Showing posts with label Students. Show all posts
Showing posts with label Students. Show all posts

Wednesday, November 27, 2013

Kompilasi 2013


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Yang Dihormati, saudari laptop yang sentiasa menanti ditekan-tekan papan kekuncinya, Yang Berusaha, jari-jemari yang Alhamdulillah cukup sepuluh dan masih boleh membuat amal ibadat dan berkhidmat dengan Pencipta dan diriku, seterusnya pembaca-pembaca blog yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah (some more) bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bertemu lagi walaupun tak berapa hari lagi nak masuk tahun baru. Sumpah keji kerana mengabaikan blog. Kalaulah blog aku ini manusia yang punya nyawa sudah pasti dituntutnya fasakh kerana mengabaikan beliau. Sebab terlalu lama tak menaip entri, nak buat intro pun tak berapa nak lancar. Sekejap taip, kemudian backspace lepas tu rasa nak delete semua. Niatnya nak hilangkan stress (buat-buat ja konon stress) rasa macam tambah stress lagi. Tapi demi untuk tidak memelsukan janji, maka ku gagahkan jugak menaip entri yang tak berapa berguna ini.

1. Kenapa tak update blog?
Wajiblah aku salahkan PBS yang sistemnya telah membuatkan aku mempunyai tali pinggang hitam dalam arena pencarutan. Sakit hati betoi! Gila apa nak key-in lima orang budak sejam pun tak boleh buat. Loading loading loading sampai aku masak nasi dah makan dah sakit perut pun tak habis lagi. Idea siapa yang yang buat PBS ni. Ni yang nak buat aku mencarut ni. Haaaa awal-awal entri dah emo. Kahkahkah. Biasa la. Tak emo tak pompuan. Aku pompuan sejati. Wajib la emo. Tak gitu (pengaruh baca Blog Nara. Kahkahkah). Lain entri aku carutkan PBS ni. Entri ni tak boleh. Kenapa tak boleh? Aku punya blog, aku punya suka la. Hahaha. Emo lagiiii. Gilaaaaa



2. Pandai menguli
Tahun 2013 aku belajar bikin roti, pizza, donat dan segala mak nenek yang melibatkan aktiviti menguli. Asalnya aku ni haram tak pandai bab-bab roti kek ni. Tapi sebab aku suka makan roti dan kampung pula berdepan dengan Kampung Benggali, haruslah aku setaraf dengan mereka. Selalu orang Benggali memang pandai bab-bab uli roti ni. Sampai ada satu roti khas nama Benggali. Kita ambil sikit tempias nama kampung dan satukan dengan teknik-teknik yang dipelajari maka tetiba terus jadi pandai.





Hahaha. Nipu sangat tetiba sekali belajar terus pandai buat roti. Aku bukan taraf wali. Genius pun jauh sekali. Episod-episod roti tak jadi panjang sangat kalau nak cerita. Aku tak rajin nak menaip. Lepas tu banyak pulak kejadian-kejadian yang membawa malu sepanjang hayat. Maka, dipendekkan cerita, tak usah cerita. Hehehe.



3. Lompat kijang
Tahun ini juga, adik lelaki aku berkahwin. Umurnya 27 dan jodohnya sampai dulu dari aku walaupun masa zaman sekolah bermati-matian sebut tak mahu kahwin. Aku yang dari kecik tergedik nak kahwin tak pulak sampai lagi jodoh. Kehkehkeh. Tapi dia bukan langkah aku seorang. Dia langkah aku, kakak aku dan abang aku. Nah kau tiga sekali! Sebab itu namanya lompat kijang, bukan lagi langkah bendul.


Sebagai kakak yang tak berapa mithali tetapi tak mahu dikeji, maka kita hulurkan tangan ringankan beban. Aku pun tak ingat apa yang aku tolong. Tapi sebagai seorang yang pernah jatuh tangga dan akibatnya sakit belakang, aku buat yang ringan-ringan sahaja. Hihihi. Jodoh adik aku dengan orang Johor. Confirm Jawa berdasarkan nama ayah mentuanya. Hihihi. Jauh aku bertandang ke Johor. Kendurinya meriah. Siap berzapin bagai sampai ikut hati aku pun nak lompat naik atas tikar berzapin sekali. Over sangatttt. Makan pun sedap, layanan tiptop.

Selepas kenduri di Johor, acara diteruskan dengan berjimba di A'Famosa. Kakak ku yang baik hati sewakan banglo yang ada swimming pool. Sakan berendam sampai kecut jari kaki tangan segala. Aku pun dah ingat-ingat-lupa kejadian di A'Famosa. Yang aku ingat, mandi-manda dalam pool, ada BBQ, mandi-manda dalam pool, dan mandi-manda lagi dan lagi dan lagi. Memang tujuannya nak berendam dan mandi-manda kekdahnya. Gambar ada tapi tak boleh nak letak sebab semua pun pakai bikini. Kehkehkeh.

...sibuk sangat sampai tak ada gambar aku dengan pengantin. Tapi sempat camwhore bila perlu.


Sabtu yang lalu kenduri menyambut pula. Pun sibuk jugak dan aku rasa aku lebih kepada buat-buat sibuk. Hihihi. Hari kejadian aku memang sibuk sebab duduk (berdiri padahal) bersama Bini Ustaz menyambut tetamu yang hadir. Boleh jadi sebab aku tinggal bersama Bini Ustaz makanya kebarangkalian aku kenal para tetamu adalah tinggi dan aku pulak cantik, jadinya sesuai untuk menyambut tetamu. Hahaha. Akhirnya jumpa point nak perasankan diri.




4. Aktiviti menguruskan badan
Sejajar dengan peningkatan usia, maka kadar metabolisme dalam badan mula buat perangai yang boleh dicaruti. Aku dengan jayanya telah menjadi pengamal Zumba. Setiap Rabu petang dan sekali-sekala Jumaat pagi aku berzumba di MRSM. Ketahuilah bahawa aku adalah instructornya. Aku memang suka gedik-gedik atas stage jadi centre of attraction. Kehkehkeh. Tapi yang ikutnya perempuan sahaja. Sungguhlah tidak aku tegamak tergedik-gedik di hadapan lelaki. Gedik atas iman gitewww. Hahahahampeh. Bila kesibukkan melanda, aktiviti Zumba digantikan dengan berjogging. Sakan berjogging sampai ramai yang tegur aku dah kurus. Bahagia :')

Tapi bahagia tak lama. Berat naik semula. Mujur tak ada yang tegur. Siapa yang menegur wajib aku melahar secara live. Kalau yang tegur tu kurus menawan aku redha. Ini kalau badan macam pokok yang majlis daerah tanam atas divider kategori rendang tak berbuah simpan ketat-ketat hasrat nak menegur tu. Berat-berat badan aku pun, cuma 43kg. Bukan gemuk punnnn





5. Pro-ELT
Umum mengetahui guru Bahasa Inggeris dikehendaki menghadiri kursus Pro-ELT. Kelas aku setiap Selasa. Ni pun belum habis lagi. Ada lagi lima hari nak attend. Walaupun mula-mula benci dan meluat, lama-lama jatuh sayang sebab dapat kawan-kawan yang membahagiakan. Nalani, Evelyn, Shuping and Shima. Semua perangai gila and definitely I'm going to miss them after this. Tengok senarai kawan-kawan aku. Satu Malaysia sangat sebab cina hindu semua ada. Tetapi masuk part nak buat assignment tu yang buat aku lemah semangat terus meroyan. Banyak gila assignment!!! Nak bercinta pun kadang tak sempat. Inipun sambil buat assignment sambil taip entri. Semuanya demi kesejahteraan ummat. Tetiba?



6.  Marking and maki-ing
Tahun ini aku mengajar kelas tingkatan 5. Serupa nak gila marking essay sebab banyak sangat. Essay yang mengajar time sekolah, essay kelas tambahan, essay budak rajin, essay budak kena denda. Kadang-kadang marking lima minit, maki-ing tujuh minit sebab geram asyik ulang kesalahan yang sama. Marah! Marah! Hari-hari berdoa terjadinya keajaiban budak-budak jadi pandai maka tak banyak salah grammar.






Gigih buat kelas tambahan, perjumpaan ringkas sehingga jam 5.00 petang selepas tamat paper Bahasa Melayu. Hari peperiksaan dimaklumkan naik formal letter - letter of complaint. Padan muka aku. Rasanya sepanjang tahun 2013 dua kali sahaja aku buat letter of complaint. Lain-lain buat speech dan report. Tapi aku tetap redha dan bertawakkal (padahal rasa nak bunuh diri takut budak tak dapat jawab).





7. Supplement, jerawat dan skin care
Menginjak umur 30 secara tiba-tiba ada kesedaran takut sakit itu sakit ini, sudahlah duit tak banyak suami pun tak ada -__- Terus datang semangat nak berdisiplin makan supplement segala. News feed Facebook jangan cerita. Hari-hari ada orang share pasal Shaklee sampai aku sendiri serabut milo. Sebab dare to be different aku memilih Amway. Dari calcium, garlic vitamin yang segala huruf semua aku makan. Nasib tak baik muka naik jerawat. Setelah dilakukan siasatan dan ujikaji, aku tak boleh makan vitamin E sebab ada lecithin. Tak sekufu gamaknya maka aku bercerai talak tiga. Terus tambah stress yang ada sebab muka naik jerawat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Merata ada. Benciiiii.

Ketika jerawat memenuhi wajah, aku sedang menggunakan Tabita. Kulit dan cun tetiba naik jerawat. Sayangnya jodoh dengan Tabita tak panjang kerana Tabita juga tidak berupaya menghilangkan jerawat yang ada. Maka bercerai lagi aku. Pun talak tiga. Aku bernikah dengan Proactiv Solutions. Walaupun ada perubahan tetapi jerawat hilang tak istiqamah. Kulit pun tetiba jadi hitam padahal aku putih berseri hockayyy.


Used to have kuit cerah berseri. Sekarang bertukar malap.
The curious case of Michael Jackson in reverse order



Aku berpisah dengan facial foam dan toner nya. Dalam kesibukkan buat itu ini aku Google segala skin care yang ada di Malaysia. Dalam banyak-banyak aku tertarik nak guna SimplySiti. Makanya aku membeli secara online sebab murah dari beli di Watson. Lagipun inilah masanya kita nak menolong orang Islam berniaga. Ecewahhhh kemainnnn.



Tak sampai sebulan pakai kulit menunjukkan perubahan-perubahan yang boleh dibanggakan. Feeling kulit cantik tapi tak boleh takbur takut jerawat kembali menghantui. Selain dari istiqamah dengan SimplySiti, aku meneruskan makan Vitamin C, A dan calcium magnesium dari Amway, Vivix from Shaklee dan spirulina from Elken. Semua produk aku telan demi mengekalkan keremajaan yang hampir purba. Tsk. Tak lupa juga aku berdoa mintak dari Allah. Jangan tahu berusaha tapi tak berdoa. Sombong namanya tu.



