rambut tidak bercabang maka sesi potong memotong rambut aku diisi dengan sesi menasihati supaya rambut yang bakal panjang kelak biarlah elok seperti yang diidamkan.



Ketika wajah diserang jerawat, sambil sapu temulawak pada cik-cik jerawat, aku nasihati mereka supaya tak perlulah datang secara berjemaah. Aku masih bujang dan tak ada pengalaman menjaga anak sendiri. Makanya bagaimana nak layan jerawat yang datang secara berjemaah? Sungguh mendengar kata team jerawat di wajah ini. Datang secara solo tapi setiap hari datang sebiji demi sebiji. Nak keluar berfoya-foya pun segan kerana walaupun kulit tak adalah putih melepak macam tepung gomak, tapi dari jauh sudah pasti boleh nampak merah-merah di sekitar wajah.



Oleh kerana terasa tak best dengan kemunculan jerawat, maka aku nasihatkan cik-cik jerawat yang datang ini supaya kalau nak muncul di wajahku, janganlah pilih tempat yang obvious semua boleh nampak.




Mungkin kecil hati dengan nasihat aku kerana ibaratnya aku menghalau mereka. Tiga minggu mereka tak datang. Sunyi sepi.






Sehinggalah aku bangun sahur pagi tadi....







Cik jerawat membuat comeback ke wajahku....








Kali ni pandai dia pilih tempat....









Memang tak obvious tak ada yang nampak...









Jerawat tumbuh dalam hidung....









Tsk..








Tuesday, March 13, 2012

Entri paling berguna


Assalamualaikum.
Salam sejahtera.
Salam perpaduan.


Menaipnya aku di sini adalah tak lain tak bukan untuk mengemaskini blog sendiri yang sekian lama terabai. Sila jangan nilai mengatakan aku tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan blog sendiri. Berblog itu bukan fardhu ain. Maka tak salah kalau aku abaikannya. Dosa pun tidak (aku harap).


Sebelum aku meneruskan ke pokok pangkal isi cerita, haruslah aku cerita kenapa aku jarang menghapdet blog. Bagi yang tidak berminat, boleh terus langkau ke perenggan yang bermula dengan huruf M. Dewasa ini beban seorang guru sudah tidak sama seperti guru zaman mak-mak ayah-ayah kita. Maka sungguh aku rasa terbeban sehingga mengajar pun dah jadi perkara kedua. Boleh kata hari-hari ada saja kerja pengkeranian yang cikgu kena buat yang secara tidak langsung merencatkan kerajinan aku menghapdet blog. Lelaki beriman, kaya dan bujang sila masuk meminang dan arahkan aku berhenti kerja kerana sesungguhnya kalau boleh bermalas-malasan di rumah sungguh bagai di syurga dunia. Lelaki tak handsome pun tak pa. Tak handsome, boleh tutup lampu.


Tahukah sekarang attendance perlu diregisterkan secara on-line. Dapat pula kelas belakang yang nombor ic sendiri pun tak ingat. Kelas yang depan-depan boleh mintak ketua kelas tolong hantar ke pejabat. Kelas aku pula dalam seminggu ada juga lambat sekali dua kes ketua kelas tak datang atau terlupa. Alasan terlupa tu kadang-kadang buat aku nak mencarut secara live tetapi kerana mengamalkan nilai-nilai murni, sabar diletakkan di hadapan. Lagipun anak ustaz. Walaupun iman tak dapat diwarisi, harus juga berusaha meningkatkan iman (tazkirah diri sendiri). Aku pun tak faham macam mana boleh terlupa sedangkan hari-hari dia kena buat. Mungkin lepas ni kena suruh amalkan diet ikan. Barulah al-'aqlul salim fil jismi salim.


Tak cukup dengan attendance, keputusan periksa ujian bagai kena online jugak. Online yang sekolah satu hal, yang KPM satu hal. Dah jadi dua hal kat situ. Paling nak mencarut bila kita dah update datang pula es you peperiksaan kata kita tak hapdet lagi. Pun kena sabar lagi dan online lagi sekali dan hapdet satu-satu. Katanya sekarang ni kementerian dalam percubaan nak adakan jawatan pembantu guru. Ada dua tiga sekolah (bukan di dalam daerah aku) dah dapat. Tapi bertambah sakit hati bila pembantu guru diletakkan di pejabat. Ewah ewah. Tak cukupkah kerani lima orang yang ada pembantu guru pun nak dicekau. Takpa, kat akhirat nanti, sila jawab dengan Tuhan. Sekian.


