Showing posts with label Thoughts. Show all posts
Showing posts with label Thoughts. Show all posts

Saturday, March 21, 2015

Berdebar-debar


Apa saat atau momen yang mendebarkan dalam hidup anda? 
Aku? 
Semenjak pulun berjogging ni ada satu. 

Bila lalu mana-mana rumah.
Ada pakcik cakar daun dan sampah depan rumah.
Mencakar ni ganas sikit dari menyapu. Tangan tu pantas bergerak berbanding menyapu.

Atau pun ada makcik jemur baju kat ampai.
Yang pakcik lilit towel kat pinggang. 
Yang makcik relaks Padang Kota berkemban dengan kain batik.
Berdebar-debar sangat.

Berdebar-debar.
Tak confident dengan towel dan kain batik tu. Takut terlucut.


Friday, March 8, 2013

Resam pelajar












Ditujukan untuk pelajar-pelajar saya dengan ucapan 'Teacher sayang anda semua walaupun bila teacher pompang-pompang di depan dan anda yang duduk kepala terteleng-teleng berpusing-pusing dan tersengguk-sengguk sekali imbas macam pengikut Ayah Pin. Semoga hidup diberkati Allah dan beroleh (peroleh?)  kejayaan di dunia dan akhirat'.

Selamat Hari Jumaat!

Sunday, January 27, 2013

Bercinta, tunang, dan kahwin



Hari ni aku nak jadi serius. Bukan hari ni. Cukuplah setakat dari entri ini ditaip, diedit dan dipublish. Itu saja tempoh aku serius. Lain tempoh aku serius bila perlu. Aku bukan jenis sembang serius. Aku orang yang banyak ketawa dan selalu senyum, Sebab tu dah umur 30 tapi nampak macam 20. Hahaha. Gagal nampaknya percubaan untuk serius. Tak apa. Lepas ni aku cuba lagi.


Bercinta? Banyak kali aku bercinta. Tapi tak ada jodoh nak ke nikah. Takkan ku sebut ke jinjang pelamin sebab pelamin tu pakai masa bersanding. Bersanding tak boleh. Mahu bangun Ustaz dari kubur kalau dia tahu aku bersanding. Kalau orang lain renjis, boleh jadi aku disiram sampai lencun secara halimunan. Aku saja yang nampak. Moralnya, tak payah bersanding. Jimat duit satu hal.


Bercinta zaman universiti aku dapat boyfriend yang dah bekerja. Kerja boleh tahan, banyak OT dan muka ala-ala Bollywood. Tapi mak dia tak suka kat aku. Hahaha. Sebab apa. Takyah lah aku sebut. Nanti anda jugak yang akan gelakkan maknya sebab alasan sungguh tak best. Tapi tak apa. Langsung aku tak kecik hati. Memang untung ada boyfriend yang dah bekerja time kita masih belajar. Nak keluar siap kereta tunggu.  Makan minum harap boyfriend. Nak pergi sana, pergi sini harapkan boyfriend. Nak suruh bayar itu, bayar ini harapkan boyfriend juga.


Tapi aku bukan macam tu sebab aku bukan mengada-ngada. Aku mengada-ngada juga. Perempuan mana tak mengada-ngada. Tapi mengada-ngada aku tak masuk bab duit. Mengada aku nak suruh dia sebut dia sayang aku dua tiga kali dalam sehari. Hahaha. Perempuan mengada memang semua kalau boleh nak harap boyfriend. Zaman universiti buat part-time. Tak cukup duit, SOS Bini Ustaz. SOS tu apa? Saya Orang Susah. Hahaha. Maka Bini Ustaz akan hulur. Tak cukup lain bulan aku cari kakak Petronasku. Terima kasih kerana banyak membantu dari wang ringgit terutamanya :')


Mintak duit dengan boyfriend? Pernah. Tapi tak banyak. Dan biasanya aku bayar balik sebab aku segan. Yang aku tak bayar kalau mintak dia tolong reload kredit handphone sebab maha leceh nak cari dari satu bilik ke satu bilik zaman mengaji dulu. Tapi sekali reload sepuluh hengget. Dan sebagai balasan aku belanja kehepsi. Aku tak cakaplah belanja kehepsi ganti duit topup tapi dah faham-faham sendirilah. Kata cintaaaa. Hehehe.


Tapi aku dah jumpa lelaki akal tak berapa panjang habis duit untuk girlfriend. Sungguh kecewa sehingga melebih-lebihkan sang girlfriend berbanding emak. Ya. Memang patut guna sang sebab gedik dah macam jenis-jenis sang jugak. Bayar broadband minta boyfriend dan boyfriend pun bagi. Nombor pin MUET tak sempat beli pun minta boyfriend. Itu belum masuk topup handphone yang bulanan lebih tiga puluh hengget. Lebih. Tak pernah kurang. Dan itu belum juga campur duit belanja yang dihulur. Ini boyfriend atau ayah? Ayah girlfriend masih ada. Masih sihat. Emaknya pun ada. Pun sihat. Tapi...tak apa. Kita tak payah cerita.


Moralnya, yang mana bercinta dengan yang bekerja janganlah nat jadi set mengada yang boleh ku bagi kaki mintak itu ini. Reti malu tak kiralah boyfriend anak raja atau Perdana Menteri sekalipun. Tambah kalau dapat anak menteri atau yang Perdana Menteri jenis korup sapu duit rakyat. Lagi mohon dijauhi. Bukan jauhi mintak duit. Jauhi terus jangan buat laki. Hahaha. Jahat mulut!




Tunang pula episod memang ke arah dah nak nikah. Katanya nk berkenal-kenalan tapi kalau dah kenal, tak payahlah berlama-lamaan. Aku tak pernah bertunang. Pada aku bertunang tempoh untuk bertenang. Aku pun tak reti nak explain. Jadinya dah kalau tak reti, tak payahlah explain. Sebab aku jadi cikgu sakit hati bila dapat jawapan tulis panjang berjela tapi content tak ada. Tapi aku hargai effort mencuba. Nanti ada pula yang jaki kutuk aku cikgu malas. Hehehe. Tak boleh kena kutuk. Nanti terasa, aku sedih. Bila sedih nanti kulit kedut. Lagi aku bertambah sedih. Nampak tak kesan jangka panjangnya? Makanya mohon jangan buat aku sedih.


Sekarang ni ada yang majlis bertunang buat gah sangat dah macam majlis nikah. Aku tengok dengan hantarannya, dengan nak beli cincin segala. Terpandang saja hantaran terus mata aku nampak syaitan. Hahaha. Keji. Sebenarnya aku nampak benda tu bazir. Itu saja. Bila dah kerja aku sangat menghargai nilai wang. Aku tak suka spend duit untuk benda yang pada aku tak ada faedah. Aku suka yang simple, jimat, jimat dan jimat. Ya. Jimat tu penting. Katalah aku kedekut. Tapi aku takkan tergamak lihat bakal suami habis duit beribu hanya untuk bertunang. Kan lagi baik simpan duit dan berjimat boleh holiday ke Istanbul. Hahaha. Nampak tak aku punya berangan padahal bayang calon pun tak ada.


Jadi kepada yang nak bertunang, kalau yang perempuan masih belajar tak payahlah tergedik sangat habiskan duit si bakal tunang mintak itu ini. Especially yang nak tunang time belajar dan dapat bakal tunang yang dah bekerja, Sedarlah dengan status diri yang masih belajar. Tak payah nak buat grand sangat. Hantaran nak bagi sembilan. Tak sedar semua yang sembilan minta duit boyfriend. Yang boyfriend pula orang jauh. Utara lawan selatan. Nah duit lagi kos perjalanan segala.



Kahwin. Aku pernah bagi tips menjimatkan kenduri kahwin. Kalau aku, memang nak jimat sungguh. Kadang-kadang rasa macam nak buat high-tea saja untuk wedding. Ada murtabak, roti canai, kuih muih, coklat, laksa, bihun sup.  Hidang teh tarik, kopi kampung dan make sure semua memang sedap. Sebab benda begini orang tak makan banyak-banyak. Tambah-tambah yang memang ada kilang gula dan garam dalam badan. Hehehe.


Dari segi tarikh aku tak kebulur nak kejar tarikh yang best. Aku rasa orang yang nak tarikh best-best ni sebab ada masalah ingatan. Tak ingat. Cepat lupa. Tarikh yang cantik bajet macam senang ingat tapi dah kalau pelupa tu, pelupalah jugak. Sungguh memandang rendah aku pada manusia begini. Mulut jahat tak ada insuran harap aku diampun.


Bila sebut kahwin terus nampak duit hantaran, mas kahwin segala. Emak ayah yang punya anak perempuan tak payahlah susahkan anak lelaki yang bakal jadi menantu. Kalau letak tinggi-tinggi, yang nak miskin, nak susah anak menantu anda juga. Tak payah nak ikut standard. Ukur standard anak pompuan anda dah la. Dan jangan lupa padankan dengan kehendak agama. Ecewah. Terasa sungguh ustazah menaip di perenggan ini.


Sebut cerita kahwin terus teringat bab nak beranak-pinak. Kalau ditanya aku. Aku takut nak ada anak. Kenapa? Sebab takut tak boleh jadi emak yang baik. Jadi setiap kali lepas sembahyang, antara doa aku, kalau aku boleh menjadi ibu yang baik, maka kurniakanlah anak kepadaku. Sebab Dia kan Maha Mengetahui. Senang. Biar Dia yang tentukan. Memang anak itu saham akhirat. Tapi kalau anak jadi tak ketahuan pun saham juga untuk mak ayah. Dan banyak lagi cara lain nak main saham akhirat. Antara jumud dengan tak jumud fikiran saja bezanya.