8. Welcoming little Hadif
Tahun ini juga kakak ku dengan jayanya telah memberanakkan seorang kanak-kanak lelaki yang sumpah comel. Tapi part yang lucunya bila mencebik muka jadi petak. Hihihi. Sikit hari lagi nak cukup empat bulan. Kerana aku sangat takut dengan benda yang kecil dan lembik, maka aku tak pernah mendukung Hadif ketika beliau sangat bayi. Sekadar sentuh hujung jari dan senyum-senyum.



Kebolehan menjelir lidah. Ini rare. Tahniah Hadif!

Bila dia dah tak berapa bayi, baru aku berani pegang. Sungguh tak mak-mak diriku. Kesukaan Hadif baring di atas badan. Badan aku tak sampai dua jengkal. Hadif jauh lebih panjang makanya aku bukan slumber land untuk beliau. Baring tak sampat dua minit dah bunyi -___-





Sebenarnya banyak lagi benda aku nak cerita tapi aku dah tak ada mood nak menaip. Tambah pulak assignment banyak gila tak siap. Sebagai penutup, terimalah gambar menu tengah hari aku hari ini. Sedap nak arwah. Sila cemburu.



Penutup yang langsung tak ada kena mengena dengan entri





Wednesday, April 17, 2013

Sakit perut




Bahasa Inggeris tingkatan satu sekarang guna pakai sistem set. Kelas aku hari Isnin dan Selasa. Aku dapat Set 5. Set 4, 5 dan 6 serentak.


Ada sekali Set 4 cikgunya tiada. Kurang sihat dan aku terus masuk mintak buat kerja sendiri dan jangan bising. Di tangan ada pembaris besi. Imej garang tu penting. Kelas mula dari jam 10.40 - 12.40, dua jam. Makanya pasti ada yang pundi kencing size s maka akan kerap ke toilet. Pun aku pesan nak pergi toilet kena minta dengan aku dulu.


Baru sepuluh minit aku mengajar di Set 5, datang seorang budak perempuan stok bajet ayu. Datang ketuk pintu minta nak pergi toilet. Siap cakap omputeh. Sekolah kampung macam tempat aku mengajar memang susah nak train budak suruh cakap bahasa Inggeris. Rela tak ke toilet demi tak payah cakap Bahasa Inggeris. Makanya permission granted.


Selang lima belas minit (aku agak-agak saja) datang lagi minta nak ke toilet. Kali pertama berteman. Kali ini seorang diri.


"Bukan tadi ja awak baru pi? Ni pasaipa nak pi lagi?"


"Sakit perut, teacher...." Muka sedih sambil pegang perut. Sebab percaya aku bagi dia pi.


Lepas tu tak tau selang berapa minit. Tak boleh dah nak agak, mai lagi mintak nak pi toilet. Pun aku bagi. Lepas aku cakap "Yes, please." terus aku sambung pompang-pompang sebab bimbang kelak objektif tak tercapai.


Dah habis mengajar aku bagi latihan. Letih berdiri aku duduk sambil membelek buku rekod sendiri. Datang lagi budak yang sama mintak nak pi toilet. Aku senyum dan angguk. Aku sambung lagi belek-belek buku sendiri. Kagum tulisan tangan aku yang cantik dan kemas. Kahkahkah.

"Teacher...." Siti Hajar, budak kelas aku yang duduk paling depan, paling hampir dengan pintu panggil aku. Aku terus bangun pi mengadap.

"Yes sayang," Ya, aku panggil budak-budak aku sayang. Takpun honey bun, sweetie pie ikut sedap mulut aku sebab nak tunjuk aku ni kasih belaka dengan mereka. Ecewahhh. Tapi time marah hangit bun pun aku boh.


"Teacher cuba tengok budak yang nak pi toilet tu..." Siti Hajar tunjuk budak yang bajet ayu tadi, yang katanya sakit perut sebab tu istiqamah ke toilet, tengah melenggang kangkung naik tangga yang mengadap blok tingkatan tiga. Blok tingkatan tiga yang budak lelakinya tak pandai mengeja apatah lagi membaca tapi handal main peewit-peewit dengan adik-adik tingkatan satu dan dua.


Ketahuilah suara aku memang kuat. Kalau sekali aku tengking satu blok confirm boleh dengar. Sekali aku naik hantu, dua blok boleh dengar. Dua blok yang jaraknya dua ratus meter.


Berbekalkan kekuatan suara yang dimiliki, maka marilah malukan budak bajet ayu tadi.


"HAHHH, KAMU YANG KATA NAK PI TOILET TADI MELENGGANG-KANGKUNG PASAIPA. KATA TAK TAHAN SANGAT DAH NAK BERAK. TADI MAI MINTAK PI TOILET SAMPAI TERKENTUT-KENTUT, YANG TERHEGEH-HEGEH LAGI TU PASAIPA?

"SAT LAGI TAIK BERTABUR AWAK JUGAK YANG MALU"


Mencicit budak tu ke toilet lepas dengar aku berleter secara live dengan ayat-ayat menusuk jantung. Budak-budak laki tingkatan tiga yang asalnya memiwit telah mengeboo sambil gelak-gelak. Aku senyum puas hati.



Aku bukan suka-suka nak malukan dia. Tapi bila dia suka-suka menipu aku memang aku panas hati. Dan lepas tu langsung tak mintak pi toilet dah. Haaaaaa nak tipu la lagi cikgu awak nih?







Wednesday, April 10, 2013

Saya ada kanser hati



Budak perempuan tingkatan satu sekolah aku ramai yang stok gedik terhegeh-hegeh gatai belaka. Sehari dua puluh kali pergi toilet. Pergi toilet boleh lalu Block D, block abang-abang tingkatan tiga. Hati berbunga abang tingkatan tiga peewit-peewit padahal yang duk mengorat tu baca pun tak pandai. Nama sendiri pun gagal tulis dengan betul. Ada hati jugak budak-budak tingkatan satu nak buat boyfriend. Kelapaq jugak nak buat abang angkat. Geli! Geli!


Hari ni memebebel sekandaq kat budak perempuan ni. Mintak pergi toliet sambil pegang dada. Kali pertama tak bising. Kali dua aku dah tak berapa nak suka. Kali tiga aku hangin terus jadi mulut naga.


"Ni yang nak pi toilet dua tiga kali ni pasaipa? Tak kena tang mana?"


"Saya tak sihat teacher..." Muka sedih tak mau-mau.


"Tak sihat celah mana?" Setakat tayang muka sekupang depan aku ingat aku nak percaya?


"Saya sakit teacher...saya ada kanser hati..." sambil tangan pegang dada.


Ni pengaruh lagu Melayu la ni. Bila lirik ada sebut hati, penyanyi pegang tang jantung. Lagu orang puteh sebut heart tak apa la pegang dada.


Lagi satu nak marah sebab main sebut kanser hati serupa kanser hati tu sakit perut, pening kepala. Confirm nak menipu aku tu. Sanggup demi abang-abang tingkatan tiga yang tak reti baca.

















Friday, March 8, 2013

Resam pelajar












Ditujukan untuk pelajar-pelajar saya dengan ucapan 'Teacher sayang anda semua walaupun bila teacher pompang-pompang di depan dan anda yang duduk kepala terteleng-teleng berpusing-pusing dan tersengguk-sengguk sekali imbas macam pengikut Ayah Pin. Semoga hidup diberkati Allah dan beroleh (peroleh?)  kejayaan di dunia dan akhirat'.

Selamat Hari Jumaat!

Wednesday, February 27, 2013

Cerita Kelas Belakang #3





Aku guru kelas 5 Tekun. Juga kelas paling belakang. Memang biasanya kelas belakang guru kelasnya perempuan. jarang sangat lelaki melainkan dikenalpasti sebagai cikgu lelaki yang rajin.


Awal persekolahan aku di hospital. Hospital yang sama, Metro Specialist. Jadi bila aku dah balik ke sekolah budak-budak sibuk tanya pengalaman tinggal di wad. Kelas 5 Tekun cuma 14 orang. 12 lelaki dan dua perempuan. Budak lelakinya seribu kali rajin banding dengan minah dua orang tu. Macam melampau pulak banding dengan seribu. Sepuluh kali dah la. Tapi sungguhlah yang lelaki ni senang buat kerja. Suruh sikit mesti dia buat. Tapi kena cakap baik-baik. Kena panggil abang hensem atau sayang laju buat kerja.


Budak perempuan malas tahap tak tercapai dek akal. Menjadi penolong setiausaha ko-kurikulum, aku kena cantikkan board ko-kurikulum. Bila mintak tolong budak laki, selepas menanam tebu di pinggir bibir terus sukarela tolong. Tapi dalam tolong tu, mainnya memang banyak. Budak perempuan yang sorang tu bagi alasan dah tiga hari tak tidur.

'Tak tidoq pasaipa sayang? Mengasuh anak ka?'

Tarik mucung sedepa boleh ikat buat penyangkut baju. 'Teacher tau dak saya sakit gigi. Memang takleh lena.'

Sakit gigi tapi sebelum tu aku tengok duk usung teh ais ikat tepi. Tak apalah. Aku malas nak soal-siasat lebih-lebih. Aku suruh dia duduk dalam kelas elok-elok. Yang kawan lagi seorang dah buat iklan colgate. Nak teman katanya. Nampak sangat beralasan takmau tolong aku buat kerja.


Sambil buat kerja bersihkan papan kenyataan, Hafifi budak lelaki yang suara serak-serak basah dan paling rajin bersembang dalam kelas bersembang peristiwa aku di hospital. Peristiwalah sangat. Lemah vocab aku bila dah lama tak menaip entri. Balasan.


'Teacher duk kat Metro syok dak?'

'Syok sebab boleh rehat. Lepas tu depa urut-urut. Tapi makan tak sedap.'

'Kita ada hospital Metro ja ka teacher?'

'Hospital Pantai, KMC, PMC, ada banyak lagi. Pasaipa?'

'Dak la, Metro tu suratkhabar Metro yang punyakan? Berita Harian dengan Utusan depa takdak hospital ka?'


Hahahaha. Memang aku gelak besar. Aku tak boleh nak jawab soalan tu sebab asal tengok muka Hafifi aku nak tergelak. Dia tak berapa cerdik, tapi dia rajin berfikir
 :')
Lain kali teacher jawab na sayang.











Friday, February 15, 2013

Sebab-sebab pelajar sekolah bergaduh



Profession sebagai pendidik sedikit sebanyak menjadikan diri sebagai polis. Berbekalkan vokal yang halus tetapi lantang suara aku mampu mengalahkan pelajar-pelajar Akademi Fantasia yang tak ada satu pun kemenjadiannya. Kalau polis menggunakan cota dan pistol sebagai senjata, guru di sekolah hanya menggunakan suara, pembaris atau rotan. Aku guna suara dan pembaris. Pembaris besi. Aku pernah gunakan rotan sekali saja. Guna rotan tak practise dan malang memang tak ada bau macam kentut. Sewaktu menggunakan rotan aku tertibai diri sendiri. Sebab aku pendek dan rotan tu boleh tahan panjang. Rotan dah makan tuan maka aku humban rotan jauh-jauh. Pembaris besi lebih banyak digunakan ketuk meja berbanding tibai budak-budak degil di sekolah. Aku tibai tangan saja.