Makanya apabila asyik kena sabar-sabar, balik rumah terus otak jammed. Nak buat buat pun tak lalu. Buku budak pun selalu miss nak tanda. Cara nak hilangkan stress haruslah tidur dengan nyenyak tanpa gangguan. Kalau datang angin rajin, buka blog dan tekan new post. Duduk khayal dalam lima minit, tak dapat idea. Sungguh otak dah tepu.


Tapi hari ini sungguh berkobar-kobar. Matlamat nak hasilkan entri paling berguna. Jadinya ada idea dak nak suruh aku hapdet pasal apa?






p.s. Aku harap entri ni cukup berguna. Kalau tak berguna untuk anda, biarlah berguna untuk aku.







Tuesday, January 17, 2012

Diari seorang guru



Tet. Tenenenet. Tenenenenet. Pap!
Tu bunyi jam. Biasa la, zaman sekarang. Kunci jam pakai handphone. Bini Ustaz yang konon dulu tak reti pasal handphone pun dah terer kunci jam pakai handphone. Hari sekolah bangun pukul 6.15 pagi. Dalam kepala memang duk terbayang alangkah bestnya kalau cuti. Boleh sambung tidoq. Ok, selimut babi. Geli. Bangun sikat rambut dan terus semangat sembahyang subuh. Sembahyang subuh saja la semangat. Tang nak pi sekolah tu, tak dak lagi semangat.

6.30 pagi
Mandi. Sambil mandi pikiaq hari ni nak mengajaq apa. Lepas tu pikiaq sama nak beli nasi lemak dak sebab lauk kantin selalu tak best.


6.55 pagi
Dah siap pakai baju tudung bagai. Aku bersiap tak lama. Tak dak sapu blusher, eye shadow bagai. Cukup takat sapu bedak johnson baby sebab aku jenis confident. Aku cukup cantik dah. Kahkahkah. Sebelum pi sekolah salam dengan Bini Ustaz dulu :')


7.05 pagi
Singgah beli nasi lemak. Muka mesti garang time beli nasi lemak supaya tak dak sapa nak beramah mesra time aku kalut nak pi sekolah.


7.30 pagi
Sampai sekolah. Duduk-duduk. Buat  lesson plan. Jadual yang bahagia sebab tak dak kelas pagi buta. Dah siap RPH bergosip bersama rakan tercinta. Hahaha. Ala, gosip murahan ja. Perangai budak-budak dalam kelas, perangai anak di rumah. Ni biasa geng-geng yang dah jadi mak. Aku yang bujang tadah telinga dan ambil pedoman >__<


8.30 pagi
Makan di kantin. Wajib order teh o panas nipis. Perut dah gembira baru boleh mengajar dengan semangat. Oh ya, sesi makan-makan sudah pasti ada unsur gosip kecil-kecilan. Tapi masih gosip-gosip ringan.


9.00 - 1.20 tengah hari *nampak sangat dah malas nak taip*
Dipenuhi dengan sesi mengajar secara berkobar ibarat panglima perang yang sedang berjihad. Bukan panglima perang yang suka-suka hati nak ludah muka orang. Kahkahkah. Kalau ada waktu senggang, tulis reflection siap-siap dan buat lesson plan untuk esok dan hari-hari berikutnya. Sambil menulis, sambil langgah ayaq masak. Oh ya, sebagai seorang yang mementingkan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, setiap hari membawa air kosong 1.5 liter dan habis diminum sebelum jam 2.00 petang *patutlah aku sentiasa cantik menawan. Kahkahkah*


2.20 petang
Pukul 1.20 petang dah boleh balik tapi kadang-kadang terlajak duk kat sekolah lama sangat sebab bersembang dengan rakan-rakan tercinta. Bersembang dan bergosip sambil makan kerepek atau apa-apa yang ada di meja. Oh ya lagi sekali. Sekolah ni tak dak orang duk gosip pasal cikgu tu, pasal cikgu ni. Tak dak cikgu nak mengata budak tu jahat, budak tu teruk. Habis-habis pun cuma kata budak buat perangai. Bahagia sungguh dapat team cikgu macam ni :') Dah balik rumah sembahyang zohor dan tidoq. Letih pompang pompang kat sekolah so dah balik rumah is recovery time. Recovery lah sangatttt. Pui


3.15 petang
Tidoq tak lama. Dalam setengah jam sudah. Makan nasi. Bahagia yang seterusnya bila dah balik Bini Ustaz dah masak :') Makan sambil tengok tv dan sembang dengan Bini Ustaz. Tak lupa diselitkan unsur pujian terhadap masakan yang dihidang supaya Bini Ustaz lebih bersemangat untuk masak pada hari-hari berikutnya.