*************

Aku tak berani nak tulis panjang-panjang. Nanti orang kata, aku tak kahwin lagi sembang kencang serupa dah kahwin anak sepuluh dan anak pun dah ramai yang kahwin. Aku memang bujang dan tak ada boyfriend. Saja cakap dua tiga kali supaya tak ada yang syak entri begini tandanya tak lama lagi aku nak kahwin. Buat masa ni, tak nampak lagi bayang-bayangnya. Yang berminat nak jadikan kakak atau adik ipar, boleh tinggalkan di ruangan komen. Hahaha. Sejujurnya, bagaimana doa aku tentang anak, sama juga doa aku untuk mendapatkan suami. Hanya jika aku mampu jadi isteri yang baik, maka Kau jodohkanlah aku dengan lelaki yang baik.

















































p.s  Entri separa serius begini terasa sangat 30.








Monday, December 24, 2012

Jawapan -jawapan Bini Ustaz yang tak tercapai dek akal




Umum mengetahui Bini Ustaz kerap difeaturekan di dalam entri-entri blog ini sama ada entri berilmiah atau pun entri merapu-rapu. Mujur Bini Ustaz bukan jenis mata duitan maka mahu minta royalti segala. Mujur juga beliau tidak buat demo duduk dan bantah. Oh ya, demo-demo ni memang budaya kami. Hihi



Umum juga mengetahui Bini Ustaz ini merujuk kepada emak aku. Emak aku masih cun walaupun umur sudah 63. Tak perlu collagen segala tapi sumpahlah semua kata Bini Ustaz masih cantik. Nampak muda. Maka ke mana lagi tumpahnya cantiknya itu kalau bukan untuk aku. Huahuahua. Mohon jangan maki. Seperti mana yang anda pernah baca aku dapat Anugerah Guru Paling Cantik *confirm tahun depan dah tak dapat*, Bini Ustaz juga pernah dapat award yang sama dari persatuan NGO yang disertainya. Bukan ketika umur remaja. Tetapi ketika umur 60-an begini. Makanya silalah jangan nafikan atau ragu-ragu tentang kecantikkan Bini Ustaz. Cantik tak cantik emaknya, lihat saja pada anaknya. Kahkahkah. Mati kena hempap gunung Baling sebab perasan.



Umum juga sedar semenjak pertengahan 2011 aku pulang menetap di kampung halaman. Bukan kerana mengikut suami tetapi sudah berjauh hati dengan tempat yang lama. Makanya aku memilih untuk tinggal bersama Bini Ustaz dan adik lelakiku yang tidak pernah aku featurekan tentang dirinya di dalam blog ini. Tinggal bersama Bini Ustaz ini bererti setiap hari aku dapat berbual dengannya dan sekali sekala keluar berjimba di Pulau Pinang. Berjimba secara makcik-makciklah. Tidak ada aktiviti menonton wayang. Cukup sekadar mengukur shopping complex dan makan secara marathon. Hehehe.



Ok, cukuplah tiga kali aku gunakan perkataan umum. Nampak sangat tangan aku ni dah tak sabar nak pangkah untuk pilihanraya umum yang akan datang. Itu yang menyebabkan penggunaannya secara kerap.



Bini Ustaz seorang yang pandai berlucu dan kadang-kala jawapannya sungguh tak tercapai dek akal. Aku tidak sedar semenjak bila beliau memperolehi kebolehan untuk memberi jawapan begini. Mari kita lihat fiil Bini Ustaz yakni emakku sendiri.



1) Hujan turun
Aku duduk di tingkat atas dan ketika hari bekerja, hanya sekali-sekala aku di tingkat bawah. Aku turun hanya untuk makan, tengok tv dan kadang-kala membuat rondaan ketika Bini Ustaz sedang tidur. Hendak memastikan beliau sihat dan 'ada'. Aktiviti seharian selepas pulang bekerja kebanyakkannya dilakukan di dalam bilik. Selain mandi, membasuh baju, menyidai kain, aku hanya meng-onlinekan diri dan kemudian tidur. Menyebut tentang aktiviti menyidai kain, Bini Ustaz dan adik lelakiku melakukan aktiviti tersebut di luar rumah.

Alkisah suatu hari hujan kucing-kucing dan anjing-anjing. Sungguh lebat sehingga menyebabkan aku terjaga dari tidur. Sebelum aku naik untuk tidur, Bini Ustaz juga sedang tidur dan aku terperasan kain baju penuh di ampai. Makanya kerana bimbangkan kain baju mungkin basah lencun kelak perlu basuh sekali lagi, pantas aku bingkas bangun dari katil... pergh, bingkas siut. Serupa novel Anis Ayuni dah. Kehkehkeh. Ok mari sambung.

Terus aku berlari-lari anak sambil turun tangga menjerit pada Bini Ustaz.


"Mak, hujan turun mak!!!"


Menjerit as memberitahu, Bukan menjerit marahkan Bini Ustaz. Tidakkkk. Lagi tiga anak tangga nak sampai bawah, aku lompat turun langkau ketiga-tiga anak tangga. Cewahhh. Bajet macam filem aksi. Sila jangan ungkit peristiwa aku jatuh tangga. Tidak ada kena mengena. Sekali lagi aku jerit,


"Makkkkk, hujan turunnn!!!"


Terus nampak kelibat Bini Ustaz keluar dari bilik tidur sambil gosok-gosok kepala. Terkejut barangkali aku terjerit-jerit memanggil beliau.


"Pasaipa? Ada apadia duk panggil, mak, mak..?"


"Dak...hujan turun...," indirectly aku harap mesejnya sampai. Aku nak bagitahu hujan turun dan kain di ampai sudah berangkat atau belum.


"Awatnya hujan turun? Biasa la hujan turun. Kot hujan naik baru la pelik."


Ok, mak. You win!





2) Naik atas
Rumah peninggalan arwah Ustaz ini adalah rumah kampung dua tingkat yang boleh tahan besarnya. Besar bukan kerana kaya. Tapi besar kerana anak-anaknya sembilan orang. Makanya kalau rumah yang kecil sudah pasti tidak selesa untuk kami adik-beradik tinggal secara rukun. Namun demikian, hari ini, rumah besar begini hanya didiami oleh tiga orang yakni Bini Ustaz, aku dan juga adik aku. Hanya kami bertiga sahaja. Bilik aku di tingkat atas dan Bini Ustaz dan adik lelaki di tingkat bawah.


Setiap malam, aku biasanya akan duduk di ruang menonton tv bersama Bini Ustaz dan menonton cerita-cerita pilihan Bini Ustaz. Ya, aku hanya mengikut saja. Apa yang Bini Ustaz tengok, aku bantai saja walaupun sekejap-sekejap akan dengar komen tak puas hati mengondem cerita pilihan beliau. Hahaha.


Seandainya aku tak dapat bertahan menonton cerita yang ntahapapa, aku biasanya akan meninggalkan ruang menonton tv dan naik ke bilik.


"Tak best pun cerita mak tengok ni...." sambil bangun dan buat muka tak best.

Bini Ustaz tak beri sebarang response.

"Tak pa lah mak...orang nak naik ataih (atas) lahhh."

"Nak naik sebut naik sudah la. Nak kata naik ataih buat apa? Memang naik tu naik pi ke ataih. Takdak naik ke bawah aihh."

Tudia sekali dia bagiiii.

Tsk





3) Tak masin
Sudah menjadi trend di rumah kenduri menghidangkan pelbagai jenis menu lain selain dari nasi. Dari teh tarik ke pelbagai bubur dan manisan termasuk laksa dan roti canai. Terjadi di satu majlis kenduri yang cukup gah dengan enam ribu jemputan ada dihidangkan laksa sebagai menu mencuci mulut. Makanya seorang makcik yang berkongsi meja dengan aku dan Bini Ustaz ingin turut sama makan laksa tersebut.


Umur makcik tersebut lebih kurang Bini Ustaz jugak. Dan di umur yang melebihi 60 pelbagai penyakit dari yang bersifat tinggi rendah dan manis datang bermastautin. Makcik ini sibuk bertanya perihal laksa bimbang sifatnya yang masin menyebabkan darah naik mencanak. Almaklumlah dalam badan dah ada kilang hihihi.

'Tak mau masin ambik laksa ngan ulam saja la. Kuah toksah ambik'


Ya, itu cadangan Bini Ustaz. 
Bernas tak? 
Bernas tak? 
Bernas gilaaaa.




4) Kurus
Aku memang ada tabiat suka tanya soalan yang ntahapapa dan kadang-kadang aku suka ulang tanya soalan yang sama. Zaman ada boyfriend hari-hari dia kena hadam soalan "Sayang dak?" dah aku pun sedar perbuatan aku memang annoying. Hihihi. Apabila di rumah, setiap kali aku masak aku secara gigih akan tanya sama ada menu yang dimasak sedap atau tidak. Begitu juga setiap kali aku balik dari berjogging. Nampak sahaja Bini Ustaz depan mata, terus tanya "Mak, orang kuruih (kurus) dak gi?"


"Kuruih dahhhh........






































*tersengih gumbira*








































...kat gigi.."






















Terima kasihlah mak. Jawapan mak sungguh menaikkan motivasi untuk terus lagi berjogging. Hari lain aku tanya, dia boleh jawab kurus kat kuku. Warghhh!! Terus takmau tanya dah. Takmau dah. 




















Wednesday, December 12, 2012

Sebab-sebab aku gagal menghapdet blog secara istiqamah



Sebagai seorang Muslim, kita sememangnya dianjurkan untuk melakukan perkara yang baik secara istiqamah. Wah bahasa aku. Macam nak menjawab kertas SPM. Perkataan dianjurkan tu yang aku rasa nak tergelak. Ya, memang tak lucu untuk anda semua jadi tak payah nak gelak kesian. Aku sangat pasti blog aku ni bukan kategori berilmiah. Selain dari melampiaskan emosi dan nafsu amarah serta merapu sana sini, ada tak kurang 10 entri aku rasa yang boleh boleh gagahlah tahap keilmiahannya. Entri-entri lain mungkin ada yang rasa nak bagi kaki kat aku.