Bila baca perenggan pertama dengan tajuk entri haram tak ada kena mengena. Tapi tak apa. Haram yang ini kalau buat tak termasuk dosa besar. Dosa kecil pun tidak. Kali ini aku ingin bawakan kepada andasebab-sebab pelajar sekolah bergaduh. Mengajar di sekolah harian yang masing-masing nak tunjuk hero memang hari-hari boleh lihat bergaduh kecil sehinggalah yang besar.



1. Pergaduhan senior-junior
Ini merupakan pergaduhan yang tidak asing lagi. Tak kira yang lelaki mahupun perempuan yang mana ada gen pembuli di dalam badan biasanya memang mencari kesempatan membuli. Kebiasaannya kes bergaduh di antara senior dan junior mencakupi hal remeh temeh tetapi dibesar-besarkan macamlah serius sangat.


Contoh paling hampeh yang aku ingin kongsikan di sini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di sebuah sekolah berasrama. Sekolah berasrama sudah pasti menyediakan pelbagai kemudahan untuk para pelajar seperti dewan makan, padang dan surau. Bagi yang tidak pernah tinggal di asrama boleh jadi tidak tahu bahawa surau juga dijadikan tempat melepak dan menculas. Bagi yang tinggal di asrama tapi tak tahu sungguhlah anda memang naif tetapi naif yang tidak comel.. Hehehe. Kebiasaannya port-port di surau seperti sudah ditanda oleh kumpulan-kumpulan pelajar. sebagai contoh, tiang nombor lima dan enam dalam surau tempat pelajar tingkatan dua duduk, maka pelajar tingkatan satu yang baru masuk jangan mengada nak labuh punggung kalau takmau kena terajang di asrama kelak. Yang berlagak otai dan seniorlah sangat biasanya suka duduk di luar, di koridor surau. Ada satu hari pelajar tingkatan empat yang tak adalah ramai sangat duduk melepak di koridor luar surau yang biasanya port pelajar senior yang bajet abang besar maka perlu dihormati dan sekaligus mempromosi tagline jangan usik kawasan kami. Dek kerana tingkatan empat duduk tempat si kumpulan senior maka balik asrama terus jadi kes sepak terajang. Kalau dah berasa hebat dan kuat hendak saja aku poskan budak-budak begini ke Palestine. Lawanlah dengan Zionis. Kurang-kurang dapat pahala mati Insyaallah ke syurga.

Taken from here

Yang perempuan juga bergaduh antara senior dan junior. Motif-motif pergaduhan juga biasanya tidak matang seperti menggunakan ampai pelajar senior, menggunakan bilik air pelajar senior dan macam-macam lagi yang sungguh tidak berbaloi untuk digaduhkan. Namun demikian pelajar perempuan jarang berlaku bergaduh sehingga melibatkan fizikal. Pergaduhan lebih kepada memboikot atau yang perasan besar dan hebat akan kenakan team junior dengan objektif memalukan mereka di khalayak ramai.




2. Kata-mengata dan ejek-mengejek
Ini memang berlaku especially kalau dari rumah antara adik-beradik memang sudah jadi tabiat ejek mengejek dan kata mengata. Kadang-kadang siap ada lagu khas tapi sungguhlah tidak layak untuk ke Juara Lagu. Lagu paling glamour zaman sekolah 'Lan lan tak, lan pala (kepala) botak' dan siapa yang nama bunyi ada lan tak kira awalan atau hujung memang selalu jadi mangsa dituju lagu tak best begini. Bila bergaduh putus kawan lagu favourite 'Tak mau kawan sudah, namanya Dolah, teteknya sebelah'. Memang tak tercapai dek akal kerana entah siapa yang tak mahu dikawan disabitkan dengan Dolah. Dan terus sebut tetek sebelah. Ini kes kanser payudara atau macam mana?


Pernah sewaktu Hari Kokurikulum di sekolah budak perempuan bergaduh dan siap bertumbuk. Puncanya budak yang ditumbuk sebarkan cerita dia anak angkat. Budak yang menumbuk ajak geng tabuh secara berjemaah dan ikut hati aku rasa hendak aku tabuhkan saja budak yang menumbuk itu. Apa yang nak terasa hati sangat kalau anak angkat? Lainlah direka cerita anak tidak sah taraf. Yang itu aku pun join sekaki. Hehehe. Bukan tumbuklah. Join sekaki menasihati. Bunyi sahaja kaki. Tapi aku yang tak cukup tinggi dan badan tak besar mana memang tak berani nak gaduh-gaduh melibatkan fizikal melainkan dengan anak-anak saudaraku yang masih tak cukup inci. Itu memang lawan aunty. Hihihi




3. Nak tolong cikgu
Menjadi guru yang pandai melawak, selalu tersenyum memang untung sebab budak sekolah memang berebut nak tolong. Kadang-kadang datang kelas aku cuma bawa buku rekod dan pencil case tetapi bila terserempak di tengah jalan berebut nak tolong bawa. Pernah sekali berebut nak bawa jatuh pencil case aku. Tapi sebab baik hati aku tak marah. Ecewahhh nak jugak puji diri sendiri. Ya, setakut jatuh pencil case tak marah. Cuba jatuhkan handphone aku. Mahu aku berkicau sepanjang hari. Mahu boleh dengar suara halilintar aku serupa sudah ada build-in microphone di anak tekak. Bergaduh berebut nak tolong cikgu nampak comel di mata aku. Sebab terasa diri disayangi especially macam aku yang terang-terang garang macam mak tiri.





4. Berebut kawan
Dari zaman tadika, masuk sekolah rendah sehingga sekolah menengah bergaduh berebut kawan memang betul-betul terjadi. Aku pun tak faham kenapa berebut nak berkawan? Apa yang best sangat dengan kawan seorang tu pun aku kurang pasti. Boleh jadi yang seorang itu hari-hari belanja dia makan maka bila tak ada dia rabaklah poket sendiri. Boleh jadi juga kawan budak pandai dan rajin. Boleh tiru buat kerja rumah. Hahaha. Pada pengamatan aku kes berebut kawan berlaku di kalangan pelajar perempuan sahaja. Kaum adam tak kisah dan langsung tak peduli lantak sahaja nak kawan dengan siapa. Biasa yang suka berebut kawan hati jenis lembut. Dipukul angin pun menangis barangkali. Leceh. Aku memang tak suka jenis kawan nak geng lepas tu dia seorang saja nak bolot. Ini kalau mak ayah meninggal sudah pasti semua harta nak bolot.



5. Berebut jantan/betina
Yang ini memang rasa nak bagi kaki. Kejadahan apa nak berebut jantan sehingga sanggup bergaduh bertumbuk bagai. Di mata mereka pakwe sekolah yang gagah perkasa gentleman jalan terjengket-jengket adalah bidadara dunia. Makanya harus dipertahankan dengan bergaduh bertumbuk dan mencerca kaum sendiri. Bila bosan kadang aku layan Youtube cari pasal budak sekolah bergaduh. Dahsyat. Ini kalau buat bini hari-hari bergusti makanya yang si lelaki elakkanlah dari dapat bini sebegini. Ada yang pendek akal dua budak perempuan yang boleh tahan cerdik bergaduh berebut jantan kelas belakang. Kes begini afdhal ditampar dahulu dengan harapan dapat keluar dari kegelapan dan memperoleh kewarasan, kemudian barulah dinasihat.

Pakwe sekolah juga bergaduh berebut betina. Hahaha. Sungguh aku tidak faham kenapa nak rebut. Adakah betina yang direbutkan tolong basuh baju, tolong masak, tolong sedia makan sehingga nak rebut dengan bertumbuk bagai. Terjadi juga pergaduhan sehingga melarat ke luar sekolah. Yang betina tepuk tangan berasa gah menjadi rebutan padahal kalau setakat budak kelas paling hujung yang kalau suruh tulis nama tercabut segala bulu, memang buang masa tak ada faedah nak rasa bangga.







Setiap hari manusia bergaduh. Macam aku bergaduh melawan nafsu. Bangun pagi bergaduh dengan nafsu tidur. Kadang kala berlanjutan berperang dengan syaiton kerana liat nak bangun subuh. Amacam? Ada unsur keustazahan tak? Hahaha. Waktu makan bergaduh dengan lemak-lemak yang degil tak mahu keluar sewaktu beristinjak. Pendek kata memang sehari lebih lima kali aku bergaduh. Budak sekolah kanak-kanak ribena tak cukup matang apatah lagi. Macam-macam perkara hendak dijadikan sebab bergaduh. Bergaduh melawan nafsu, itu jihad paling besar. Tapi yang mana bergaduh berebut jantan, berebut betina, dua perkataan aku nak bagi...bangang abadi.











Thursday, February 7, 2013

Cerita kelas belakang #2



Hari ini mengajar Tingkatan 2 Tekun. Kelas paling belakang. Walaupun paling belakang aku suka kelas ni sebab budak-budaknya dengar kata dan jarang buat aku sakit hati. Aktiviti hari ini aku minta mereka fill in Johan's weekly planner. Mula-mula sudah pasti baca extract secara berjemaah. Baca tiga kali. Ada yang cuma reti tulis nama sendiri tapi bila baca text Bahasa Inggeris secara berjemaah sengih macam kena loteri.


Seronok boleh baca dalam Bahasa Inggeris walaupun hanya burung kakak tua. Tak apa. Yang penting mereka mahu. Effort tu yang penting dari yang berlagak pandai tapi pemalas apa pun malas buat.


Sampai perenggan akhir, aktiviti Johan di hujung minggu adalah membeli belah di pasar malam. Terus tanya soalan pasal pasar malam. Masing-masing sebut pasal makanan. Dari rangka ayam sampai nasi ayam semua disebut.


Ketua kelas, nama Zainurul tanya aku, 'Teacher suka dak pi night market?'


'Boleh laaa. I rarely go to night market except bila teacher craving for specific food.' 
(cakap campur-campur supaya dia faham)


'Craving tu apadia teacher?'

'Teringin.'

'Teacher selalu teringin apa?'

'Cakoi' (char kway)

Lepas tu ramai-ramai bising sebut cakoi dan ada yang berkerut dahi tak tahu cakoi. 

'Kamu tau dak cakoi tu apa?' 


'Tau teacher, tau! Char kuey teow!' 
Confident dua budak aku jawab. Zainurul dan Aina. Memang nama sebenar.


Hahahaha.

Kenapa budak-budak ni naive sangat? Comel!