4.30 petang
Tengok tv sambil mentekedarah kerepek pisang. Kaki bersilang letak atas meja.


5.15 petang
Dah sembahyang asar, keluar jogging. Kata amalkan gaya hidup yang sihat. Kahkahkah. Tapi memang aku jogging petang-petang. Kalau hujan saja aku duk terperap dalam rumah sambil online. Kalau agak nak gedik, aku aerobic lagu Waka Waka. Perasan seksi masa tu. Tak pa la. Aku buat kat rumah sorang-sorang dalam bilik. Tak dak sapa nampak. Allah nampak pun dia tak marah sebab aku tak gedik depan jantan.


6.57 petang
Dah siap mandi. Layan Akasia tv3. Sambil tengok tv, minum milo panas. Kalau aku berasa perut buat perangai, aku makan siap-siap. Aku malam jarang makan. Jadinya takut malam-malam nak tidoq menggigil satu badan, sebelum pukul lapan aku minum atau makan benda yang tak daklah berat sangat.


8.02 malam
Sembahyang maghrib. Kalau rajin baca Quran. Kalau malas lipat baju. Kalau malas malas, duk saja atas katil belek kuku sambil berangan. Agak dah masuk waktu isyak, terus sembahyang.


9.01 malam
Mengadap laptop. Sambil buat kerja online update blog dan melawat kawasan. Macam wakil rakyat dak? Ok, dak. Melawat kawasan tu maksudnya melawat blog-blog yang berkenan di hati. Kadang-kadang time ni jugak Bini Ustaz naik atas masuk bilik mintak tolong taip surat, buat minit mesyuarat bagai. Aku setiausaha kehormat Bini Ustaz. Untung ada anak macam aku. Walaupun tak berapa nak solehah tapi mudah minta tolong. Biasa la, aku memang suka puji diri sendiri. Hihihi


10.37 malam
Masuk tempat syaiton. Gosok gigi, cuci muka dan cepat-cepat keluaq. Tempat syaiton tak elok duk lama-lama *tazkirah selingan*. Kemas beg nak pi sekolah. Susun netbook, pencil case molek-molek macam tuan dia. Bersedia untuk tidoq. Tapi hati tak berapa tenang jadinya biasa online barang 15 minit baru tutup lampu. Hahaha.


Biasanya aku tak tau aku tidoq pukul berapa. Tapi dalam pukul 11.00 lebih aku dah tutup lampu. Siap tau dia tidoq pukul berapa memang terer. Terer la sebab dah pejam mata pun tau pukul berapa. Hebak mung!



Inilah yang aku lalui setiap kali hari persekolahan. Nampak macam bosan tapi sangat awesome sebenaqnya. Hahaha. Memang aku selalu tak bersemangat nak pi sekolah. Tapi bila dah pi sekolah, bersemangat mengajar sampai lajak ambil waktu orang. Tapi kadang-kadang saja la aku terlajak. Bila dah berjumpa kawan, balik rumah lambat sikit pun tak pa. Tambah-tambah dapat kawan yang bukan jenis bermuka-muka dan tak mengata :')

Bermuka-muka? Ala, bermuka-muka yang depan kita ajak makan sekali, ajak bersembang, mai mintak tolong buat dokumentasi tapi kemudiannya cakap yang bukan-bukan pasai kita. Adaaa, sapa kata tak dak manusia macam ni di kalangan cikgu? Cikgu bukannya nabiiii. Eh eh, ni awat tetiba jadi emosi nih. Oh, tetiba Aunty Flow mai melawat. Esok boleh mangkit lambat sikit.