Namun demikian sukacitanya untuk aku maklumkan pada semua, aku sebenarnya sangat suka menulis. Menulis dalam konteks merapu-rapu kerana sebenarnya ia adalah hiburan ringan yang sudah pasti tidak seringan berat badan aku. Cerita sedih untuk semua, berat badan naik lagi. Tapi itu lain kali aku carutkan. Bila lama tak menaip entri baru, aku sebenarnya malu nak klik button new post. Maklumlah, orang beriman. Malu tu perlu. Malu itu sebahagian dari iman *dah terkeluar perkataan istiqamah, iman segala terus rasa entri sangat berilmiah*. Tetapi hari ini aku gagahkan menaip entri baru buat tatapan dan bacaan anda semua. Hahaha. Bajet serupa blog sendu ni glamer ramai pembaca. Mampoih pi lahhh.


1) Memilih kerjaya sebagai guru bererti adalah tidak dari lari, merangkak, atau pun berguling jauh dengan peperiksaan. Makanya sebagai guru yang masih muda, cantik jelita sudah pasti aku dengan suku rela menjadi pengawas peperiksaan. Ya, bila wajah cantik senyum manis berseri pelajar lebih semangat nak jawab exam. Kahkahkah mampoih satgi kena kutuk lagi! Bulan Oktober menjadi pengawas PMR yang tentulah bukan di sekolah aku. Dan bulan November sambung lagi kontrak menjadi pengawas SPM. Sujud syukur kerana menjaga SPM hanya untuk lapan hari. Kepada guru-guru yang mengawas hingga bulan dua belas, aku hulurkan simpati. Nama nak hulur duit, aku tak cukup kaya.

Bila dah terpaksa mengawas, kerjanya sehingga ke petang dan balik rumah terus terkelepek atas katil. Tidak lagi mampu nak beronline dengan gagah kerana badan mahu beronline di atas katil. Kalau bernafsu sangat nak beronline, aku berwasap bersama kawan-kawan sekolah. Itu saja yang aku mampu. Itu saja. Itu. Saja. *saja taip dua tiga kali nak bagi entri nampak panjang...keji!*



2) Perkara kedua sebenarnya berkait rapat dengan perkara pertama. Apabila kerap meninggalkan sekolah, sudah pasti banyak kerja terbengkalai. Dengan nak tanda answer scripts, nak kelebet borang PBS Bahasa Inggeris, nak buat itu, buat ini...huiii tak cukup tangan nak buat. Lepas tu mula rasa nak resign dan jadi suri rumah. Tapi tuan rumah pun belum ada, maka tak usahlah nak emosi bagai nak resign segala. Menanda dan menyemak kertas jawapan sehingga demam sudah menjadi lumrah kerana mengejar masa. Ya, harus aku mengejar masa kerana kelak mungkin aku tidak dapat berjimba. Hahaha. Berjimba itu perlu. Kelak mengundang stress *mampoih kali ketiga satgi ada hat suruh aku pi mengaji Quran*



3) Bulan Oktober yang lalu, aku menggelarkan diri sendiri sebagai guru kurang ajar. Bukan kurang ajar as 'koajaq hang' atau kalau bahasa drama Yusof Haslam 'Kurang ajar, kau!' yang pada aku bunyi haram tak ganas. Hahaha. Kalau sebut slang utara nampak sikit ganasnya. Maksud kurang ajar dalam konteks aku sebagai guru yang kurang mengajar. Ini semua sebab jadi pengawas peperiksaan dan kemudian tinggal lagi sekolah untuk menjadi juruletih RIMUP. RIMUP ni sat lagi aku carutkan. Lepas dah habis RIMUP sambung pula dengan cuti raya korban dan bila dah cuti ingat aku hadap sangat nak buat kerja-kerja sekolah? Tak mau aih!



4) Tak cukup dengan jadi pengawas peperiksaan, sekolah hantar aku untuk jurulatih program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Kiranya peserta adalah dari berbilang bangsa, agama dan warna kulit. Tiga hari menjadi penunggu di Pusat Ko-Kurikulum Daerah Baling tapi aku berkampung siang saja. Malam aku cabut balik rumah. Bunyi nama macam gah, tapi nahaiiii boleh masuk rancangan Bersamamu TV3. Sebenarnya aku tak berapa faham kenapa masih ada program RIMUP nak mengintegrasikan murid bagai. Kata dah satu Malaysia?




5) Bagi anda yang tak terdedah dengan dunia seorang guru, aku suka nak berkongsi tentang guru bahasa Inggeris. Di mana-mana negeri, mana-mana daerah, mana-mana sekolah pun, guru bahasa Inggeris dikira macam tak reti mengajar. Ada saja program itu, program ini, dan paling terkini aku baru sahaja menduduki peperiksaan APTIS. Malaih aku nak google APTIS tu hapakebenda tapi ada listening, ada speaking, ada writing segala dan lepas tu kena attend course di British Council. Punah harapan nak berjimba di hari Sabtu. PPD pula melontarkan kata-kata manis seperti pesakit diabetes kononnya kami adalah insan terpilih. Ahhhh terpilih la sangatttt. Cikgu yang lagi 10 tahun nak pencen pun kena juga attend course. Makanya dapat aku bayangkan tahun depan blog aku ni mungkin seperti bangkai bernyawa. Maklumlah tuan badan sibukkk..nak berjimba pun takdan gamaknya!



6) Selepas seminggu berSPM, ada gap satu minggu yang membuatkan nafsu untuk berblogging nak menaip entri baru muncul di hati. Namun hajat di hati tak kesampaian. Jangan ingat seminggu gap aku duduk saja boleh kelebet laptop online 24 jam baca BeautifulNara dan Malaysiakini. Memang aku memanjang online...tapi online nak masukkan PBS. Huiiii yang ini memang bikin aku naik hantu dan mencarut ringan di dalam hati. Sehari nak key-in satu budak pun seperti mengandung sembilan bulan. Lama menunggu dan page loading boleh sembahyang sunat dua rakaat. Itu pun belum tentu page dah habis loading.








Pendek kata..ya aku yang pendek ini berkata. Yang panjang duduk diam. Pendek kata, terlalu banyak kerja-kerja lain sehingga tidak mampu aku menghapdet blog secara istiqamah seperti masa lalu. Doakan ketidaksibukkan aku maka aku akan kembali menghangatkan arena blogging ini. Mungkin aku boleh jadi lebih hebat dari blogger femes yang kini dah berlakon dan kalau melawat blognya, entri advertorial saja yang banyak. Itupun gigih ramai yang mengomen. Hahaha. *memang betoi-betoi nak mampoih aku ni tetiba perli blogger femes*










Thursday, December 6, 2012

Jenis-jenis pelajar yang dapat dilihat di dalam dewan peperiksaan




Memilih pekerjaan sebagai guru, anda tidak mengelak mahupun menepis daripada menjadi pengawas peperiksaan. Sekurang-kurangnya sekali seumur pekerjaan, anda akan menjadi pengawas untuk peperiksaan-peperiksaan umum yang terdapat di Malaysia seperti UPSR, PMR, SPM, MUET dan STPM. Tahun ini merupakan kali keempat aku mengawas peperiksaan dan kali pertama untuk peperiksaan SPM. Sungguh bahagia apabila aku hanya perlu mengawas selama enam hari. Empat kali mengawas peperiksaan, aku dapat mengklasifikasikan jenis-jenis pelajar yang terdapat di dalam peperiksaan.





1) Pelajar masa depan gemilang
Pelajar yang masa depannya gemilang dapat dilihat dari sebelum bermulanya satu-satu kertas. Sebelum melangkah masuk ke dewan, tangan diangkat memohon doa. Doanya sudah pasti panjang dan boleh jadi qunut nazilah juga dibaca. Melangkah masuk ke dalam dewan menggunakan kaki kanan. Kalau tersalah rela berundur walaupun tahu belakangnya ramai yang sedang menyerbu dan diri tak ada side mirror. Sewaktu berjalan masuk, mulut terkumat-kamit. Terkumat-kamit membaca doa ataupun menghafal nota-nota penting. Nak duduk doa. Tatkala ketua pengawas mengumumkan boleh mula menjawab soalan, ditadahnya tangan sekali lagi berdoa. Menjawab pula dengan khusyuk. Sekali sekala tengok jam bimbang tak cukup masa. Masa menjawab digunakan sepenuhnya. Agak tak cukup kertas, laju angkat tangan. Aku yang mengawas pun jalan laju macam penguin nampak ikan dalam air jernih tak sabar nak terjun laut. Dah cukup masa, kadang tak henti menulis. Kalau dah habis, semak dua tiga kali. Bila pengawas dah kutip, baca doa lagi. Nak keluar dewan, ucap terima kasih, senyum dan lagi ada doa. Huiiii. Kagum aku. Macam-macam doa boleh ingat. Cerah hati. Tahniah. Terus aku nampak bayang A lurus untuk pelajar begini.




2) Pelajar PJJ
Bagi anda yang bersekolah di asrama penuh, atau sekolah budak-budaknya pandai belaka, pasti tidak tahu pelajar sekolah menengah ramai yang belajar secara PJJ. Bulan Januari datang sekolah, mendaftar dan ambil buku teks. Yuran PIBG belum tentu dia bayar. Tak apa. Itu boleh kutip hari nak ambil keputusan. Masa setiausaha peperiksaan minta guru kelas kutip duit yuran SPM, dia pun bayar dan semangat isi borang fotostat kad pengenalan segala. Bulan berikutnya, 20 hari sekolah, 15 hari sahaja dia muncul. Bulan berikutnya 10 hari dan semakin bertambah bulan semakin kurang hari kedatangannya. Bulan 7, bulan 8 terus hilang seperti disorok bunian. Tapi kalau disorok bunian petang dan malamnya yang kita tak nampak. Tapi pelajar PJJ, petang dan malamnya berpesta muda mudi tak ingat mati.


