Monday, January 23, 2012

Tanda-tanda manusia nak jadi tuhan


Amacam tajuk? Biasalah. Semenjak berkawan dengan retis tajuk mesti gempak. Saja kadang-kadang nak juga rasa perasaan retis-retis yang selalu keluarkan statement kontroversi walaupun tiap-tiap minggu dinasihatkan untuk meningkatkan prestasi dan kurangkan kontroversi.


Dan semenjak dua menjak ni memandangkan sungguh banyak cuti umum, cuti peristiwa dan cuti berganti, aku meluangkan masa dengan bersosial tanpa melupakan Tuhan Yang Esa. Oh, jangan salah faham aku tidaklah bersosial dengan keluar berjimba bersama rakan tetapi aku bersosial secara maya. Ya, melalui dunia siber aku bersosial dari satu website ke satu website seperti zaman kanak-kanak kurang rasa malu dan berjalan ke rumah makcik pakcik di kampung padahal haram tak kenal demi mendapatkan duit raya walaupun sekupang.  Bersosial begini tidak perlu nak hello atau roger kata nak datang. Masuk saja tak beri salam pun tak apa. Kalau bagi salam nanti orang kata kau gila tiba-tiba depan notebook bagi salam gaya biasa orang Melayu. Okay, aku pun tak faham apa yang aku duk mengarut tang ni. Tak ada kaitan pun padahalnya. Bahasa mudahnya, bila berblog walking baru nampak ramai rupanya yang nak jadi tuhan. Dan bila kita bersembang dengan kawan-kawan atau yang kita tak berapa nak kawan pun, ramai juga nak jadi tuhan rupanya.



1) Ini dialog kawan aku yang nak jadi tuhan.
"Widad, hang bila lagi nak kahwin? Hang jangan memilih sangat. 
Esok-esok hang sampai tua tak menikah. Jadi anak dara tua duk sorang-sorang."

Wahhh. Hebat hang Tipah. Nampak tak ciri-ciri tuhan di situ. Boleh tahu apa akan jadi kalau aku tak menikah. Oh, please-lah kawan-kawanku dan mereka yang aku tak berapa kawan sekalian. Jodoh itu urusan Tuhan, urusan Allah. Makanya tak perlulah anda nak melawan kekuasaanNya dengan mempersoalkan perkara-perkara begini kerana apabila anda mempersoalkan perkara-perkara berkaitan jodoh, itu tanda anda nak jadi tuhan. Aku antara manusia yang paling tak gemar membincangkan bab-bab kahwin. Apa anda fikir aku tak ada perasaan nak kahwin? Aku ada perasaan nak kahwin, cuma buat masa ni aku tak anggap kahwin adalah satu priority. Bagi yang dah berkahwin terutama yang perempuan jangan nak sibuk hal aku yang bujang. Jaga suami anda masing-masing. Aku bukan nak jadi tuhan, tapi sila sedar, suami anda bukan hak milik kekal atau free hold. Sila sentap dengan statement aku. Sekian.



2) Tanda-tanda manusia nak jadi tuhan juga boleh dilihat melalui polisi-polisi yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan jawatan. Sebagai contoh, Petronas. Melalui apa yang diberitahu, Petronas tidak membenarkan perkahwinan sesama staff Petronas. Huiii, ini namanya nak menidakkan kuasa tuhan. Dan bila menidakkan kuasa tuhan, itu tandanya nak jadi tuhan. Ini pun berkaitan jodoh. Dah kalau jodohnya dengan orang di sekelilingnya, siapa kita nak menolak atau melawan takdir. Kononnya sebab mahu kekayaan dikongsi bersama. Dah kalau nak kongsi sangat, pada aku mungkin lebih afdhal dijadikan wang saku kepada pelajar-pelajar universiti melalui memberian zakat. Kan molek gitu? Eceh