Thursday, December 6, 2012

Jenis-jenis pelajar yang dapat dilihat di dalam dewan peperiksaan




Memilih pekerjaan sebagai guru, anda tidak mengelak mahupun menepis daripada menjadi pengawas peperiksaan. Sekurang-kurangnya sekali seumur pekerjaan, anda akan menjadi pengawas untuk peperiksaan-peperiksaan umum yang terdapat di Malaysia seperti UPSR, PMR, SPM, MUET dan STPM. Tahun ini merupakan kali keempat aku mengawas peperiksaan dan kali pertama untuk peperiksaan SPM. Sungguh bahagia apabila aku hanya perlu mengawas selama enam hari. Empat kali mengawas peperiksaan, aku dapat mengklasifikasikan jenis-jenis pelajar yang terdapat di dalam peperiksaan.





1) Pelajar masa depan gemilang
Pelajar yang masa depannya gemilang dapat dilihat dari sebelum bermulanya satu-satu kertas. Sebelum melangkah masuk ke dewan, tangan diangkat memohon doa. Doanya sudah pasti panjang dan boleh jadi qunut nazilah juga dibaca. Melangkah masuk ke dalam dewan menggunakan kaki kanan. Kalau tersalah rela berundur walaupun tahu belakangnya ramai yang sedang menyerbu dan diri tak ada side mirror. Sewaktu berjalan masuk, mulut terkumat-kamit. Terkumat-kamit membaca doa ataupun menghafal nota-nota penting. Nak duduk doa. Tatkala ketua pengawas mengumumkan boleh mula menjawab soalan, ditadahnya tangan sekali lagi berdoa. Menjawab pula dengan khusyuk. Sekali sekala tengok jam bimbang tak cukup masa. Masa menjawab digunakan sepenuhnya. Agak tak cukup kertas, laju angkat tangan. Aku yang mengawas pun jalan laju macam penguin nampak ikan dalam air jernih tak sabar nak terjun laut. Dah cukup masa, kadang tak henti menulis. Kalau dah habis, semak dua tiga kali. Bila pengawas dah kutip, baca doa lagi. Nak keluar dewan, ucap terima kasih, senyum dan lagi ada doa. Huiiii. Kagum aku. Macam-macam doa boleh ingat. Cerah hati. Tahniah. Terus aku nampak bayang A lurus untuk pelajar begini.




2) Pelajar PJJ
Bagi anda yang bersekolah di asrama penuh, atau sekolah budak-budaknya pandai belaka, pasti tidak tahu pelajar sekolah menengah ramai yang belajar secara PJJ. Bulan Januari datang sekolah, mendaftar dan ambil buku teks. Yuran PIBG belum tentu dia bayar. Tak apa. Itu boleh kutip hari nak ambil keputusan. Masa setiausaha peperiksaan minta guru kelas kutip duit yuran SPM, dia pun bayar dan semangat isi borang fotostat kad pengenalan segala. Bulan berikutnya, 20 hari sekolah, 15 hari sahaja dia muncul. Bulan berikutnya 10 hari dan semakin bertambah bulan semakin kurang hari kedatangannya. Bulan 7, bulan 8 terus hilang seperti disorok bunian. Tapi kalau disorok bunian petang dan malamnya yang kita tak nampak. Tapi pelajar PJJ, petang dan malamnya berpesta muda mudi tak ingat mati.


Tiba di hari peperiksaan, boleh muncul tanpa rasa malu dan datang bergelak ketawa seperti sudah berkurun dia bersedia. Padahal sekolah haram tak datang dan biasanya guru-guru menggelarkan mereka PJJ. Nama saja PJJ, tapi jangan haraplah mereka di rumah membaca dan mengulangkaji secara maya. Mungkin lebih banyak membuta dari mencelik. Mereka ini di dalam dewan peperiksaan datang sekadar menyakitkan hati guru di sekolah dan guru yang mengawas. Sudahlah tak mahu menjawab soalan. Di dalam dewan usik mengusik rakan yang ada dan ada yang perasan kacak dimengoratnya pengawas yang comel seperti aku. Huahuahua. Akhirnya jumpa point untuk aku perasankan diri. Kahkahkah dan sila jangan carutkan aku. Baiklah, mari kita sambung. Biasanya aku selalu memaksa mereka keluar dari dewan peperiksaan. Bukanlah aku memaksa dengan menghalau atau menggunakan teknik mengugut atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya aku akan mengulang tanpa jemu yang mereka dibenarkan keluar selepas 30 minit masa peperiksaan berlalu. Di samping itu aku juga meracuni fikiran mereka dengan kelazatan makanan di kantin atau keempukkan tilam di rumah. Hihihi




3) Pelajar ganjil
Pelajar ganjil bukanlah pelajar yang mempunyai angka giliran yang ganjil di dalam dewan peperiksaan. Tetapi terma ini merujuk kepada pelajar yang bersikap ganjil seolah-olah dia berada di dalam dunianya sendiri. Sewaktu pelajar lain gigih menjawab mahupun menghentam jawapan, dia sibuk membelek benang yang diberi. Benang yang sepatutnya diikat pada kertas dipusing-pusing pada hujung pen atau pensel dan kemudian tersengeh sendiri. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran beliau tetapi biasanya aku akan berjalan menghampiri pelajar begini dan memberi pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan dan aku sendiri pun tak tahu bagaimana hendak mengekspresikan pandanganku itu dengan kata-kata.


Lihat dunia pelajar ini. Wajahnya tampan tapi stokin yang dipakai....nahaiiii


Pesanan penaja: Muka yang nampak kental jangan disangka gagah. Mungkin punggungnya longgar

Senang cerita, biasanya selepas menerima pandangan begitu, pelajar begini akan mengamalkan konsep tomma'ninah. Makna kata berhenti seketika dan sejurus aku berlalu pergi, dia menyambungnya lagi seolah-olah tidak terkesan dengan pandangan aku tadi. Cis!





4) Pelajar taqlid
Sebagai bekas pelajar sekolah agama disamping diberi jolokkan anak ustaz...hahaha. Tetiba aku rasa macam tak berapa nak kena perkataan jolokkan tu. Tak apa. Tak penting. Makanya aku rasa wajar aku menggunakan terma berunsurkan bahasa arab. Biasalah, bajet handal serupa hebat sangat tak lain tak bukan akulah.


Makanya pelajar taqlid adalah pelajar yang mengikut perbuatan rakan-rakannya yang lain secara mengkhinzir buta. Sebagai contoh, kawannya angkat tangan mohon ke tandas, dia juga sibuk cerita pundinya size XS maka mahu turut serta ke tandas. Dilihat kawan yang lain angkat tangan minta kertas, dia juga sibuk mahu kertas padahal kertas yang diberi awalnya guna bahagian atasnya sahaja. Ya, bahagian atas yang perlu ditulis nombor kad pengenalan, angka giliran, nama matapelajaran dan kod kertas. Itu sahaja tetapi dek kerana nak mengikut kawan dan konon tak mahu ketinggalan, gigih angkat tangan minta itu ini.





5) Trend-setter
Yang trend-setter begini setiap kelas atau dewan peperiksaan seorang sahaja. Biasanya muka yang sama dan pakwe sekolah yang akan jadi trend-setter. Maksud aku di sini, ini adalah pelajar pertama yang angkat tangan untuk meninggalkan dewan peperiksaan. Pelajar-pelajar lain sebenarnya tak tahan juga berlama-lamaan di dalam dewan bimbang punggung mereka berakar barangkali. Tetapi masing-masing tidak mahu jadi yang pertama walaupun mendapat isyarat dari rakan seperjuangan untuk bangun secara serentak tetapi masih tidak bangun-bangun dan keluar dari dewan peperiksaan. Aku kadangkala mahu sikukan sahaja pelajar begini kerana sesungguhnya mata aku rimas melihat aksi mereka. Dan secara tiba-tiba sewaktu aku hampir melampiaskan marah aku, akan ada penyelamat di mana tanpa ragu-ragu dan mempamerkan wajah kental tangan diangkat dan mohon untuk keluar. Dan tak tunggu lama, pelajar-pelajar taqlid tadi akan turut akan tangan dan keluar secara berjemaah.




6) Pelajar buaih
Buaih ini adalah dialek utara yang kata dasarnya adalah buas. Tetapi buas ini bukan bererti liar seperti buaya di dalam sungai Amazon mahupun amazon dot kom. Buaih boleh didefinisikan sebagai tak boleh duduk diam. Pelajar buaih di dalam dewan peperiksaan merujuk kepada pelajar yang peralatan menulisnya kerap kali jatuh. Kalau bukan tudung pen, boleh jadi kad pengenalan atau slip peperiksaannya jatuh. Sebagai pengawas sudah pasti aku perlu mengutip barang yang jatuh dan dengan tertib meletakkannya semula di atas meja pelajar begini. Tunggu lagi barang 10 minit benda lain pula yang dijatuhkan. Sesungguhnya pelajar yang sama yang akan jatuh segala benda yang ada di atas mejanya. Mujur anggota badan yang lain memang bersambung sejak azali. Kalau semua boleh main tanggal, tak mustahil benda dalam seluar pun tertinggal atau terjatuh tengah jalan.






Ada juga pelajar-pelajar yang tanpa rasa malu angkat tangan tanya jawapan pada pengawas. Kalau peperiksaan Bahasa Inggeris, ada yang tanpa ragu-ragu mohon aku berikan maksud perkataan. Ada juga jenis yang angkat tangan dan bila pengawas tanya ada apa dijawabnya dia sedang mengeliat. Yang ini memang tunggu hari nak makan kaki aku! Mengawas peperiksaan sebenarnya sangat menjemukan dan meletihkan. Perlu berkawad, tak boleh bersembang, perlu sentiasa peka membuatkan aku pengsan di atas katil tatkala sampai di rumah. Dan akhir kata, pengawas peperiksaan tak sama dengan pengawas sekolah. Pengawas peperiksaan baik hati dan comel. Contoh mudah sudah pastilah diriku. Pengawas sekolah...malas aku nak cerita.













Friday, September 28, 2012

Ros






Aku tak ingat bila kelas aku ada budak baru dari rumah anak yatim yang tak jauh sangat dari sekolah aku. Memandangkan usia yang sudah mahu masuk three series, maka mengingati setiap nama pelajar aku memang perkara terakhir aku akan buat. Yang penting aku cam muka dan tahu dari kelas mana.



Maka anak yatim itu duduklah dalam kelas aku dan kerjanya hanya tidur, tidur dan tidur. Mula-mula memang aku angin lama-lama aku letih dah nak marah sebab 10 kali aku kejut dia bangun, 9 kali dia bangun dan kemudiannya 10 kali dia tidur. Tidur yang kesepuluh tu dah tak kuasa aku nak kejut sampai dia bangun. Sakit hati dan buang masa saja yang aku dapat.



Satu hari ada diagnostic test untuk bahasa Inggeris. Aku pun masuk kelas dan edar kertas dan bagi penerangan macam mana nak jawab. Sebelum tu dah ingatkan supaya tulis nama, tulis nama, dan tulis nama. Budak kelas belakang memang kena sebut banyak kali sebab kalau kelas lain mungkin masuk telinga kiri keluar telinga kanan, tapi kalau kelas belakang, apa-apa yang kita cakap, lalu tepi telinga dia pun belum tentu. Bukanlah semuanya begitu, tapi banyaknya begitulah.