Tiba di hari peperiksaan, boleh muncul tanpa rasa malu dan datang bergelak ketawa seperti sudah berkurun dia bersedia. Padahal sekolah haram tak datang dan biasanya guru-guru menggelarkan mereka PJJ. Nama saja PJJ, tapi jangan haraplah mereka di rumah membaca dan mengulangkaji secara maya. Mungkin lebih banyak membuta dari mencelik. Mereka ini di dalam dewan peperiksaan datang sekadar menyakitkan hati guru di sekolah dan guru yang mengawas. Sudahlah tak mahu menjawab soalan. Di dalam dewan usik mengusik rakan yang ada dan ada yang perasan kacak dimengoratnya pengawas yang comel seperti aku. Huahuahua. Akhirnya jumpa point untuk aku perasankan diri. Kahkahkah dan sila jangan carutkan aku. Baiklah, mari kita sambung. Biasanya aku selalu memaksa mereka keluar dari dewan peperiksaan. Bukanlah aku memaksa dengan menghalau atau menggunakan teknik mengugut atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya aku akan mengulang tanpa jemu yang mereka dibenarkan keluar selepas 30 minit masa peperiksaan berlalu. Di samping itu aku juga meracuni fikiran mereka dengan kelazatan makanan di kantin atau keempukkan tilam di rumah. Hihihi




3) Pelajar ganjil
Pelajar ganjil bukanlah pelajar yang mempunyai angka giliran yang ganjil di dalam dewan peperiksaan. Tetapi terma ini merujuk kepada pelajar yang bersikap ganjil seolah-olah dia berada di dalam dunianya sendiri. Sewaktu pelajar lain gigih menjawab mahupun menghentam jawapan, dia sibuk membelek benang yang diberi. Benang yang sepatutnya diikat pada kertas dipusing-pusing pada hujung pen atau pensel dan kemudian tersengeh sendiri. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran beliau tetapi biasanya aku akan berjalan menghampiri pelajar begini dan memberi pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan dan aku sendiri pun tak tahu bagaimana hendak mengekspresikan pandanganku itu dengan kata-kata.


Lihat dunia pelajar ini. Wajahnya tampan tapi stokin yang dipakai....nahaiiii


Pesanan penaja: Muka yang nampak kental jangan disangka gagah. Mungkin punggungnya longgar

Senang cerita, biasanya selepas menerima pandangan begitu, pelajar begini akan mengamalkan konsep tomma'ninah. Makna kata berhenti seketika dan sejurus aku berlalu pergi, dia menyambungnya lagi seolah-olah tidak terkesan dengan pandangan aku tadi. Cis!





4) Pelajar taqlid
Sebagai bekas pelajar sekolah agama disamping diberi jolokkan anak ustaz...hahaha. Tetiba aku rasa macam tak berapa nak kena perkataan jolokkan tu. Tak apa. Tak penting. Makanya aku rasa wajar aku menggunakan terma berunsurkan bahasa arab. Biasalah, bajet handal serupa hebat sangat tak lain tak bukan akulah.


Makanya pelajar taqlid adalah pelajar yang mengikut perbuatan rakan-rakannya yang lain secara mengkhinzir buta. Sebagai contoh, kawannya angkat tangan mohon ke tandas, dia juga sibuk cerita pundinya size XS maka mahu turut serta ke tandas. Dilihat kawan yang lain angkat tangan minta kertas, dia juga sibuk mahu kertas padahal kertas yang diberi awalnya guna bahagian atasnya sahaja. Ya, bahagian atas yang perlu ditulis nombor kad pengenalan, angka giliran, nama matapelajaran dan kod kertas. Itu sahaja tetapi dek kerana nak mengikut kawan dan konon tak mahu ketinggalan, gigih angkat tangan minta itu ini.





5) Trend-setter
Yang trend-setter begini setiap kelas atau dewan peperiksaan seorang sahaja. Biasanya muka yang sama dan pakwe sekolah yang akan jadi trend-setter. Maksud aku di sini, ini adalah pelajar pertama yang angkat tangan untuk meninggalkan dewan peperiksaan. Pelajar-pelajar lain sebenarnya tak tahan juga berlama-lamaan di dalam dewan bimbang punggung mereka berakar barangkali. Tetapi masing-masing tidak mahu jadi yang pertama walaupun mendapat isyarat dari rakan seperjuangan untuk bangun secara serentak tetapi masih tidak bangun-bangun dan keluar dari dewan peperiksaan. Aku kadangkala mahu sikukan sahaja pelajar begini kerana sesungguhnya mata aku rimas melihat aksi mereka. Dan secara tiba-tiba sewaktu aku hampir melampiaskan marah aku, akan ada penyelamat di mana tanpa ragu-ragu dan mempamerkan wajah kental tangan diangkat dan mohon untuk keluar. Dan tak tunggu lama, pelajar-pelajar taqlid tadi akan turut akan tangan dan keluar secara berjemaah.




6) Pelajar buaih
Buaih ini adalah dialek utara yang kata dasarnya adalah buas. Tetapi buas ini bukan bererti liar seperti buaya di dalam sungai Amazon mahupun amazon dot kom. Buaih boleh didefinisikan sebagai tak boleh duduk diam. Pelajar buaih di dalam dewan peperiksaan merujuk kepada pelajar yang peralatan menulisnya kerap kali jatuh. Kalau bukan tudung pen, boleh jadi kad pengenalan atau slip peperiksaannya jatuh. Sebagai pengawas sudah pasti aku perlu mengutip barang yang jatuh dan dengan tertib meletakkannya semula di atas meja pelajar begini. Tunggu lagi barang 10 minit benda lain pula yang dijatuhkan. Sesungguhnya pelajar yang sama yang akan jatuh segala benda yang ada di atas mejanya. Mujur anggota badan yang lain memang bersambung sejak azali. Kalau semua boleh main tanggal, tak mustahil benda dalam seluar pun tertinggal atau terjatuh tengah jalan.






Ada juga pelajar-pelajar yang tanpa rasa malu angkat tangan tanya jawapan pada pengawas. Kalau peperiksaan Bahasa Inggeris, ada yang tanpa ragu-ragu mohon aku berikan maksud perkataan. Ada juga jenis yang angkat tangan dan bila pengawas tanya ada apa dijawabnya dia sedang mengeliat. Yang ini memang tunggu hari nak makan kaki aku! Mengawas peperiksaan sebenarnya sangat menjemukan dan meletihkan. Perlu berkawad, tak boleh bersembang, perlu sentiasa peka membuatkan aku pengsan di atas katil tatkala sampai di rumah. Dan akhir kata, pengawas peperiksaan tak sama dengan pengawas sekolah. Pengawas peperiksaan baik hati dan comel. Contoh mudah sudah pastilah diriku. Pengawas sekolah...malas aku nak cerita.













Wednesday, December 5, 2012

Stop lying





Setiap kali artis Malaysia mucul dengan album baru, statement cliche seperti di bawah akan muncul dari mulut mereka.






Kalau bukan dari artis itu sendiri, datang dari para wartawan. Kalau bukan sewaktu kemunculan album baru, boleh jadi statement begini akan keluar ketika menang anugerah atau memperkenalkan artis baru. memang dah biasa sangat dengar. Selalu.




Tetapi....




Tahukah anda siapa A.R Rahman?






Jai ho!



Takkan tak pernah dengar kotttt? Entah-entah dalam diam kat rumah tergedik-gedik tengok video klip di Youtube sambil cuba tiru choreography sehingga yang melihat rasa nak baling seterika. 

Aaja Aaja Jind Shamiyane Ke Tale
Aaja Jariwale Nile Aasman Ke Tale
Jai Ho Jai Ho


Ok, boleh jadi hanya aku saja yang gigih begitu.






Sumber: Wikipedia


Aku pun tak tahu dah berapa banyak award dia menang. Dari yang local sampai ke international. He composed great music, indeed. Tapi tak pernah pula aku dengar dia keluar statement membawa nafas tak nafas baru ke dalam lagu, membawa muzik ke peringkat yang lebih tinggi segala. Langsung tak pernah. But damn, his music is remarkable.






He never mentioned "Bringing music to the next level". But in Malaysia, most local artiste saying it in their song.




Malaysian artiste, stop lying!


















Tuesday, December 4, 2012

Lagi perkara yang aku tak suka tentang Facebook


Mula-mula letak status in relationship. Tengok wall semua status cinta.



I love you sayang

Semoga hubungan kita berpanjangan hingga ke jinjang pelamin


Rindu awak. Nite cayunk 
(contoh yang berIQ rendah)


Baby dah sihat? Take care sayang. Rindu awak selalu.


Tetapi tatkala hubungan dilanda ribut, status pun bertukar complicated


Hapa jadahnya ni? 
Kalaulah Facebook ada status hubungan dengan emak bapak, 
contoh anak kandung, anak angkat, anak pungut dan jenis-jenis anak yang lain..
...mahu seminggu sekali tukas status.
Asal berbalah dengan mak ayah, terus status anak angkat. 



Gedik aih!!!!!!!!!






Saturday, December 1, 2012

Perkara-perkara yang aku tak suka tentang Facebook



Dewasa ini, tidak dapat dinafikan Facebook memainkan peranan penting dalam kehidupan individu yang bernama manusia. Individu bernama syaiton, jangan guna Facebook (syaiton yang dikenali macam mana?). Umur kebersamaan aku dan Facebook baru setahun jagung. Dan aku baru sahaja reti mengeblok mereka yang aku tidak berkenan di hati. Buat masa ini, belum ada lagi. Habis-habis tak suka, aku unfriend saja.

Untuk pengetahuan umum, Facebook aku dimiliki oleh dua individu. Seorang hamba Allah yang merupakan peminat tegar blog aku yang semakin hari semakin sendu ini, telah dengan gigihnya meng-create sebuah akaun Facebook. Sungguh aku tak sangka kegigihannya kerana minat yang padu dan jitu. Dan aku baru sahaja melihat gambar beliau...kacak gila. Mujur umurnya yang lebih muda. Kalau tidak sudah pasti aku paksa dia meminang aku. Hahaha. Ok, tak lawak pun. Syok sendiri macam selalu.

Oleh kerana gagal menghapdet secara istiqamah, otak menjadi tepu maka gagal untuk memanjangkan intro entri kali ini. Ayuh baca secara berjemaah.