Saturday, December 17, 2011

Setem Pulau Pinang satu



Sebelum Ustaz berpencen dan aku adik beradik-beradik menetap di Kedah, aku tinggal di Penang dan sempat bertadika dan bersekolah di sana. Selama di Penang aku kawan dengan Faridah Mansor, anak lecturer USM yang pandai serba serbi dan dengar-dengar dia masuk TKC dan jadi doktor. Aku pun kurang pasti tang yang jadi doktor sebab dah lama tak contact.

Sebelum aku pindah, kami tukar-tukar alamat dan janji nak tulis surat. Biasalah budak-budak. Jakun baru belajar tulis surat kiriman tidak rasmi.

Lebih kurang lepas sebulan dua aku pindah aku dapat surat dari Faridah dan aku memang eksaited tahap dewa terus beli samput kertas pen bagai nak balas surat. Aku pun tak ingat apa yang aku tulis tapi sudah pasti inti patinya tentang aku yang baru pindah ke Kedah dan yang memang aku ingat, aku ikut sejibik sejibon format surat kiriman tidak rasmi. Kahkahkah. Skema tak hengat.


Bila dan tulis surat dan siap dengan signature aku pun nak pos surat. Dah siap tulis alamat mintak kat Bini Ustaz nak naik basikal pergi pejabat pos. Wah, konfiden memang tahap tertinggi.

Sampai depan pejabat pos, letak basikal tepi tangga dan beratur kat kaunter Setem dan Pelbagai. Kejap-kejap aku belek surat yang aku pegang dan tengok duit di tangan.

Sampai saja turn aku, kerana tak cukup tinggi, aku kena menginjat sikit supaya pakcik di kaunter nampak wajah aku dengan lebih jelas. Kalau tak nampak dahi, mata dan hidung sahaja.


Pakcik kaunter terus tanya nak apa dan ada dik di belakang.

"Pakcik, bagi setem Pulau Pinang satu."

Kahkahkahkah pakcik kaunter tu gelak kat aku. Aku buat muka nak menangis. Pakcik kaunter tu lepas dah gelakkan aku dia cakap setem Pulau Pinang tak ada. Aku memang sedih dan terus kayuh basikal balik rumah.

Sampai rumah aku cerita kat Bini Ustaz dan dia pun bantai gelakkan aku sampai nak putus nyawa.

Dan bila aku teringat balik cerita ni, memang aku pun gelak kat diri aku sendiri. Mana la aku tau. Aku ingat kalau nak pos kena guna setem berdasarkan alamat negeri yang ditulis kat sampul. Nak pos ke Pulau Pinang, beli setem Pulau Pinang. Nak pos ke Selangor, pakai setem Selangor. Noob sungguh aku rupanya.


Ayuh gelakkan aku secara berjemaah.




Tuesday, November 1, 2011

Aku tak follow dia

Aku ke Sungai Petani kerana mengidam kek resepi rahsia sekaligus berjumpa kawan-kawan yang kami semua bajet konon macam Gossip Girl la sangattt.

"Wei hang Widad tak dak satu pun laman sosial ka hang join?"

"Aku ada blog. Sosial dak? Kekekeke (ini bunyi aku gelak. Aku tau huduh)." Bajet cool la sangat.

"Wahhh hang ada blog mesti hang kenai Hanis Zalikha."

"Hang pun kenai dia. Cuma dia la tak kenai kita." Ayat pasrah tak hengattt.

"Hang follow dak blog dia?"

"Dakkkkk"

"Awat? Pasaipa?"

"Sebab dia tak tutup aurat"






Sekian.






Ya, aku cuma baca blog dia dan memang semua blog yang aku follow adalah mereka yang menutup aurat sahaja.










p.s. Adakah aku terpengaruh dengan budak Mesir ini?









Tuesday, September 27, 2011

Pesanan PENTING

Aku akan mengambil peperiksaan pada hari Khamis, 29 September maka sila doakan aku supaya aku lulus dengan cemerlang.

Oh ya. Peperiksaan ini adalah untuk mengesahkan jawatan aku.

Adakah maksudnya selama ini aku mengajar secara tidak sah atau haram?

Itu bukan persoalannya.

Tolong doakan aku.

Terima kasih.