Tak sampai sejam dah habis jawab. Bukan sebab terer, bukan sebab handal tapi sebab tak reti. Ada la dua tiga budak yang buat tapi aci kerat jari yang boleh buat tu pun takkan boleh buat semua soalan. Sebabnya ini kelas belakang. Majoritinya tak jawab langsung walaupun aku ni kadang-kadang ada jugak bagi-bagi clue macam mana nak jawab. Tak reti tambah dengan malas memang pakej lengkap yang lepas lima minit waktu periksa terus angkat tangan hantar kertas.



Lepas satu jam aku pun mula tanda kertas. Waktu rehat dah siap segala aku mula nak tulis markah dalam buku rekod. Sambil kira markah, sambil tulis markah dalam buku rekod. Satu-satu aku buat takut silap key-in tiba-tiba budak kelas aku yang tercorot ni boleh dapat markah lagi hebat dari budak kelas depan. Kalau soalan objektif, mungkin. Tapi ini semua soalan sturuktur open-ended bagai.



Tiba-tiba sampai pada satu kertas yang tulis nama Ros. 
Ros? 
Ros mana? 
Sejak bila kelas aku ada budak nama Ros? 
Ros?


Puas aku fikir sampai berkerut-kerut dahi cuba imagine budak kelas aku yang nama Ros. Walaupun aku tak ingat nama, tapi bila senarai nama ada depan mata, secara tiba-tiba jadi terer boleh bayang muka-muka dalam senarai nama tu walaupun bila dalam kelas aku hentam saja panggil apa asalkan tak ada yang bawa maksud yang buruk.



Ros?
Siapa Ros?



Tulisan memang jujurnya huduh Ya Rabbi! Huruf kecil besar suka-suka hati dia nak tulis. Biasanya aku memang cam tulisan budak-budak dalam kelas aku. Tapi yang bernama Ros ni memang aku fail.




Sebab tak puas hati tak ingat atau mungkin aku tak kenal siapa si Ros ni, terus aku panjat tangga di blok belakang yang sumpahlah, kelas ini adalah kelas yang paling jauh. Sudahlah blok yang paling belakang, kelas pulak di tingkat tiga dan kelas yang paling hujung. Gigih aku berjalan semata-mata kerana Ros.



Sampai saja dalam kelas terus aku tanya siapa yang ambil diagnostic test tadi. Semua angkat tangan dan aku kira satu-satu. Bilangan yang angkat tangan sama dengan bilangan kertas yang aku tanda. Maknanya memang Ros wujud dalam kelas aku.



Oleh kerana aku tak mahu tunjuk yang aku tak tahu ada nama Ros dalam kelas aku, maka aku pun bagi kertas-kertas soalan tadi suruh semak markah. Bila sampai nama Ros, aku tiba-tiba jadi berdebar-debar. Hak tuih berdebar konon. Tak ada rasa apa pun padahalnya.



'ROS!!!!!


Kuat aku panggil nama dan sekali budak laki yang bangun datang ambil kertas sambil tersengeh-sengeh.
Satu kelas gelakkan budak laki tu. 
Ya, budak lelaki! 
Budak lelaki dari rumah anak yatim yang selalu aku letih dah nak marah sebab 10 kali aku kejut dia bangun, sembilan kali dia bangun dan kemudiannya 10 kali dia tidur balik itu.



"Ros??? Nama penuh apa?"



ROSfarizal


"Takkan kawan-kawan panggil hang Ros???? Pasaipa tak tulis nama penuh????"




"Tak reti"














Tsk














Ya, anak yatim yang masuk kelas aku tu lelaki dan namanya Rosfarizal. Mampu, tulis Ros saja? Gila kentang! Dekat 10 minit aku berletiaq. Tapi hari ni dah boleh tulis nama penuh. Maka satu pencapaian yang membanggakan untuk aku dan cikgu-cikgu yang lain.







:')


Monday, April 16, 2012

Perkara-perkara yang aku tak faham tentang perempuan: Edisi Budak Sekolah



Tahukah anda perempuan merupakan makhluk yang sukar difahami. Aku yang dilahirkan sebagai perempuan sejati kadang-kala tak faham dengan diri sendiri. Kalau bahasa omputeh akan menggunakan adjektif complicated untuk menyatakan betapa rumitnya orang perempuan ini.



Untuk kali ini, julung-julung (julung-julung konon bajet gempaklah sangat) kalinya aku akan paparkan edisi budak sekolah. Budak sekolah di sini mencakupi sekolah rendah dan sekolah menengah. Aku pernah menjadi budak sekolah. Dan sekarang profession aku juga perlu untuk aku hadam fiil budak-budak sekolah. Walaupun telah berada di dalam dunia persekolahan selama 11 tahun dicampur empat tahun sebagai guru sudah jadi 15, aku masih belum faham beberapa perkara tentang budak perempuan di sekolah. Ayuh kita kaji adakah anda mengalami situasi yang sama.



1) Pujian bermaksud suka
Aku antara perempuan yang telus apabila memberi komen atau pujian. Kalau aku rasa benda tu comel, cute maka tak bertangguh walau sesaat aku sebut saja. Kalau tiba-tiba sedang jalan ada budak melintas bau masam satu masam aku pun akan terus sebut Pergh, gila masam kepam bau budak tu dan kalau dia dengar lagi aku suka supaya lepas ni dia sedar dia ada masalah bau badan yang telah membuatkan aku putus nyawa selama dua saat tanpa sempat mengucap

Makanya ketika di zaman sekolah kalau aku rasa budak tu hensem aku memang akan terus sebut secara tidak bertangguh. Tapi ada juga kawan yang jenis sangap bila aku puji budak tu hensem terus dia kata aku suka budak tu. What the whaaaaaat? Maka bila aku nafikan mereka menuduh aku tak mahu admit perasaan sendiri. Dan bermulalah episod gosip-menggosip di kalangan rakan-rakan padahal aku cuma puji cakap dia hensem. Zaman sekolah aku pernah cakap Syed hensem (Syed, if you read this, you were hensem. Hahaha) dan sekaligus menyebabkan ramai gadis rakan sebaya menganggap aku menaruh hati padanya. Oh, please-lahhhh, hati aku buat apa nak taruh tempat lain. Tak pernah pula aku daftar untuk donate-kan hati aku.



2) Lelaki, sila jangan tenung awek sekolah
Pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan khas oleh blog aku yang setakat ini masih tak layak buat entry promote barang atau iklan bagai. Maka buat masa ini hanya pesanan khidmat masyarakat yang boleh tahanlah tahap ikhlasnya aku paparkan. Perempuan memang dilahirkan dengan perasaan sensitif. Tetapi tahap sensitif setiap perempuan adalah berbeza. Di kalangan budak sekolah, ada yang jenis sensitif tahap dewa. Sensitif di mana kalau ada pakwe sekolah tak kira muka hensem atau pecah rumah tenung dia, terus dia buat conclusion pakwe tu suka atau minat dengan dia. Kahkahkah. Sungguh perasan tak tercapai dek akal.

Aku dah jadi cikgu ni pun ada juga budak perempuan datang mengadu budak lelaki tenung dia ditambah dengan penjelasan macam nak kat dia. Aduhailahnyapun. Nak nasihat macam mana pun aku tak faham kerana pada aku memang sungguhlah jenis minah perasan kalau tengok saja terus kata nak dengan dia. Kalau macam tu, sila jangan jadi cikgu. Seandainya anda mengajar di hadapan sudah pasti majoriti matanya tertumpu pada anda kecuali kes mata tak berapa centre. Pasti awek sekolah begini akan anggap semua budak lelaki dalam kelas tu nak kat dia. Hahaha. Haruslah aku kata pathetic dirimu wahai awek sekolah. Maka untuk lelaki, sila jangan tenung sembarangan kerana mungkin anda akan disyak suka pada awek tersebut padahal mungkin anda tenung kerana baju budak perempuan tu ada tanda warna merah yang mencurigakan, atau boleh jadi anda mempunyai mata tak berapa centre.



3) Tuduh menuduh
Budak perempuan di sekolah ramai yang jenis mudah terasa dengan budak lelaki. Di sekolah jarang untuk jumpa lelaki bermulut lazer suka hati mengata kecuali yang jenis lembut-lembut atau memang ganas otai sekolah. Aku pengamatan aku, majoriti pakwe sekolah pernah dituduh oleh mana-mana awek sekolah kononnya anda yang curi buku dia, anda yang sorokkan beg dia, anda cakap sesuatu dengan niat nak perli dia, pendek kata semua benda dia tuduh budak lelaki dan pakwe sekolah.

Aku sebenarnya kurang arif untuk memberikan penjelasan panjang lebar tentang ini kerana seperti yang aku nyatakan perempuan ni complicated. Maka situasi yang aku cuba sampaikan di sini juga agak complicated. Hahaha. Padahal alasan malas nak berfikir dan bagi contoh.



4) Emosi luar kawalan
Secara puratanya, gadis-gadis cukup umur ketika berusia belasan tahun. Maka apabila dilawati oleh Aunty Flow, emosi gadis akan terganggu. Tetapi ketika melalui zaman persekolahan, ada juga antara rakan aku mempunyai gangguan emosi walaupun Aunty Flow belum pernah buat site visit. Tahukah anda *bajet rancangan ilmiah ala-ala tv pendidikan* di usia begini awek sekolah biasanya akan membentuk kumpulan atau 'klik'. Makanya segala aktiviti harian dirancang dan ditempuh bersama. Buat jahat bersama, kantoi juga bersama. Ada juga yang mengambil pendekatan lagu Indonesia dan Omputeh, berdua lebih baik dan two is better than one. Untuk menjelaskan contoh yang di sini aku ingin memberi nama kepada watak gadis sekolah yang digambarkan.


Tengku Farhana Natasya dan Puteri Intan Suhaila berkawan semenjak hari pertama pendaftaran tingkatan satu. Ya, nama harus panjang untuk mewujudkan elemen-elemen novel Alaf 21. Kahkahkah. Makanya semenjak hari pertama berkenalan mereka menjalinkan hubungan baik. Makan bersama, prep bersama, tidur di waktu yang sama (tidur tak boleh bersama kelak disyak pasangan luar tabi'ie), mandi juga di waktu yang sama. Hendak dijadikan cerita arakian suatu hari Tengku Farhana Natasya tidak berbual mesra seperti selalu apabila bersama Puteri Intan Suhaila. Dan perkara begini boleh menyebabkan tergurisnya hati Puteri Intan Suhaila dan mula terfikir-fikir dia ada melakukan kesilapan sehingga mengguris hati Tengku Farhana Natasya. Pergh gila letih taip nama makhluk dua orang ni. Boleh kejang kalau buat novel 421 muka surat dan meletakkan Tengku Farhana Natasya dan Puteri Intan Suhaila sebagai watak utama.

Jadinya nampak tak gangguan emosi yang dialami oleh Puteri Intan Suhaila. Gila sensitif baru tak bercakap tiba-tiba tersentap. Aku juga pernah mengalami perkara begini. Rasa macam nak sikukan sahaja sikuku di wajahnya kerana tiba-tiba tersentap ingat aku marah padanya padahal aku letih di siang hari nak bercakap pun tak lalu.