1) Penggunaan bahasa IQ rendah
Tahukah anda bahasa IQ rendah? Bahasa IQ rendah digunakan secara meluas di kalangan remaja hari ini terutamanya pakwe dan awek sekolah. Tidak kira mereka pakwe atau awek asrama penuh mahupun sekolah harian, latar belakang pendidikan tidak berkait dengan penggunaan bahasa IQ rendah kerana pada pendapat aku, mereka yang menggunakan bahasa begini yang memilih untuk berada dalam kumpulan dungu dan bebal.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Fadzilah Kamsah, mereka yang yang merosakkan ejaan seperti dengan menggunakan huruf E dan W secara tegar, atau menukar ejaan sesuka hati mereka seperti school menjadi skul, boring menjadi boink, saja dieja sajew, aku disingkatkan kepada ak ataupun aq dan banyak lagi contoh lain yang aku tak mahu buang masa dan tenaga nak mengingat kembali perkataan-perkataan terencat itu, merupakan mereka yang tergolong dalam kumpulan IQ rendah. Hahaha.

Mungkin mereka berperasaan sangat cool menghapdet status menggunakan bahasa yang rosak begini tetapi hakikatnya sumpahlah nampak sangat bangang dan sejujurnya aku biasanya lemah untuk menghadam ayat mereka. Apabila mata aku terpaksa menyaksikan kebodohan sebegini, secara tidak langsung memutuskan nafsu aku untuk melayari Facebook. Benci ahhh



2) Aplikasi yang belum mumayyiz
Ramai dikalangan Facebookers menge-like aplikasi mumayyiz yang akibatnya memenuhi wall Facebook aku. Apa kejadahnya mengelike aplikasi yang kononnya untuk melihat rumah apa yang sesuai untuk anda, kereta apa yang sesuai untuk dan konsep perkahwinan yang bagaimana sesuai untuk anda. Haruslah tanpa ragu-ragu aku mencarut secara live di dalam hati dan terus menekan option unsubscribe. Apabila aku melampiaskan rasa tidak sukaku dikatakan aku tidak sporting dan mereka bermain secara suka-suka. Ahhh tak dulik! Aku tetap tak suka kerana sebagai seorang yang independent, aku membuat keputusan untuk diri sendiri.


Aku tidak perlukan sebarang aplikasi untuk melihat kereta apa yang sesuai untuk aku. Aku hanya perlu melihat duit simpanan yang berjaya dikumpulkan dan memilih kereta yang aku suka. Aku tak perlu nak rujuk aplikasi tidak matang untuk melihat konsep perkahwinan yang sesuai untuk aku.


Antara aplikasi lain yang sungguh menipu adalah Who Viewed Your Profile. Tiba-tiba aku berada dalam top five padahal seingat aku dua kali saja aku view profile Facebook beliau. Ahhh. Sudahlah aku ditag, kemudian maklumat yang menipu pula.



3) Profile yang menipu
Ini bukan fake profile yang menambah aku sebagai rakan untuk mengskodeng kehidupan aku yang awesome dan dicemburui ramai pihak. Tetapi ada di antara pelajar aku yang meng-add aku di Facebook tetapi apabila aku mengeview profile mereka, sungguh terasa mahuku sugun kepala sorang-sorang. Ya, menggunakan terma sorang-sorang makna kata ramailah yang mahuku sugun dan ramailah yang menyatakan maklumat tidak tepat atau bahasa mudahnya, ta ya pa wau, tipu.





Yang atas ni contoh benar. Kemain duduk London..padahal duduk Selangor saja. Ada juga yang mengaku belajar di Harvard, padahal PMR pun belum lepas. Ni apa punya profile ni? Apa malukah duduk di Baling sampai nak kena jadikan Berlin. Tengok macam aku. Walaupun duduk di Baling, kulit putih berseri kalah orang Cina. Kahkahkah. Ala, macam tak biasa. Entri aku, kalau tak ada nak memuji diri sendiri, nampak sangat bukan aku yang taipnya.



4) Menge-like tak kena tempat.
Haaaa yang ni memang paling aku tak berkenan. Like bermaksud suka kalau bahasa melayunya. Kadang-kadang aku melihat status 'Ayahku telah kembali ke rahmatullah', ada 10 like. Aku ulang, like maksudnya suka. Adakah pengelike-pengelike ini suka dengan ayahnya yang telah meninggal dunia? Adakah pengelike-pengelike ini memang mengharapkan ayah si polan meninggal dunia dan wah akhirnya termakbul doa dan sembahyang hajatku? Adakah antara pengelike ini, jatuh cinta dengan emak si penghapdet status makanya bahagia kerana akhirnya ada peluang untuk merebut cinta si emak? Adakah...ahh terlalu banyak kebarangkalian yang semuanya negatif belaka. Jadi, mengapa perlu like? Mengapa?



Status seperti di atas wajar untuk di-like secara berjemaah. Status orang mati, orang sedih, orang kecewa, mohon jangan di-like. Ada yang memberi alasan, andai ia di-like, dapat dikongsi bersama rakan yang lain. Saudara saudari, itu maksudnya tekan butang share. Share maksudnya kongsi. Bukan like maksudnya kongsi. Nampak tak ayat aku yang jadi pendek-pendek. Itu tandanya macam nak marah. Ya, nak marah.

















































Bukan nak marah padahalnya pun. Dah tak ada idea nak taip apa. Hahaha. Ngek! Penutup bagi entri kali ini adalah sila tekan pangkah di sudut atas, yang paling kanan.




















Friday, October 19, 2012

Cikgu kurang ajar



Akulah tu cikgu yang kurang ajar. Bukan kurang ajar like kojaq atau kalau versi bukan utara lepas cakap kurang ajar mesti ada tanda seruan. Bukan yang tu.


Ini kurang ajar sebab dah jarang sungguh rasa mengajar. Sila jangan fitnah aku malas masuk kelas segala. Tapi kerana diriku yang bujang dan jugak hot cantik menawan maka selalu secara paksarela kena keluar sekolah buat itu buat ini.


Dan bila dah kena buat itu buat ini letih badan maka balik terus terbongkang atas katil.
























Dah tu cana nak hapdet blog secara istiqamah?


































Alasan!



Wednesday, September 26, 2012

Think wise





Memang dalam dunia ni, ada benda yang kita cerdik, ada benda yang kita tak cerdik. Bila tak cerdik, sila belajar, sila kaji, sila buka buku, sila luaskan pandangan, dan sila rajin bertanya supaya tak sesat jalan.



Makanya Tuan Mufti yang komen untuk filem Untuk Tiga Hari, silalah jangan tunjuk diri anda tidak cerdik. Aku malu. Aku malu bila orang ada ilmu tinggi tapi buat perkara simple yang terus nampak ketidakcerdikkannya.






Or perhaps, it is a human nature to think wisely but act foolishly?








Sunday, August 26, 2012

Bahana mengejek




Aku, hari raya dan mengadakan pesta separa liar tatkala bergambar memang tak dapat dipisahkan. Ibarat isi dengan kuku dan tak ada cagu antara mereka.





Banyak lagi jenis posing yang ada tapi sebab perangai bukan lindungan kaabah maka aku telah mempengaruhi the sisters untuk menggayakan sore-eyes-five-days-of-mc.



Dan hari ini...




Kena tahan di Metro. Tak tahulah mc berapa hari tapi sebab nak kena buat physiotherapy bagai, lebih dari sehari itu sudah pasti. Di saat nak berbuka puasa semalam, nak turun tangga boleh terjatuh menggelungsur sampai ke bawah. Ambik aku, ini makan dia.




Selamat Hari Raya Aidilfitri, Fitri. Maaf Zahir Batin.

Saturday, July 28, 2012

Perkara-perkara yang aku benci mengenai perubahan sistem pendidikan



Memilih bidang perguruan bukanlah kerana pilihan terakhir tak ada kerja maka jadi cikgu mudah. Oh, sungguh bukan diriku. Kebanyakkannya memilih menjadi guru kerana sifat suka membantu dan suka mengajar dan aku pula mungkin kerana nak tunjuk pandai. Kahkahkah. Tipu saja. Tapi boleh jadi juga ada sekelumit kebenaran. Walaupun baru empat tahun menjadi guru, aku secara suka atau tidak suka telah melalui pelbagai perubahan di dalam sistem pendidikan yang sekarang ni turut menjadi mainan politik puak-puak yang dungu dan tak reti bahasa. Ada yang aku boleh bagi pujian melangit dan ada jugak yang aku rasa nak ludah di muka. Yang aku nak hambur di sini sudah pasti yang aku rasa nak ludah di muka.


1) Pelajar dibenarkan bawa telefon bimbit ke sekolah
Bangang! Bangang! Bangang! Adjektif ni saja yang sesuai untuk describe usul benarkan bawa handphone ke sekolah. Kebanyakkan mak bapak setuju bila kementerian kata anak boleh bawa handphone. Bila aku kaji latar belakang pakcik-pakcik dan makcik-makcik ini, rupanya anak mereka sekolah hebat. Sekolah yang gah macam Victoria Institution, sekolah asrama penuh, sekolah kluster kiranya sekolah yang kalau sapa sebut pun memang diketahui umum. Cuba kalau aku sebut SMK Kuala Pegang? SMK Bakai? SMK Chepir? Masa tu dan dan berasa, oh lemahnya pengetahuan geografi diri sendiri.



Ya, aku ni mengajar sekolah kampung. Sekolah kampung yang parentsnya bukan dari golongan banyak duit. Yang makan nasi lauk ikan masin saja pun ada. Dah kalau semua pakat bawa handphone, budak-budak yang tak mampu ni mula-mula memang dia pandang saja. Pastu lama-lama akan wujud inferiority. Inferiority bahasa melayu apa wei? Rendah diri? Tak sama standard? Bila dah ada inferiority ni la yang boleh menyebabkan kes curi mencuri. Nanti ada pula yang kata aku ni pandang rendah kat pelajar sendiri. Eh eh, aku ni cikgu depa. Cikgu ni kan macam mak ayah. Mak ayah memang kenal perangai anak-anak dia. Cikgu pun sama juga. Satu-satu aku boleh sebut perangai budak-budak aku.