 

Tuesday, September 20, 2011

Sungguh Aku Noob

Semasa mengomen di blog student plus adik kawan aku, aku secara tidak sengaja telah menulis phrase 'sungguh aku noob' apabila aku tidak reti untuk meninggalkan komen di blog beliau. Sebagai seorang yang sentiasa berfikir dengan cerdas aku terfikir untuk menulis sebuah lagu dan menajukkan ia sebagai 'Sungguh Aku Noob' dan menyanyikannya sendiri lantas di-upload ke Youtube. Dengan harapan aku boleh glamer macam Yuna atau Justin Bieber.

Malangnya tiba-tiba aku terbayang ustaz bangun dari kubur lantas merotan aku berkali-kali kerana tiba-tiba mahu menjadi menyanyi padahal dah elok-elok jadi cikgu pekerjaan yang mulia maka cepat-cepat aku cantas hasutan iblis dan syaiton yang sesedap oren eh. Yang suka-suka nak menghasut aku.

Tahukan anda walaupun aku antara anak ustaz yang pandai menjawab, ada beberapa situasi yang menyebabkan aku digelar noob.

Dulu-dulu aku selalu tak puas hati bila kawan-kawan aku kata 'Kau ni noob lah Widad' *ini kawan-kawan dari selatan*

Kalau kawan-kawan dari utara biasanya akan kata 'Slow la hang ni' yang aku terima pakai maksudnya macam noob jugaklah.

Walaupun aku selalu tak berapa nak terima, tapi bila aku teringat perangai aku dulu-dulu, memang agak boleh terimalah kejian kawan-kawan aku tu (macam nak terima tak mau terima je statement ni).

Masa aku berusia 5 tahun plus plus, Ustaz telah menghantar aku ke tadika kerana aku sering merungut bosan duduk di rumah tak ada kawan. Walaupun ada adik tetapi asyik gaduh dan Bini Ustaz sudah pasti sokong adik maka perasaan tidak mahu berada di rumah membuak-buak.

Awalnya Ustaz membawa aku ke pejabat beliau tetapi aku sering saja mengganggu tugas-tugas dan kerja-kerja sehingga Ustaz tidak dapat concentrate maka Ustaz membuat keputusan untuk mengtadikakan aku sahaja. Aku tak ingat apa perasaan aku masa tu tapi aku redha saja sebab tadika tu sebelah je dengan ofis Ustaz.

Hari pertama di tadika, aku diperkenalkan dengan tenaga pengajar di sana. Eksaited tahu. Sehinggalah selepas waktu rehat seorang ustazah (walaupun ustazah dia bukan bini ustaz dalam blog ini) masuk dan memperkenalkan diri sebagai Siti Hajar.

Aku terus menunjukkan muka puzzle (aku agak-agak je muka aku macam tu). Lama aku tenung muka ustazah tu. Lepas tu aku terus buat muka tak puas hati. Aku terus rasa gelisah dan tak sabar nak balik rumah. Aku tak dapat fokus apa yang diajarkan dan nama Siti Hajar bermain-main di fikiranku dan mulutku juga tak henti-henti menyebut nama Siti Hajar dengan nada tanda soal dibelakangnya. Sekali pandang pasti ramai yang ingat aku sedang berzikir. Maklumlahhhh anak ustaz.

Masa dirasakan begitu lambat berlalu. Kejap-kejap aku tengok jam. Oh,lupa. Masa tu belum pandai baca jam. Tengok jam pandai, baca waktu jam tak berapa nak pandai. Maka penantian untuk waktu pulang ke rumah terasa sangat panjang. Sepanjang mana? Aku tak tahu. Terlupa pula nak ukur.

Tepat tak berapa nak tepat pukul 12.30 tengah hari terus aku berlari ke pejabat Ustaz dan minta segerakan menghantar aku ke rumah kerana ada urusan penting. Tipu je. Perkataan urusan pun belum tentu aku pandai sebut. Tanpa melengahkan Ustaz terus mencapai kunci motorsikalnya dan menyegerakan penghantaran aku ke rumah. Pasti dalam fikiran Ustaz 'Bagus juga dia balik. Tak kacau aku kat pejabat'

Sampai di rumah aku terus cari Bini Ustaz. Salam apa tak bagi terus jerit-jerit panggil Bini Ustaz yang aku tak dapat recall dia tengah buat apa masa aku balik. Mungkin tukar lampin adik aku gamaknya.