Pada firasat aku ada lagi perkara-perkara lain yang aku tidak faham. Tetapi kerana setelah sekian lama tidak menghapdet blog sehingga jatuh nusyuz maka mungkin akibatnya fikiran tidak dapat menjana idea-idea cemerlang. Lain kali aku sambung lagi.




































Ingat nak stop dah. Tapi terasa keji gila buat penutup seperti kencing tak lawas. Tapi malangnya masih tak ada idea. Sila jangan maki.






Tuesday, March 13, 2012

Kisah budak-budak kelas belakang



Sekali sekala hapdet tentang sekolah, kisah kelas belakang selalu ada terselit. Ada yang macam tak percaya, sungguhkah budak kelas belakang di sekolah harian tempat aku mengajar gitu sekali gayanya. Layan bukti sekejap.



Memandangkan aku sendiri otak tepu tak tau nak hapdet apa, maka boleh juga aku berkongsi-kisah-kisah yang aku alami sendiri tanpa ada unsur fitnah mahupun kejian atau cemuhan.



1) Tak aptudet
Mereka tak aptudet dengan branded stuff.  Tak perlulah aku nak ulang cerita. nanti nampak sangat aku ni otak tepu tak ada idea nak hapdet sampai ulang cerita-cerita lama dan sanggup pula taip dua kali.




2) Biodata
Ada satu ketika aku masuk kelas nak mintak biodata mereka. Belum habis explain dah tanya biodata tu apa. *___*. Lepas dah habis explain semua pakat kalut cari kertas. Ada sorang budak lelaki duduk tepi tingkap badan bulat-bulat tak buat apa. Dah la pesen mata kuyu memang mengundang kesian. Maka aku terus pi dekat dia, tanya,

'Ni pasaipa tak buat apa ni?'

Diam. Muka macam nak menangis.

'Awat ni? Kalau tak habaq macam mana saya nak tolong?'

'Saya tak tau nama mak saya...' teruih ayaq mata dia berlenang. Aku pun cuak jugak tapi tetap nak tanya.

'Pasaipa tak tau nama mak? Mak ada dak gi?'

'Mak ada.'

'Dah tu?'

'Chek tak dok ngan mak' teruuih dia bahasa diri dia Chek. Chek tu maksudnya saya.

'Mak pi mana?'

'Mak duk kat Nibong Tebal.' Dalam ayaq mata duk bercambah keluaq gagah dia jawab soalan aku.

'Mak tak balik ka mai tengok?'

'Dakkkkk' lagi laju ayaq mata dia turun sampai aku pun dah takmau tanya apa dah. Kawan-kawan yang kenal dia bagitau dia duduk dengan tokwan. Memang tak pernah jumpa mak dia. Tapi dia tau mak dia da lagi. Tiba-tiba aku rasa syahdu. Sungguh kesian. Wei mak, baliklah tengok anak ni. Dah reti beranak retilah jugak bagi kasih sayang. Anak dah besar godang umur 13 takkan tak mau mai tengok langsung.




3) Nombor oh nombor
Awal bulan tiga PK HEM mintak aku isi buku daftar enrolmen pelajar baru. Dah pegang kelas form 1, sumpahlah semua budak dalam kelas tu budak baru. Dalam aku semangat nak isi, ada pulak yang tak bagi nombor ic (rhyme). Terus aku angkut buku pi kelas niat nak tanya dengan harapan budak tu boleh bagi terus nombor ic secara live.

'Tecer, saya tak ingat nombor kad pengenalan'

Aduhailahnya. Nombor ic sendiri pun tak ingat. Terus aku suruh dia pi telefon rumah, minta nombor ic. Siap aku pesan, suruh bawa pen dan kertas. Tak suruh, tak dibawanya. Tapi, budak tu buat aku sedih dua kali;

'Tecer, nombor tepon mak saya pun saya tak ingat'

*Nak kata apa??????*



4) Nama
Kelas belakang yang aku pegang ni ada 30 orang. Dalam tiga puluh orang tu aku perasan ada sorang budak laki yang kalau aku tengok buku, kertas jawapan dia cuma tulis Sharul. Nama diberi Muhamad Sharul Niezam bin Zakaria. Sekali sekala kalau aku teringat aku pesan suruh tulis nama penuh tapi Sharul tetap dengan nama pendek dia saja. Sebab aku tak berapa puas hati aku panggil dia tanya kenapa tak tulis nama penuh,

'Saya tak reti eja cikgu. Sharul tu pun puaih saya hapai'


*Nak kata apa??????*






Setakat 8 bulan aku di sini, ini adalah antara perkara-perkara yang sungguh-aku-tak-boleh-lupa. Pernah jugak aku tanya apa tema kemerdekaan. Dia boleh jawab peperangan! Mungkin dia ingat dia duduk di Palestine. Sungguhpun budak-budak ni tak cerdik, aku tak pernah kata mereka bodoh. Habis marah pun aku kata 'tak cerdik'. Aku jaga mulut aku dari kata mereka bodoh sebab aku percaya pada karma. Ini aku dengar ada guru yang mengajar di SBP sambil turun tingkap marah budak-budak dan dipanggilnya lembu. Tak kisahlah bagaimana salahpun manusia, janganlah nak samakan dengan binatang. Janganlah dipanggil bodoh atau bahlul atau apa saja yang sewaktu dengannya. Kalau satu hari ini pelajar dah besar panjang, berselisih tepi jalan tapi tak tegur anda, mungkin silapnya datang dari anda sendiri.






Saturday, March 3, 2012

Evolusi Tudung Sekolah di Malaysia



Memilih kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (bunyi hebat sikit) memaksa aku berhadapan dengan pelajar. Selain dari mendidik, mengajar dan membuat observation tentang tingkahlaku dan attitude mereka, aku juga mengambil kesempatan melihat cara pelajar sekolah hari ini berfesyen. Sedar tak sedar, tudung sekolah telah berevolusi sama ada dari sudut material tetapi juga fesyen. Aku masuk sekolah darjah satu terus pakai tudung. Maklumlah, anak ustaz bakhanggg. Makanya secara tidak langsung dapatlah aku mengimbas kembali fesyen-fesyen tudung dari zaman aku bersekolah sehingga hari ini di mana aku masih lagi berada di dalam persekitaran sekolah.



Aku mula bersekolah rendah pada bulan dua belas tahun 1989. Ketika itu sesi persekolahan yang baru bermula pada bulan dua belas dan berakhir pada bulan sepuluh, kalau tak silap akulah. Bulan sebelas cuti akhir tahun. Tapi kemudiannya ditukar dan aku pun tak sedar masa bila dia tukar. Memandangkan aku merupakan anak kepada seorang ustaz sudah pasti aku memakai tudung untuk ke sekolah. Aku bersekolah di sesi petang dan memandangkan aku tinggal di sebuah bandar, aku mendapati kesedaran memakai tudung ketika itu agak rendah. Kesudahannya aku merupakan satu-satunya umat yang pakai tudung. Tudung ketika zaman tu tak macam tudung sekarang. Lebih kurang macam serkup saja. Ada tali kat belakang. Bini Ustaz bila ikat mesti buat reben.

Tudung jenis scarf


Aku ingat nak upload gambar zaman aku sekolah tapi macam lucu dan sudah pasti aku akan dibahankan oleh pembaca-pembaca blog aku yang memang suka sangat kalau dapat peluang gelakkan aku. Selain daripada ada tali kat belakang, dekat bahagian atas ada bunga-bunga kecil yang timbul. Nampak comel juga tapi sebenarnya dah kalau yang pakai tu comel, comel ja semua benda yang dia pakai. Ekekeke. Tapi yang paling aku tak puas hati guru kelas aku suka cakap aku pakai topi. Tapi sebab masa tu masih kanak-kanak dan jiwa suci berhati mulia maka sekadar senyum-senyum walaupun tak berapa puas hati.



Setelah dua tahun, tudung sekolah berevolusi menjadi seperti tudung labuh yang ada hari ni. Cumanya tak besar. Tudung tiga segi yang didatangkan dalam dua jenis material. Satu, tudung kain licin yang suka buat perangai. Aku selalu juga naik angin sebab susah nak lipat dan dibentukkan. Kalau dan berjaya bentuk kepala rasa macam nak bekukan kepala supaya tak bergerak-gerak. Kalau angin tiup mula rasa berdebar-debar risau tudung terkelepek terus jadi tak cantik dan radar marah akan meningkat secara tiba-tiba. Maka untuk menyelesaikan masalah Bini Ustaz akan selit jarum kiri dan kanan tapi jarum yang diselit bukan jarum peniti. Dulu-dulu jarum yang jenis ada kepala. Ada macam-macam warna dan aku kalau calour tak sepasang, tak sama mula nak tarik muka tunjuk protes. Nampak tak, kecik-kecik lagi suka melawa. Hahaha.

Tudung lipat bulat tapi masih tak berjaya tutup dahi jendul


Selain tudung kain licin, ada juga tudung dari material kain jersi. Biasanya tudung jenis ini ada kerawang di hujung. Tudung jenis ini pandai menjaga akhlak, tak buat perangai dan sungguh beradun. Boleh lipat dan bentuk dengan mudah dah selalu rasa semangat nak pi sekolah. Ya, tudung memainkan peranan yang penting. Kalau dia duk buat perangai mula terganggu mood nak pi sekolah.

Tudung dari material jersi



Bila dah naik darjah lima, semua sudah pakai tudung licin. Tudung dari kain jersi sudah tak glamer maka secara terpaksa aku pun mengucapkan selamat tinggal. Tetapi tudung kain licin ini sudah tak begitu licin. Tudungnya sudah sedikit berat dan agak mudah dibentuk. Zaman kanak-kanak biasalah, semua tudung lipat bulat saja. Kadang-kadang terlebih nak bulat sampai jadi bersegi maka menutup dahi. Bila teringat memang nak tergelak tapi bila ingat dosa pula, ok, tak baik gelakkan orang.

Namun demikian, apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah, tudung mula berevolusi dari segi cara ia dibentuk. Ada yang nampak comel, ada yang nampak ntahapapa sehinggakan menjadi mangsa kutukan pelajar lelaki yang dia ingat dia handsome sangat pakai songkok tinggi buat senget sebelah macam style P.Ramlee.


1) Bentuk bulat
Tudung dilipat bulat dan jarum peniti diselit di kiri dan kanan. Ya, zaman aku belajar di sekolah agama, kami pelajar perempuan diwajibkan melipat (bentukkan) tudung dan pakai jarum di kiri dan kanan. Masa zaman sekolah rasa nak marah tapi bila dah besar bersyukur sebab sesungguhnya aku memang tak boleh kalau tak lipat tudung maka setiap masa nampak kemas. Budak perempuan pakai tudung tapi tak lipat dan tak bentuk nampak hodoh dan serabai dan hilang comel.