3) Aku selalu juga blog walking di blog-blog yang bloggernya menunjukkan ciri-ciri mahu menjadi peserta imam muda. Selalu up entri-entri berunsurkan keagamaan yang kalau sekali dua aku baca, wah kalau aku ada anak mungkin aku booking buat menantu. Tapi bila lama-lama baca, hui jangan kata imam muda, rancangan makmum muda pun boleh jadi tersingkir di minggu pertama. Sebagai contoh, sekarang ni dah ramai retis-retis dah berubah ke arah kebaikkan. Dah pakai tudung, dah tutup aurat. Tapi tiba-tiba boleh pula si blogger ini buat entri akak retis akan terus tanggung dosa selagi gambar-gambar atau filem yang dia tak tutup aurat ditayangkan kepada umum. Wah wah wah, tuhannya hang nih. Dosa pahala urusan Allah. Makanya siapalah kita untuk judge perkara-perkara begini. Adalah lebih afdhal kita mendoakan semoga akak retis istiqamah dalam menutup aurat dari sibuk membincangkan dosa pahala akak retis sedangkan kita sendiri pun belum tahu nasib di akhirat.



4) Selain menunjukkan ciri-ciri mahu menjadi tuhan, ada juga yang jenis yang suka bersangka buruk dengan tuhan. Ciri-ciri manusia yang bersangka buruk dengan tuhan adalah melalui tutur kata yang kalau kita dengar mungkin biasa saja tapi bila fikir dengan mendalam berbekalkan ilmu agama yang dipelajari melalui kelas Kafa, kelas fardhu ain dan ceramah-ceramah yang tak ada permit mungkin kita sedar mereka ini bukan sahaja bersangka buruk dengan manusia, dengan tuhan pun nak bersangka buruk. Sebelum ada yang tak faham, haruslah aku sebagai anak ustaz yang imannya tak dapat diwarisi memberi contoh agar dapat menjana pemikiran yang cerdas di samping mengamalkan pengambilan omega di dalam diet seharian. Berbalik kepada contoh mereka yang bersangka buruk adalah melalui kata-kata 'Aku ni semayang tunggang terbalik tak tau la Allah terima ka dak'. Ya hadirin hadirat yang dirahmati Allah, kata-kata begini menunjukkan anda bersangka buruk denganNya. Adalah lebih mulia kita mendoakan amalan kita diterima dan menjauhi sikap bersangka buruk dengan Yang Esa.



I don't know how should I end my entry. Afterall writing a conclusion is when you have got tired of thinking. Hahaha. Few people been asking aku ni nak jadi retis ka? Oh my, why should I opt to be a celebrity? Celebrity is a person who works hard all his life to become well known,, then wears dark glasses to avoid being recognised. LOL. Apakah? Closure yang takdak kena mengena dengan tajuk entri? All is said and done, so stop being judgemental guys because in a way sometimes, whether you realise it or not, it seems some of you tend to overpower and overshadow His power.








Tuesday, January 17, 2012

Diari seorang guru



Tet. Tenenenet. Tenenenenet. Pap!
Tu bunyi jam. Biasa la, zaman sekarang. Kunci jam pakai handphone. Bini Ustaz yang konon dulu tak reti pasal handphone pun dah terer kunci jam pakai handphone. Hari sekolah bangun pukul 6.15 pagi. Dalam kepala memang duk terbayang alangkah bestnya kalau cuti. Boleh sambung tidoq. Ok, selimut babi. Geli. Bangun sikat rambut dan terus semangat sembahyang subuh. Sembahyang subuh saja la semangat. Tang nak pi sekolah tu, tak dak lagi semangat.

6.30 pagi
Mandi. Sambil mandi pikiaq hari ni nak mengajaq apa. Lepas tu pikiaq sama nak beli nasi lemak dak sebab lauk kantin selalu tak best.


6.55 pagi
Dah siap pakai baju tudung bagai. Aku bersiap tak lama. Tak dak sapu blusher, eye shadow bagai. Cukup takat sapu bedak johnson baby sebab aku jenis confident. Aku cukup cantik dah. Kahkahkah. Sebelum pi sekolah salam dengan Bini Ustaz dulu :')


7.05 pagi
Singgah beli nasi lemak. Muka mesti garang time beli nasi lemak supaya tak dak sapa nak beramah mesra time aku kalut nak pi sekolah.