Bila dah jadi kes curi siapa yang susah? Cikgu jugak. Nak kena buat spot check, nak kena buat interrogation, semua ni curi masa PnP atau TnL - sesi pengajaran dan pembelajaran. Kementerian dari dulu kata nak hantar pembantu guru sampai hari ni tak nampak pun batang hidung. Dengar-dengar sekolah yang dapat dia letak pembantu guru tu kat pejabat. Apa kejadahnya letak kat pejabat? Setakat guru besar, pengetua dan penolong kanan depa memang dah ada pembantu. Staf-staf kat ofis tu memang sedia ada duk menolong. Ni kami yang cikgu di bilik guru terkangkang-kangkang nak buat itu ini.


Ok, so point aku adalah masalah curi mencuri. Point yang kedua dalam kelas time cikgu mengajar dia sibuk nak berhandphone. Cikgu pompang pompang kat depan yang dia tangan bawah meja, takpun letak dalam laci sambil picit-picit main sms. Zaman aku mengaji takdak handphone pun aku selalu main pas-pas kertas dengan kawan sekolah. Tu cara aku bersms dengan kawan-kawan masa cikgu mengajar. Tapi at least dengan orang sebelah saja. Kalau dah ada handphone di tangan? Dengan pakwe kat depan, pakwe kat sebelah, skandal kat kampung, semua dia boleh sms. Sekali dua memang larat nak tegur. Tapi lama-lama memang rasa macam nak kata lantak pi lah sebab bila kita tegur, nasihat dia, benda tu ambil masa PnP. Dah tu, bilanya nak habis syllabus?


Itu belum masuk cerita yang rakam cikgu denda kawan dia, cikgu marah-marah dalam kelas. Pastu upload kat Youtube, kat FB, biasa memang orang nak cari peluang hentam cikgu. Aku bukan nak kata semua cikgu elok. Semua cikgu bagus. Memang ada yang pesen malas, pesen tak masuk kelas. Aku pun ada hari rasa demotivated nak mengajar tapi habis-habis malas pun aku bawa pi library suruh buat NILAM tak pun bagi latihan grammar. Tapi bila cikgu marah, cikgu denda, ada sebablah. Bukan suka-suka hati nak denda sebab meluat atau benci. Denda nak bagi pengajaran. Yang mak ayah bising-bising anak kena denda tu macamlah masa dia sekolah dia tak pernah kena denda???


Pada aku budak-budak hostel mungkin kot sesuai nak bawa handphone. Yang sekolah harian ni, tak berapa nak sesuai. Bukan selalu balik lambat. Public phone duk ada sedia di sekolah. Kadang-kadang nak pinjam telefon sekolah pun, staf ofis tak berkira. Aku yang cikgu ni pun kadang-kadang hulur handphone kat budak dah kalau emergency sangat nak guna. Kalau semua budak sekolah pakat bawa handphone, tak mustahil ada pula nakbuat 1Murid 1Telefon. Bunyi pun tak sedap!



2) Pentaksiran Berasaskan Sekolah
Aku suka bila peperiksaan kebangsaan dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Maksudnya pelajar sekolah akan ditaksir mengikut level masing-masing, akan ditaksir mengikut sejauh mana pengetahuan dan kebolehan pelajar tersebut. Makanya pelajar akan dikelaskan mengikut band. Band 1 paling cokia, Band 6 paling awesome. Mungkin ada pelajar yang Band 1 pun tak complete dah kalau umur 13 tapi tulis nama sendiri saja yang dia boleh. Semua subjek termasuklah seni, sivik dan PJK akan ditaksir mengikut band. Maksudnya, mana-mana yang duduk bawah kurikulum memang akan ditaksir ikut band.

Tapi yang aku jadi nak marah, jadi meluat, jadi benci, jadi-jadian sebab kementerian ni bila nak buat apa-apa, nak tiru apa-apa dia nak buat sekali harung. Jangan tak tau format PBS ni negara-negara maju macam Jepun, Singapore dan lama buat. Jepun sendiri ambil masa lima tahun nak betul-betul mantap format baru ni. Yang kita baru duk terhegeh-hegeh, terkial-kial ni dia nak buat sekaligus kurikulum dan kokurikulum. Awat? Tak bolehkah buat satu-satu? Tak bolehkah mantapkan dulu kurikulum dan kokurikulum ikut saja yang merit-merit tu dulu? Bila dah terrer kurikulum, lepas tu nak buat kokurikulum dan segala kulum-kulum tu boleh belaka. Bila cikgu-cikgu merungut dia kata pasaipa negara lain boleh, kata kita ni Malaysia Boleh

Ni nak habaq mai!

Negara-negara lain yang buat PBS tu cikgu-cikgu dia memang kerjanya mengajar sahaja. Aku ulang, mengajar SAHAJA. SAHAJA. Benda-benda lain yang kutip yuran, segala clerical work tu orang lain yang bukan guru buat. La ni zaman orang cari maklumat kat internet. Bukan dengar orang cakap pastu percaya bulat-bulat. Orang dungu, orang bodoh memanglah percaya saja orang kata.


Lagi satu, PBS untuk tingkatan satu start 2012 yakni tahun ini. Tapi nak buat training, nak buat kursus bagai pun semua buat tahun ni. Kalau aku kata kementerian ni bersikap recessive, marah pulak. Tapi memang itu yang benarnya. Tak bolehkah jadi proaktif. Nak buat 2012, 2010 atau 2011 dah panggil buat training workshop bagai. Barulah cikgu-cikgu lebih bersedia. 




Baru dua benda yang ulas dah panjang berjela. Lain kali aku sambung lagi. Nak pi mengurut badan bagi hilang stress. Siapa yang tak setuju, mai kita lawan mengulas secara berhikmah. Kata-kata kot belakang apa barang?







Saturday, July 7, 2012

Senarai Kesyukuran: Edisi Zaman Belajar







Tahun depan aku bakal berusia 30 tahun. Kalau dihitung dari segi bulan hanya tinggal lebih kurang lapan bulan. Tak lama dah tu. Bimbang anda lupa atau mungkin tak tahu, aku lahir pada 20 Februari. Maka tahun depan jangan buat-buat lupa. Bagi pelajar-pelajar aku yang selalu claim rindu dan sayangkan aku, bolehlah menabung dari sekarang kumpul duit secara berjemaah dan beli hadiah untuk cikgu anda. Aku mengharapkan sebiji, atau sebuah atau sekeping Ipad. Jangan risau. Aku tak akan minta cincin harga juta-juta kerana kehendak itu hanya boleh dipenuhi sekiranya pelajar-pelajar aku menabung dari kecil.



Walaupun bakal berusia 30 tahun, aku sangat bersyukur kerana dilahirkan sebelum tahun 90-an. Memandangkan ini merupakan edisi zaman belajar, ayuh kita imbas bagaimana kehidupan zaman belajar aku yang sangat awesome.


1) Kelas tambahan
Zaman aku dulu memang dah ada kelas tambahan. Tapi aku berasa sangat cukup dengan kelas tambahan yang sekolah sediakan. Bayaran yang dikenakan ciput sahaja dan aku rasa Ustaz dan Bini Ustaz tidak terasa terbeban setakat nak keluar 30 ringgit. Kalau zaman sekarang jangan haraplah. Kelas tambahan sekolah, kelas tambahan luar, kem motivasi sana sini, teknik menjawab segala kurang-kurang dekat seribu mak bapak berhabis semata-mata nak bagi anak pandai. Masa tahun enam Bini Ustaz daftar aku tuition yang aku dah tak ingat namanya. Aku ambil subjek bahasa sahaja kerana aku memang manusia tak reti bahasa. Kalau tak salah aku cikgu yang mengajar Bahasa Melayu nama Cikgu Bazli. Orangnya tak tinggi sangat, dan agak berisi. Kalau aku tak silaplah.


Tapi zaman sekarang aku lihat budak tahun empat pun dah ada mak ayah hantar kelas tuition. Makanya bila dah masuk tahun enam seorang budak ada tuition du luar dan juga di sekolah. Gila kental. Kalau aku boleh diserang angin ahmar kerana otak aku sungguh tidak mampu bekerja secara serius dalam satu tempoh masa yang panjang. 






2) Lebih berdikari
Wah. Kemain statement aku. Tapi sungguhlah aku rasa zaman aku kanak-kanaknya lebih berdikari bila belajar. Seperti yang sedia maklum aku tinggal di asrama semenjak dari tingkatan satu walaupun pada awalnya menangis memanjang sibuk nak balik rumah padahal jarak sekolah dengan rumah cuma 10km. Sedangkan pantai lagikan berubah inikan pula hati manusia. Dah naik tingkatan dua terus cinta duduk asrama sebab ada kawan-kawan yang best. Okay, tipu sahaja. Tak adalah cinta sangat. Tapi sayang tu ada. Hihihi. Aku gelak bukan sebab lucu. Tapi gelak nak cover tipu sunat. Nampaknya dah ke laut aku punya penerangan. Apa boleh buat. Kebanyakkan cikgu memang macam ni. Masuk kelas mengajar benda lain tapi tiba-tiba melalut cerita bab anak, suami dan kisah zaman belajar.



Aku merasakan budak-budak zaman aku lebih berdikari kerana kami banyak buat sendiri berbanding nak harapkan cikgu secara total. Zaman aku, kalau nak kertas soalan percubaan negeri lain, sibuk telefon kawan-kawan minta tolong pos. Kalau yang ada sepupu, dua pupu, tiga pupu, bau-bau bacang, masa tahun nak ambil periksalah hubungan menjadi rapat secara tiba-tiba ibarat isi dengan kuku tetapi mungkin ada sekam antara mereka kerana bila dah habis exam masing-masing diam. Bila dah dapat kertas soalan, share dengan kawan-kawan atau beri pada cikgu untuk dikongsi bersama. Nampak tak berdikarinya kami dahulu?

Budak zaman sekarang semua cikgu suap. Bila dah kena suap ada juga yang tak reti nak kunyah sendiri. Kadang nak hadam pun tak reti jugak dan akibatnya berak tahi keras. Itu maksud literal. Figuratifnya time exam tak boleh jawab dengan lancar. Cikgu-cikgu zaman sekarang memang syok sendiri dan pulun lebih berbanding budak yang belajar. Lepas musim peperiksaan percubaan semua cikgu tiba-tiba jadi terrer dengan internet. Sebelum ni nak check email pun berpeluh ketiak tapi demi nak bagi anak murid pandai dan boleh score terus jadi handal cari kertas soalan percubaan negeri lain siap download save semua. Kalau tak cukup handal pun, bolehlah kalau nak kata jaguh kampung.