Biasa student yang naive dan baik-baik memang lipat tudung biar jadi bulat saja. Memang selalunya akan nampak comel dan baik dengan lipatan tudung jenis begini.

2) Bentuk muncung
Aku tak tahu kenapa zaman aku sekolah budak perempuan yang lipat tudung jadi muncung dikatakan sedikit nakal. Ok, untuk aku mungkin applicable -___- Apabila menginjak remaja mula sedar dan ada kesedaran untuk nampak cantik dan comel sesuai dengan peningkatan usia. Memandangkan memiliki wajah bujur tak berapa nak sireh maka sedar lipat bulat sungguh tak comel kerana itru beralih kepada lipatan jenis muncung.



Tudung yang dilipat muncung juga kadang-kala menjadi teguran sebilangan ustazah. Aku juga tak faham apa rationalnya mereka menegur tapi pada aku lipatan dan bentuk tudung sebenarnya bergantung pada bentuk muka dan wajah. Fesyen ini dipanggil lipatan muncung kerana bentuk di bahagaian atas (rujuk bahagian yang dibulat warna merah dalam gambar). Masa aku di sekolah asal nampak cermin mesti berhenti sam bil guna jari telunjuk sebelah kanan tolak-tolak ke atas bahagian lipatan tudung supaya muncungnya sentiasa memunjung dengan tajam. Mungkin waktu tu aku fikir, lagi tajam muncung tudung, lagi segak. Kahkahkah.


3) Lipat sebelah
Ini fesyen budak malas. Aku selalu tengok kakak aku buat. Cara biasa melipat tudung adalah tudung dilipat ke dalam tetapi fesyen lipat sebelah ini, bahagian tepi tudung sama ada sebelah kiri atau kanan di tarik ke luar. Secara automatik ia akan menghasilkan bentuk atau lipatan tudung yang tajam. Tapi awas, ia hanya di lipat di salah satu bahagian. Lipat dua-dua belah tak cukup cun katanya.


4) Selit plastik keras
Bagi yang baru-baru belajar palai tudung tak reti nak lipat tudung mengambil inisiatif menyelitkan plastik keras yang dipotong menjadi rectangle. Hasilnya tudung akan dibentuk cantik, sedikit membujur tetapi dua kali pandang nampak macam serombong kapal. Kahkahkah. Tak baik betul mulut. Maka aku rasa kecacatan kecil itu menyebabkan fesyen ini tidak begitu mendapat perhatian dan kurang mendapat sambuatn dan hasilnya tidak kekal lama.



Zaman sekarang budak sekolah masih pakai tudung licin. Ada yang sangat licin sampai nak dibentuk pun payah, ada yang jenis keras sikit maka mudah dibentuk dan cikgu yang tengok pun tak rasa serabut dan meluat. Walaupun majoriti perempuan hari ini memakai tudung dari material jersi yang ada awning, peraturan sekolah tidak membenarkan para pelajar memakai tudung tersebut. Ada macam-macam nama untuk tudung tersebut tapi aku memang panggil tudung Indon. Aku syak tudung ini berevolusi dari fesyen selit kertas keras yang tidak mendapat sambutan ketika zaman aku bersekolah dahulu.



Budak zaman sekarang bila pakai tudung suka nak sanggul rambut tinggi-tinggi padahal rambut sejemput sahaja. Sekali tengok macam orang dalam pantang. Kalau tudungnya labuh mungkin boleh dimaafkan, ini tudung singkat bukan setakat nampak dua tali tapi kalau toleh laju-laju boleh nampak leher tengkuk segala.





Setiap perkara yang ada di dunia ini akan berevolusi. Manusia juga berevolusi. Tapi bukan macam teori Darwin yang tak cerdik tu. Makanya sudah pasti tudung juga berevolusi. Pesanan aku untuk semua perempuan, tak pakai tudung tak dosa, yang tak tutup aurat tu yang berdosa. Agak tak jumpa tudung lilit dengan selimut pun jadikkkk.






Friday, January 13, 2012

Tanda-tanda seorang pelajar nak jadi pengawas



Sebagai seorang rakyat Malaysia yang boleh tahanlah tahap cintakan negaranya, aku menghabiskan sesi persekolahan aku secara total di bumi Malaysia. Tambahan pula aku mempunyai perut yang sangat kasihkan nasi berbanding makanan-makanan lain maka memilih untuk berada di Malaysia adalah lebih afdhal. Bukanlah aku ingin katakan tempat lain tak ada nasi, tetapi harganya mungkin lebih mahal. Ahhh cakap banyak pun tak guna sebab aku sebenarnya bukan ada banyak duit nak berhijrah negara lain. Kahkahkah.
ihsan kekasih gelap


Oleh yang demikian sudah pasti sudah pasti aku cukup arif dengan setiap entiti yang terdapat di sekolah bermula dari peringkat tertinggi sehinggalah entiti-entiti di kalangan pelajar. Tambahan pula sehingga hari ini hidup aku masih lagi bergelumang dengan entiti-entiti begini maka sekaligus menambahkan ilmu yang sedia ada dan secara tidak langsung telah merajinkan aku untuk membuat satu kajian tentang satu entiti yang sangat popular tetapi tidak begitu disukai yakni pengawas. Hahahaha.

Kali ini aku telah membuat kajian tentang tanda-tanda seorang pelajar nak jadi pengawas. Kebiasaannya pengawas dilantik bukan dari kalangan tingkatan satu melainkan sekolah baru yang semua rakyatnya tingkatan satu belaka. Oleh yang demikian, tanda-tanda ini dapat dilihat ketika mereka di tingkatan satu di mana guru-guru akan mula melakukan pemerhatian untuk memilih para pengawas bagi sesi tahun berikutnya. Ayuh kita lihat dan baca secara senyap.



1) Pulun
Pulun adalah satu adjektif yang sangat berkait rapat dengan seorang pelajar yang mahu menjadi pengawas. Sikap pulun ini ditunjukkan apabila mereka bersama guru dan ini dilakukan untuk mendapat perhatian dari guru terbabit supaya sedar mereka sungguh bertanjak untuk dijadikan pengawas. Sebagai contoh, sewaktu sesi gotong-royong secara tiba-tiba mereka akan menunjukkan sikap rajin. Contoh mudah, kalau yang lelaki selama ni nak pegang penyapu ibarat perlu memegang najis mughalazah. Seboleh-bolehnya nak elak sebab rasa susah sangat nak samak.

Tetapi tatkala ternampak kelibat guru, sudah pasti batang penyapu bertukar menjadi sahabat akrab dan akan terus menyapu sambil mulut bising suruh orang lain tepi-tepi, nak sapu pun susah. Contoh lain, apabila guru meminta tolong sudah pasti diri tanpa sebarang paksaan mengangkat tangan. Padahal kalau kawan minta tolong biasanya pura-pura tak dengar. Kalau mak ayah yang minta tolong boleh jadi buat-buat tidur. Nampak tak kepulunan yang ditunjukkan di sini? Pulun yang maha pulun sehingga secara tidak langsung mendatangkan kejian dan umpatan dari rakan-rakan.



2) Jilat bontot
Ini adalah perbuatan yang tidak asing bagi pelajar-pelajar yang menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi pengawas. Memandangkan mereka hanyalah pelajar biasa, mereka akan jilat bontot mereka-mereka yang telah menjadi pengawas supaya selepas itu nama mereka meniti di bibir-bibir sang pengawas dan tidak mustahil memudahkan mereka untuk merealisasikan impian menjadi pengawas - jawatan yang menjadi dambaan dan akan bertukar menjadi dambaan pilu sekiranya impian tidak tertunai. Sobs.

Oh ya, jilat bontot di sini tidak dimaksudkan dalam konteks secara literal. Tetapi ia bermaksud seseorang yang mengikut sahaja arahan orang lain dan sanggup mengorbankan prinsip diri demi memperoleh habuan. Biasa boleh dilihat dalam sebuah parti politik yang sudah melebihi umur pencen itu. Hihihi.




3) Tukang kipas, tukang ampu, kaki bodek
Mereka yang menjadi tukang kipas dan tukang ampu memiliki kosa kata adjektif yang sangat luas terutamanya yang berbentuk positif dan acap kali digunakan secara istiqamah apabila berhadapan dengan mereka yang telah menjadi pengawas. Mereka akan memuji tanpa rasa letih. Melalui aktviti mengipas, mengampu dan membodek, ia dapat menjana kepopularitian positif di kalangan pengawas dan memudahkan mereka menempa nama di dalam organisasi pengawas. Selain itu ada juga sebilangan kecil yang sanggup menjadi pencacai untuk para pengawas. Suruh sahaja basuh baju, beli makanan, kemas katil, mereka tidak akan menganggap sebagai membuli, tetapi lebih kepada pertolongan yang terselit seribu makna.

Oleh yang demikian, kepada para pengawas adalah diharapkan anda tidak kelabu mata dengan pujian yang diberikan kerana tidak mustahil kebanyakkannya bermuka-muka. Boleh jadi juga ada yang mempunyai talam sepuluh muka maka adalah lebih afdhal anda tidak suggestkan nama mereka sebagai calon pengawas dan menganggap mereka menyokong anda melalui pujian yang diberikan.



4) Jadi spy
Menjadi spy boleh diibaratkan sebagai training untuk dijadikan pengawas di masa hadapan. Setiap perincian dimaklumkan dan ada juga yang jenis menokok tambah demi meraih pujian dan secara tidak langsung menjadikan impian menjadi lebih cerah dan mudah digapai. Mereka menjadi spy guru atau para pengawas. Melalui jawatan ini, sudah pasti ia menampakkan ciri-ciri mereka ini dipercayai oleh rakyat biasa tetapi dalam masa yang sama mereka akan berpaling tadah dari rakan-rakan seperjuangan yang bukan pengawas. Oh, agak keji mereka ini. Mungkin yang lebih afdhal menasihati rakan seperjuangan tetapi seandainya tidak diendahkan barulah dilaporkan.


5) Kaki mengadu
Ahhh di kalangan adik-beradik pun pasti ada seorang yang kaki mengadu. Sikit-sikit nak mengadu sehingga kita rasa macam nak terajang atau sekiranya mengadu secara berlebihan mahu sahaja disentet atau disimbah asid. Hahaha. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi pengawas. Mereka ada sikap suka mengadu walaupun perkara kecil atau boleh jadi juga bila dah jadi pengawas pun masih terbawa-bawa sikap kaki mengadu walaupun depan kita cakap settled. Pasti mengundang cacian melibatkan najis mughalazah yang juga tahun kelahiran aku mengikut zodiak kaum cina.

Bagi si kaki mengadu ni, ayat yang paling mesra di bibir mereka adalah nanti aku report kat prefect atau aku report kat cikgu kot atau yang lebih mesra di telinga aku adalah aku habaq kat pengawas satgi kot diikuti beberapa tanda seruan di hujungnya.