Bila Bini Ustaz datang jumpa aku, aku terus menghamburkan persoalan yang membuatkan aku resah gelisah di tadika dan tak sabar-sabar nak balik rumah.

'Mak, ustazah kat sekolah tu nama dia Siti Hajar. Nama dia sama dengan mak?!'

Ya, Bini Ustaz namanya Siti Hajar.

'Pastu pasaipa?' giliran Bini Ustaz pula menunjukkan muka puzzle.

'Macam mana nama dia boleh sama dengan mak? Mana aci nama dia sama dengan mak? Mana boleh?!' Nah akhirnya terhambur persoalan yang membuatkan aku seperti disampuk dalam kelas tadi.

'La, biaq pi la nama dia sama dengan mak pun' ini jawapan malas-nak-layan dari Bini Ustaz.

'Tak boleh la macam tu! Mana boleh nama sama!' aku dengan gaya hentak-hentak kaki tak puas hati dengan jawapan malas-nak-layan Bini Ustaz.

Seminggu juga aku asyik tanya soalan yang sama pada Bini Ustaz sehinggalah Ustaz yang dengar tiap-tiap hari mengambil keputusan untuk turut sama masuk campur.

Macam mana dia masuk campur?

'YANG KALUT SANGAT NAMA SAMA TU PASAIPA?! DUK TANYA BANYAK KALI....'

Caps lock tu tanda Ustaz dah naik angin. Maka persoalan tersebut terkubur begitu sahaja dan aku mendapatkan jawapannya sendiri seiring dengan peningkatan umur.


Nampak tak ke-noob-an aku. Aku tak boleh terima satu nama dikongsi ramai-ramai. Aku ingat satu nama untuk seorang sahaja. Mana aku nak tau. Lagipun aku baru 5 tahun plus plus masa tu.








Saturday, September 17, 2011

Ambil iktibar dari cerita ini

Aku suka makan di Zack Western Food di Baling. Sekurang-kurangnya seminggu sekali nampaklah wajah aku di sana. Teman setia aku tak lain tak bukan Bini Pak Ngah.

Bila berpindah ke sekolah baru, ada juga sekali dua aku ke sana dengan mereka. Aku sudah kenal dengan salah seorang pekerja di situ. Nurul namanya.

Malam tadi aku makan di sana. Seorang diri. Fikiran berkecamuk fikir tentang exam. Bukan ini pokok pangkal ceritanya.

Aku dikenali sebagai seorang yang ramah. Kerana dah selalu sangat makan di sana, maka malam itu Nurul memberanikan diri menyapa aku.

Nurul : Hai, sorang ja malam ni?

Aku : Hmm. Kalau lapar tak boleh tunggu ada teman. Sorang pun jadi (nampak tak keramahan aku di sini?)

Nurul : Duk mana?

Aku : Dekat-dekat sini. Kat Klinik Kesihatan.

Nurul : Ooooo (tak ingat berapa harkat Nurul punya o). Kerja apa?

Aku: Cikgu.

Nurul : Kat mana?

Aku : Kuala Pegang.

Nurul : Sekolah menengah ke rendah? Ajar apa?

Aku : Sekolah menengah. Ajar bahasa Inggeris.

Diam. Mungkin Nurul dah habis modal nak tanya apa maka sebagai seorang yang ramah aku perlu buat sesuatu.

Aku : Nurul kerja apa?

Nurul : HAH?!

Ayuh, gelakkan aku secara berjemaah!

Friday, September 9, 2011

Akibat Iklan Bangang

Aku : Awak dah besar nak jadi apa?

Dia : Nak jadi doktor.

Aku : Kenapa nak jadi doktor?

Dia : Sebab nak cure your back pain.

Aku : Ooooo. Tapi saya nak duit banyak. Nak bayar PTPTN saya yang ribu-ribu tu. Awak jadi akauntanlah!

Macam bangang je aku ni. Agaknya inilah akibat tengok iklan-iklan bangang kat tv.

Nak salah orang lain jugakkk.

Monday, August 15, 2011

Tahan air mata dan jangan rindu

Aku terlalu sibuk di bulan Ramadhan ini. Terlalu banyak yang perlu diselesaikan sehingga Bini Pak Ngah kata muka aku tak berapa manis. Mungkin kerana kurang gula akibat dari berpuasa.

Aku akan kembali. Sila rindukan aku bermula sekarang.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...