3) Handphone
Aku ketika di sekolah menengah tak pernah pun menunjukkan minat pada handphone apatah lagi nak rasa kagum melihat seorang hamba Allah pakai handphone. Zaman aku semua pakai telefon awam. Aku pun tak tahu datang dari mana kekuatan ajaib boleh pula berdiri berlama-lamaan demi nak menggunakan public phone. Itu kalau bab nak bergayut. Belum cerita bab menunggu. Ya, kebanyakkan telefon awam memang berpenunggu. Kalau zaman aku di Agama Baling ada seorang senior yang aku masih ingat namanya tapi tak bolehlah telus sangat dengan mendedahkan nama beliau di sini. Kelak mungkin perlu buat press statement mohon maaf macam artis dua orang tu ataupun tak kena gaya kakak senior ini akan menuntut royalti Nuffnangku yang bukanlah banyak mana. Berbalik kepada cerita penunggu telefon awam bawah tangga asrama, sumpahlah aku tak mahu ambil turn kalau si kakak senior yang sedang menggunakan telefon tersebut. Kalau aku diserang cirit birit dan sudah ke tandas lapan kali pun belum tentu dia dah habis bercakap.



Tapi budak zaman sekarang yang tahap mumayyiz plus huruf hijaiyah pun gagap lagi dah pandai pakai handphone, tab segala. Asal nampak mak ayah mulalah tersengeh-sengeh minta duit nak beli topup. Aku dulu tersengeh-sengeh juga kalau nak minta duit tapi bukan nak beli topup. Aku beli makanan tak pun majalah Ujang. Ujang zaman dulu best. Zaman sekarang lawak tak berzat mengalahkan rakyat Afrika yang tak cukup makan. Ok. Yang ni kita cerita lain kali. Aku dulu memang tidak dinafikan antara pengguna tegar telefon awam. Pelbagai teknik diaplikasi untuk menjimatkan penggunaan duit syiling seperti menebuk duit lima kupang dan meleperkan duit syiling dua kupang supaya jadi macam lima kupang maka dapat bergayut lebih lama. Hahaha.

Ketika belajar di UIA aku masih lagi meneruskan penggunaan telefon awam secara istiqamah. Hendak dijadikan cerita di samping memanjangkan entri, orang Telekom datang pasang telefon baru dalam asrama Kolej Aisyah. Kehandalan aku dan rakan-rakan menjimatkan penggunaan duit syiling berjaya dengan memasukkan syiling lima kupang dan tekan 994 nombor yang sangat akrab dengan abang-abang BOMBA seketika dulu. Bila operator abang-abang BOMBA dah jawab (cewah, nak abang-abang saja padahal kakak bomba pun ada) dan tekan # dan masukkan desired nombor dan teruslah berbual sampai pengsan dengan nilai lima kupang tadi. Ada juga yang extreme sampai bawa bantal selimut tilam toto segala berkhemah tepi public phone baru semata-mata nak bergayut dengan pakwe -____-

Tiba-tiba aku rasa macam dah terbabas topik entri aku. Sebenarnya yang aku nak sampaikan budak zaman sekarang kalau belajar mesti nak ada handphone. Tak ada handphone tak boleh belajar dengan aman. Ada juga yang menggunakan teknik mengugut kepada emak dan ayah demi mendapatkan handphone padahal tak sedar boleh jadi anak derhaka masuk neraka (rhyme).


4) Duit makan yang murah
Ap itu duit makan? Hanya yang duduk asrama sahaja tahu istilah duit makan yakni merujuk kepada duit bayaran dewan makan. Tahukah para pelajar hari ini duit makan zaman aku dan kakak aku cuma satu ringgit sehari. Ya, satu ringgit sahaja dan makan masih lima kali yang mana kelima-limanya aku jarang sekali tak makan sebab semuanya sedap belaka walaupun sekadar minum milo dan dorayaki. Budak-budak sekarang kalau himpun gaji mak ayah bawah lima ribu maka sehari tiga ringgit. Kalau lebih sehari lima ringgit. Ya kah? Aku pun tak berapa ingat sangat. Jangan keliru dengan wajah aku yang nampak seperti remaja sekolah sedangkan hakikatnya tahun depan dah three series. Kahkahkah.

Memandangkan aku tinggal di asrama makanya aku antara pelajar yang jarang makan di kantin. Makan di kantin bila lapar tahap dewa atau hujung minggu Bini Ustaz tak datang makanya tak ada menu enak dari rumah untuk anak yang jauh (lah sangat) di asrama. Kalau seminggu mungkin purata aku belanja sekitar sepuluh ringgit sahaja. Kalau budak zaman sekarang jangan ceritalah bab duit. Budak Kuala Pegang pun ada yang satu hari bawa lima ringgit datang dan balik sekolah dijemput bapa yang kerjanya menoreh getah dan adik-beradik semuanya lapan orang.



5) Aktiviti Kokurikulum yang tak memenatkan
Untungnya zaman aku belajar dulu kokurikulum ni bukanlah antara perkara utama yang dibebelkan oleh cikgu-cikgu secara istiqamah. Aku dulu zaman sekolah sumpahlah tak ada masuk apa-apa aktiviti kokurikulum yang dapat menyerlahkan diri sehingga ke peringkat zon, daerah dan negeri bagai. Nak masuk sukan aku setakat tahu berlari sahaja. Perkara-perkara melibatkan bola memanglah aku penakut dan belum diajak bermain aku dah angkat bendera putih. Walaupun boleh berlari tak adalah sangat handal dan berada di dalam daerah Baling apabila bertemu dengan pelajar-pelajar yang warnanya memang bukan kategori cerah dan banyaknya berasal dari Kuala Ketil, sumpahlah aku tak boleh menang kerana mereka sangat handal bab-bab berlari ni.

Badan Uniform pun tak aktif juga. Yang paling aku rasa lucu sekali zaman aku belajar boleh suka-suka tukar badan uniform. Agak dah bosan dalam Puteri Islam tahun berikutnya masuk pula Kadet Bomba. Agak Kadet Bomba macam hampeh boleh turut serta tepuk-tepuk Pengakap tahun berikutnya. Hahaha. Ya, aku tahu tak lawak mana pun. Jadi tak payah nak pura-pura gelak atau senyum perli depan screen laptop atau PC anda. La ikra hafiddin (selingan).

Tapi kalau dapat join Kadet Remaja Sekolah memang andalah yang paling aktif. Cikgu Nik Amli yang juga mengajar Bahasa Melayu dan Geografi sangat aktif buat aktiviti itu ini masuk hutan camping bagai. Aku pun mula-mula semangat berkobar-kobar nak masuk tapi rupanya sebelum masuk nak measure ketinggian dulu. Sengaja la tu nak menyindir aku ke apa tak tau maka tanpa menghadiri sesi mengukur ketinggian aku mengundur dari dan simbah air ke atas semangat yang berkobar-kobar itu. Sobs. Budak zaman sekarang jangan ceritalah. Kalau tak aktif nak masuk maktab pun belum tentu walaupun ada 6A di tangan. Kadang-kadang berebut-rebut nak masuk aktiviti dan pertandingan. Tak cukup lagi sukan pun hendak dicekau dan sudah pasti terselit pelajar-pelajar yang mengamalkan prinsip lupa kawan demi meraih markah kokurikulum. 



Makanya apabila dibandingkan dengan aku memanglah sangat bersyukur kerana tak perlu berebut-rebut ataupun inter-frame demi kokurikulum. Cikgu pula yang kena pujuk-pujuk suruh masuk itu ini sebab biasanya budak yang sama juga masuk aktiviti-aktiviti yang ada. Tapi aku tak nafikanlah kalau yang aktif kokurikulum zaman aku memang ada advantage dibandingkan dengan aku yang hidup segan mati tak mau kalau suruh berkokurikulum. Kena juga sebut benda ni nanti ada pula yang bantai aku sampai buat page Kami Benci Tecer Widad. Kahkahkah. Bajet retis konon glamer padahal diri sendu macam blog sendiri.





Zaman aku belajar di sekolah menengah dan sekolah rendah memang awesome. Tak ada pressure (sangat) berbanding budak zaman sekarang yang kecil-kecil dah kena attend extra class belum campur dengan parents kaya raya panggil tutor datang ajar anak kat rumah. Aku dulu petang-petang sekadar pi kelas mengaji dan petang-petang boleh kayuh basikal keliling kampung atau main rounders dan masak-masak dengan kanak-kanak Taman Baiduri dan Taman Sepakat. Kadang-kadang kalau Ustaz tak ada dan Bini Ustaz di rumah pula mood baik maka boleh mandi sungai bersama sepupu-sepupu atau sesiapa sahaja yang tiba-tiba mandi di port yang sama. Walaupun aku dulu belajar tak pandai mana tapi aku rasa aku boleh dikatakan yang boleh berdikari walaupun umur baru sekolah menengah dan fizikal serta wajah macam sekolah rendah. Kehkehkeh. Aku dulu reti pos surat. Aku dulu reti beratur dan masukkan duit di bank. Aku dulu reti isi borang sendiri tak harap Ustaz atau Bini Ustaz. Habis-habis bebal sangat aku tak reti aku tanya kakak-kakak aku. Budak zaman sekarang walaupun pakai handphone canggih dari aku, tapi dah umur 17 tak reti nak kirim surat. Pigidah. Konon teknologi sangat la tu email dengan Facebook bagai. Eh eh, teremo pula. Hihihi.



Sebelum aku teremo lagi, senang cerita aku memang bersyukur aku lahir 1983 dan tamat sekolah tahun 2000. My school days are going to be legend, wait for it... dary. LEGENDARY!


