Ini merupakan tanda-tanda yang dapat dilihat oleh mata kasar aku. Aku pasti ada lagi beberapa tanda yang aku tak berapa perasan tetapi sebenarnya menjurus ke arah mahu menjadi pengawas. Sekiranya ditanya kepada aku, aku tidak akan memilih pelajar sebegini sebagai pengawas kerana sudah pasti ketokohan yang ditunjukkan adalah fake dan apabila dilantik menjadi pengawas masih terbawa-bawa sikap begini. Kerana itulah ada yang selama ini depan aku senyum dan bagi salam, tunduk kepala tanda hormat tapi belakang aku berani carutkan aku padahal tak sedar SPM pun belum lepas. Apa dia ingat dia ketua pengawas dia hebat sangat? Apa dia ingat dia kumpulan Black Jack aku boleh terkincin. Ahh tak redha aku dengan ilmu yang aku bagi di atas perbuatan anda.









Thursday, December 22, 2011

May success follow your way (Updated)



My dearie students,

Finally the most awaited day has arrived. Esok keputusan PMR akan diumumkan dan sudah pasti pelajar-pelajar yang ambil PMR ada rama-rama dalam perut makan tak kenyang *padahal tak bismillah*, tidur tak lena *padahal siang dah tidur banyak*,  dan mandi tak basah *air takdak barangkali*.


Marilah serius (sikit) bersama TecerWidad.


I believe each and every of you has went through pain, hardship, sacrifices and struggles to make dreams come true. Studying hard day and night, doing all the exercises, revising the notes bla bla bla and countless things you have done for the sake of getting straight As. Plus, you might go beyond your capability bila dijanjikan wang ringgit, laptop, percutian atau apa sahaja as a reward for your success. Hahaha. Tapinya tecer harap tak ada yang letak benda-benda macam ni as priority sedangkan kita yang beragama Islam ni dah sedia maklum kita belajar kerana Allah. Kalau dah dapat straight As pun kemudian tak ada yang ucap tahniah jangan nak mengada buat statement sedih kat Facebook atau up entri kat blog emo lah sangat. Belajar-belajar bersyukur.


Yet we have to bear in mind, Allah always knows the best thing for us. We might not get what we want. Mustahil satu sekolah nak dapat sembilan A dan belajar untuk menjadi realistik. When you didn't get what you want, it is the best time to reflect yourself. Sit back and think over the things you have done. And if Allah wills it, you will be thankful for your limitations because they give you opportunities for improvement.


Cukuplah tecer membajetkan diri seperti Dr Fadzilah Kamsah kerana haram tak serupa sikit pun sebab ayat berterabur ntahapapa dan tak tau dah berapa kali edit, backspace semua bagai. Suruh buat cerita cinta terrorlah. Hahaha


I'm wishing you to pass with flying colours and nail the exams. Jangan lupa hapdet dengan tecer siapa dapat straight As. Muaks


Update: Hats' off to SBPIKP especially to the teachers. 41/85 students nailed the exam.


Tahniah untuk Kak 'Ain teman seperjuangan yang paling awesome - BM seorang sahaja yang B *sempat buat lawak dapat B sebab baru convert. Kahkahkah*


Tahniah untuk Kak Mimi, Ketua Panitia yang paling sporting dan mudah bertolak ansur - BI 51=A, 24=B dan 2=C. *rindu nak dengar gosip-gosip terkini dan bergelak ketawa bersama*


Hats' off to them;
1. Sharifah  Nur Athirah bt Wan Zulkarnain
2. Muhammad Hanif bin Salleh
3. Siti Safwatul Aiman Aishah bt Saad
4. Fahmi bin Mohd Amirruddin
5. Nur Izzati Iryani bt Hamid
6. Nur Shahira bt Mohd Saim
7. Muhammad Iqbal bin Mohd Sobery
8. Muhd Najhan bin Jamaluddin
9. Nurul Hanis Mohammad Tarmizi


The rest of 3 Ikram, I love you no matter what you are. 


Thursday, December 1, 2011

Perangai awek sekolah yang menjadi dambaan pakwe sekolah

Setelah menjalankan kajian selama berbulan-bulan maka aku dengan jayanya akan membentangkan hasil dapatan ke atas kajian perangai awek sekolah yang menjadi dambaan pakwe sekolah. Sekiranya anda rajin menggodeh entri-entri aku yang lalu, sudah pasti anda pernah membaca entri tentang perangai awek sekolah yang membuatkan pakwe sekolah menyampah. Adalah tidak adil untuk tidak membuat entri balas supaya awek-awek berperangai lebih mulia sekaligus menjadi dambaan pakwe-pakwe sekolah anda dan seantero Malaysia amnya.

1) Perahsia
Awek-awek sekolah mesti bersikap perahsia kerana pakwe-pakwe sekolah memang menyampah dengan awek-awek sekolah yang mulut kepoh dah macam hormon terlebih ke apa. Sebagai contoh, budak sekolah zaman sekarang memang akan mengorat menggunakan teknik mengeadd anda di Facebook dan selepas itu berchatting-chatting mesra di Facebook. Seterusnya pakwe sekolah akan meminta nombor telefon anda dan anda tanpa segan silu sudah pasti memberi nombor telefon anda. Maka bermula saat itu sudah pasti anda kerap berbalas mesej.


Apabila sesi berbalas mesej berlanjutan, di sinilah sikap perahsia perlu awek sekolah tonjolkan. Sudah menjadi tabiat sebilangan awek sekolah gemar menghebahkan kepada kawan-kawan di sekolah tentang pakwe sekolah yang sering berbalas-balas mesej dengan anda. Walaupun tidak menzahirkan niat di hati, pakwe sekolah sebenarnya tidak suka sikap anda yang seperti radio karat atau mami jarum heboh-heboh pada sahabat ketat atau sesiapa sahaja. Sekiranya anda memilih menjadi perahsia, maka sudah pasti pakwe sekolah bakal memilih anda. Wah, dah macam tagline iklan apa lagi.



2) Tidak melebih-lebih
Ketika pakwe sekolah mula bermesej-mesej anda sebagai isyarat dia mahu mendekati anda, sekiranya ingin menjadi awek sekolah dambaan pakwe sekolah, anda tidak perlu mempamerkan keeksaitedan anda apabila berbual-bual di telefon, mesej-mesej atau terserempak di sekolah. Buat biasanya sahaja dan tak perlu tergedik-gedik kerana pakwe sekolah cukup menyampah dengan awek gedik. Berada di dalam situasi tidak bertepuk sebelah tangan memanglah menyebabkan paras hormon meningkat secara mendadak. Namun demikian sebagai awek sekolah, anda perlulah mengawal supaya tidak melebih-lebih. Sifat melebih-lebih kebiasaannya menjadi spoiler di awal-awal perhubungan pakwe-makwe sekolah.



3) Jual mahal
Awek sekolah mesti bersikap jual mahal. Mengaplikasikan sikap jual mahal menandakan anda ada maruah. Jangan tunjuk murah sangat. Ini tidak. Sebahagian besar awek sekolah jual murah kalah harga pasar malam. Kalau di pasar selonggok tiga hengget, dia jual mungkin sama tapi boleh diskaun atau bagi special price. Sungguh murah tanpa maruah. Mengamalkan sikap jual mahal juga boleh menguji sejauh mana pakwe sekolah tersebut mendambakan awek itu. Lagipun benda yang murah dan senang dapat biasanya kurang dihargai. Tetapi kalau yang susah nak dapat dan mahal pula memang akan disayangi hingga hujung nyawa. Cewahhhh.



4) Tak perasan dari segala segi
Setiap manusia mesti ada perasaan perasan kerana ia sebenarnya (sangat) membantu dalam meningkatkan self-esteem masing-masing. Tetapi sikap perasan sepanjang masa konon dalam semua bidang dia lah yang handal dan cemerlang sungguh attitude yang meloyakan. Menjadi awek sekolah dambaan pakwe sekolah mudah sahaja.
Perangai begini keji. Pakwe sekolah menyampah yang amat.
Walaupun dikurniakan wajah yang cun, awek sekolah jangan bajet cun sangat sehingga asal ada mana-mana pakwe sekolah yang senyum terus sangka nak mengorat. Kalau pakwe sekolah minta nombor telefon terus sangka pakwe sekolah nak meluahkan perasaan padahal pakwe sekolah nak pinjam latihan add maths nak mintak tiru. Maka jelaslah sikap perasan meloyakan pakwe sekolah. Walaupun anda memang gifted, cantik dan pandai tak usah perasan. Biasa-biasa sahaja. Tak mutahil beratur pakwe sekolah nakkan anda. Hehehehe.




5) Muka cun, perangai pun cun
Dikuniakan wajah yang menjadi dambaan setiap pakwe sekolah sememangnya menjadi dambaan setiap awek sekolah. Namun jangan lupa. Muka cun sahaja tak cukup, perangai juga mesti cun. Memiliki wajah yang comel, cantik, cun atau jelita tetapi mempunyai perangai yang ntahapaapa ibarat makan roti canai yang sedap tetapi tak ada kari untuk dicicah. Spoiler besar. Percaya atau tidak, kebiasaannya awek-awek sekolah yang wajahnya kategori boleh tahan ada pakwe berbanding awek sekolah berwajah comel, cantik, cun atau jelita. Ini kerana awek sekolah dari kategori suam-suam kuku mengamalkan sikap-sikap mahmudah maka sudah pasti menjadi dambaan pakwe sekolah.




6) Hebat serba serbi, tapi bukan pengawas sekolah
Ini sebenarnya yang paling penting. Pakwe sekolah cukup tak suka awek-awek pengawas. Kalau pakwe sekolah nak sangat pun, biasanya pakwe sekolah tunggu sampai habis sekolah ataupun ditakdirkan pindah sekolah. Biasalah. Dah kalau pengawas mesti skema.


Keskemaan pengawas seperti skema jawapan objektif. Salah hitamkan jawapan, tidak ada markah bagimu. Pakwe sekolah yang jadi pengawas tak apa, tak sama macam awek sekolah yang jadi pengawas. Oh ya, pengawas pusat sumber tidak termasuk dalam kumpulan ini. Walaupun mereka ada juga yang skema, tetapi keskemaan mereka bolehlah diibaratkan seperti kertas jawapan subjektif atau soalan struktur. Hahahaha




Berkemungkinan besar banyak lagi perangai-perangai lain yang menjadi dambaan pakwe sekolah tetapi aku hanya menyatakan perangai-perangai biasa sahaja. Bagaimana awek sekolah sekalian? Adakah kini anda menemui jawapan mengapa anda tidak menjadi dambaan pakwe sekolah? Jujurnya ada pakwe zaman sekolah bukanlah seronok. Setakat hadiah teddy bear dan pen sebatang yang konon mahal sungguh tak cool. Sudahlah beli pakai duit biasiswa atau duit kumpul hari-hari yang mak ayah bagi, lepas tu bajet couple sehidup semati. Belajar-belajar jual mahal. Andai benar pakwe sekolah dambakan anda, sudah pasti dia sanggup berusaha dan menanti sehingga sama-sama dah berjaya masuk universiti.
















Tetiba aku rasa macam nak nyanyi lagu Dambaan Pilu. Apa dah jadi dengan Khai AF1?



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...