Tuesday, March 13, 2012

Kisah budak-budak kelas belakang



Sekali sekala hapdet tentang sekolah, kisah kelas belakang selalu ada terselit. Ada yang macam tak percaya, sungguhkah budak kelas belakang di sekolah harian tempat aku mengajar gitu sekali gayanya. Layan bukti sekejap.



Memandangkan aku sendiri otak tepu tak tau nak hapdet apa, maka boleh juga aku berkongsi-kisah-kisah yang aku alami sendiri tanpa ada unsur fitnah mahupun kejian atau cemuhan.



1) Tak aptudet
Mereka tak aptudet dengan branded stuff.  Tak perlulah aku nak ulang cerita. nanti nampak sangat aku ni otak tepu tak ada idea nak hapdet sampai ulang cerita-cerita lama dan sanggup pula taip dua kali.




2) Biodata
Ada satu ketika aku masuk kelas nak mintak biodata mereka. Belum habis explain dah tanya biodata tu apa. *___*. Lepas dah habis explain semua pakat kalut cari kertas. Ada sorang budak lelaki duduk tepi tingkap badan bulat-bulat tak buat apa. Dah la pesen mata kuyu memang mengundang kesian. Maka aku terus pi dekat dia, tanya,

'Ni pasaipa tak buat apa ni?'

Diam. Muka macam nak menangis.

'Awat ni? Kalau tak habaq macam mana saya nak tolong?'

'Saya tak tau nama mak saya...' teruih ayaq mata dia berlenang. Aku pun cuak jugak tapi tetap nak tanya.

'Pasaipa tak tau nama mak? Mak ada dak gi?'

'Mak ada.'

'Dah tu?'

'Chek tak dok ngan mak' teruuih dia bahasa diri dia Chek. Chek tu maksudnya saya.

'Mak pi mana?'

'Mak duk kat Nibong Tebal.' Dalam ayaq mata duk bercambah keluaq gagah dia jawab soalan aku.

'Mak tak balik ka mai tengok?'

'Dakkkkk' lagi laju ayaq mata dia turun sampai aku pun dah takmau tanya apa dah. Kawan-kawan yang kenal dia bagitau dia duduk dengan tokwan. Memang tak pernah jumpa mak dia. Tapi dia tau mak dia da lagi. Tiba-tiba aku rasa syahdu. Sungguh kesian. Wei mak, baliklah tengok anak ni. Dah reti beranak retilah jugak bagi kasih sayang. Anak dah besar godang umur 13 takkan tak mau mai tengok langsung.




3) Nombor oh nombor
Awal bulan tiga PK HEM mintak aku isi buku daftar enrolmen pelajar baru. Dah pegang kelas form 1, sumpahlah semua budak dalam kelas tu budak baru. Dalam aku semangat nak isi, ada pulak yang tak bagi nombor ic (rhyme). Terus aku angkut buku pi kelas niat nak tanya dengan harapan budak tu boleh bagi terus nombor ic secara live.

'Tecer, saya tak ingat nombor kad pengenalan'

Aduhailahnya. Nombor ic sendiri pun tak ingat. Terus aku suruh dia pi telefon rumah, minta nombor ic. Siap aku pesan, suruh bawa pen dan kertas. Tak suruh, tak dibawanya. Tapi, budak tu buat aku sedih dua kali;

'Tecer, nombor tepon mak saya pun saya tak ingat'

*Nak kata apa??????*



4) Nama
Kelas belakang yang aku pegang ni ada 30 orang. Dalam tiga puluh orang tu aku perasan ada sorang budak laki yang kalau aku tengok buku, kertas jawapan dia cuma tulis Sharul. Nama diberi Muhamad Sharul Niezam bin Zakaria. Sekali sekala kalau aku teringat aku pesan suruh tulis nama penuh tapi Sharul tetap dengan nama pendek dia saja. Sebab aku tak berapa puas hati aku panggil dia tanya kenapa tak tulis nama penuh,

'Saya tak reti eja cikgu. Sharul tu pun puaih saya hapai'


*Nak kata apa??????*






Setakat 8 bulan aku di sini, ini adalah antara perkara-perkara yang sungguh-aku-tak-boleh-lupa. Pernah jugak aku tanya apa tema kemerdekaan. Dia boleh jawab peperangan! Mungkin dia ingat dia duduk di Palestine. Sungguhpun budak-budak ni tak cerdik, aku tak pernah kata mereka bodoh. Habis marah pun aku kata 'tak cerdik'. Aku jaga mulut aku dari kata mereka bodoh sebab aku percaya pada karma. Ini aku dengar ada guru yang mengajar di SBP sambil turun tingkap marah budak-budak dan dipanggilnya lembu. Tak kisahlah bagaimana salahpun manusia, janganlah nak samakan dengan binatang. Janganlah dipanggil bodoh atau bahlul atau apa saja yang sewaktu dengannya. Kalau satu hari ini pelajar dah besar panjang, berselisih tepi jalan tapi tak tegur anda, mungkin silapnya datang dari anda sendiri.






Entri paling berguna


Assalamualaikum.
Salam sejahtera.
Salam perpaduan.


Menaipnya aku di sini adalah tak lain tak bukan untuk mengemaskini blog sendiri yang sekian lama terabai. Sila jangan nilai mengatakan aku tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan blog sendiri. Berblog itu bukan fardhu ain. Maka tak salah kalau aku abaikannya. Dosa pun tidak (aku harap).


Sebelum aku meneruskan ke pokok pangkal isi cerita, haruslah aku cerita kenapa aku jarang menghapdet blog. Bagi yang tidak berminat, boleh terus langkau ke perenggan yang bermula dengan huruf M. Dewasa ini beban seorang guru sudah tidak sama seperti guru zaman mak-mak ayah-ayah kita. Maka sungguh aku rasa terbeban sehingga mengajar pun dah jadi perkara kedua. Boleh kata hari-hari ada saja kerja pengkeranian yang cikgu kena buat yang secara tidak langsung merencatkan kerajinan aku menghapdet blog. Lelaki beriman, kaya dan bujang sila masuk meminang dan arahkan aku berhenti kerja kerana sesungguhnya kalau boleh bermalas-malasan di rumah sungguh bagai di syurga dunia. Lelaki tak handsome pun tak pa. Tak handsome, boleh tutup lampu.


Tahukah sekarang attendance perlu diregisterkan secara on-line. Dapat pula kelas belakang yang nombor ic sendiri pun tak ingat. Kelas yang depan-depan boleh mintak ketua kelas tolong hantar ke pejabat. Kelas aku pula dalam seminggu ada juga lambat sekali dua kes ketua kelas tak datang atau terlupa. Alasan terlupa tu kadang-kadang buat aku nak mencarut secara live tetapi kerana mengamalkan nilai-nilai murni, sabar diletakkan di hadapan. Lagipun anak ustaz. Walaupun iman tak dapat diwarisi, harus juga berusaha meningkatkan iman (tazkirah diri sendiri). Aku pun tak faham macam mana boleh terlupa sedangkan hari-hari dia kena buat. Mungkin lepas ni kena suruh amalkan diet ikan. Barulah al-'aqlul salim fil jismi salim.


Tak cukup dengan attendance, keputusan periksa ujian bagai kena online jugak. Online yang sekolah satu hal, yang KPM satu hal. Dah jadi dua hal kat situ. Paling nak mencarut bila kita dah update datang pula es you peperiksaan kata kita tak hapdet lagi. Pun kena sabar lagi dan online lagi sekali dan hapdet satu-satu. Katanya sekarang ni kementerian dalam percubaan nak adakan jawatan pembantu guru. Ada dua tiga sekolah (bukan di dalam daerah aku) dah dapat. Tapi bertambah sakit hati bila pembantu guru diletakkan di pejabat. Ewah ewah. Tak cukupkah kerani lima orang yang ada pembantu guru pun nak dicekau. Takpa, kat akhirat nanti, sila jawab dengan Tuhan. Sekian.


Makanya apabila asyik kena sabar-sabar, balik rumah terus otak jammed. Nak buat buat pun tak lalu. Buku budak pun selalu miss nak tanda. Cara nak hilangkan stress haruslah tidur dengan nyenyak tanpa gangguan. Kalau datang angin rajin, buka blog dan tekan new post. Duduk khayal dalam lima minit, tak dapat idea. Sungguh otak dah tepu.


Tapi hari ini sungguh berkobar-kobar. Matlamat nak hasilkan entri paling berguna. Jadinya ada idea dak nak suruh aku hapdet pasal apa?






p.s. Aku harap entri ni cukup berguna. Kalau tak berguna untuk anda, biarlah berguna untuk aku.







Tuesday, March 6, 2012

Mangsa melucah



'Diriku telah ternoda....'




...blog aku mengadu hiba. Sobs.





Kenapa carian lucah begini sampai ke blog aku? Sudahlah description diriku anak ustaz yang imannya tak dapat diwarisi. Dan tiba-tiba terasa sungguh keji kerana carian lucah begini muncul secara istiqamah.








Kenapakah harus melucah di blog aku? Haruskah aku mencarut kepada anda? Dan tahukah anda aku mempunyai kebolehan mencarut secara berjemaah?







Okay, tang phrase awek ketiak bersih tu mungkin tak berapa lucah tapi yang kantoi gay raba kawan asrama tu haruslah aku belasah macam cerita Dabangg. Apa yang tak senonoh sangat ni? Marah tau dak?! Marah nih.







Yang ni paling horror sebab nak mengandungkan bini kawan. Mengandungkan bini sendiri tak cukup gamaknya sampai bini kawan pun nak sapu jugak. Tapi setahu aku tak ada pulak aku buat entri kisah laki bini memandangkan status aku yang bujang.















Pesanan penaja dari anak-ustaz-sekolah-agama-iman-tak-dapat diwarisi, ayuh sembahyang taubat secara berjemaah kerana telah membaca entri berbaur lucah aras dua. 



Wednesday, February 29, 2012

Orang Kedah 'suci' belaka








Memang pesen orang Kedah cakap suka sebut tobat. 



Makanya orang Kedah ni memang suci belaka sebab asal cakap ja sebut tobat. 




Tak buat salah pun duk tobat jugak




'Tobat aih aku tak buat'





Duk tobat sedia.






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...