7.30 pagi
Sampai sekolah. Duduk-duduk. Buat  lesson plan. Jadual yang bahagia sebab tak dak kelas pagi buta. Dah siap RPH bergosip bersama rakan tercinta. Hahaha. Ala, gosip murahan ja. Perangai budak-budak dalam kelas, perangai anak di rumah. Ni biasa geng-geng yang dah jadi mak. Aku yang bujang tadah telinga dan ambil pedoman >__<


8.30 pagi
Makan di kantin. Wajib order teh o panas nipis. Perut dah gembira baru boleh mengajar dengan semangat. Oh ya, sesi makan-makan sudah pasti ada unsur gosip kecil-kecilan. Tapi masih gosip-gosip ringan.


9.00 - 1.20 tengah hari *nampak sangat dah malas nak taip*
Dipenuhi dengan sesi mengajar secara berkobar ibarat panglima perang yang sedang berjihad. Bukan panglima perang yang suka-suka hati nak ludah muka orang. Kahkahkah. Kalau ada waktu senggang, tulis reflection siap-siap dan buat lesson plan untuk esok dan hari-hari berikutnya. Sambil menulis, sambil langgah ayaq masak. Oh ya, sebagai seorang yang mementingkan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, setiap hari membawa air kosong 1.5 liter dan habis diminum sebelum jam 2.00 petang *patutlah aku sentiasa cantik menawan. Kahkahkah*


2.20 petang
Pukul 1.20 petang dah boleh balik tapi kadang-kadang terlajak duk kat sekolah lama sangat sebab bersembang dengan rakan-rakan tercinta. Bersembang dan bergosip sambil makan kerepek atau apa-apa yang ada di meja. Oh ya lagi sekali. Sekolah ni tak dak orang duk gosip pasal cikgu tu, pasal cikgu ni. Tak dak cikgu nak mengata budak tu jahat, budak tu teruk. Habis-habis pun cuma kata budak buat perangai. Bahagia sungguh dapat team cikgu macam ni :') Dah balik rumah sembahyang zohor dan tidoq. Letih pompang pompang kat sekolah so dah balik rumah is recovery time. Recovery lah sangatttt. Pui


3.15 petang
Tidoq tak lama. Dalam setengah jam sudah. Makan nasi. Bahagia yang seterusnya bila dah balik Bini Ustaz dah masak :') Makan sambil tengok tv dan sembang dengan Bini Ustaz. Tak lupa diselitkan unsur pujian terhadap masakan yang dihidang supaya Bini Ustaz lebih bersemangat untuk masak pada hari-hari berikutnya.


4.30 petang
Tengok tv sambil mentekedarah kerepek pisang. Kaki bersilang letak atas meja.


5.15 petang
Dah sembahyang asar, keluar jogging. Kata amalkan gaya hidup yang sihat. Kahkahkah. Tapi memang aku jogging petang-petang. Kalau hujan saja aku duk terperap dalam rumah sambil online. Kalau agak nak gedik, aku aerobic lagu Waka Waka. Perasan seksi masa tu. Tak pa la. Aku buat kat rumah sorang-sorang dalam bilik. Tak dak sapa nampak. Allah nampak pun dia tak marah sebab aku tak gedik depan jantan.


6.57 petang
Dah siap mandi. Layan Akasia tv3. Sambil tengok tv, minum milo panas. Kalau aku berasa perut buat perangai, aku makan siap-siap. Aku malam jarang makan. Jadinya takut malam-malam nak tidoq menggigil satu badan, sebelum pukul lapan aku minum atau makan benda yang tak daklah berat sangat.


8.02 malam
Sembahyang maghrib. Kalau rajin baca Quran. Kalau malas lipat baju. Kalau malas malas, duk saja atas katil belek kuku sambil berangan. Agak dah masuk waktu isyak, terus sembahyang.


9.01 malam
Mengadap laptop. Sambil buat kerja online update blog dan melawat kawasan. Macam wakil rakyat dak? Ok, dak. Melawat kawasan tu maksudnya melawat blog-blog yang berkenan di hati. Kadang-kadang time ni jugak Bini Ustaz naik atas masuk bilik mintak tolong taip surat, buat minit mesyuarat bagai. Aku setiausaha kehormat Bini Ustaz. Untung ada anak macam aku. Walaupun tak berapa nak solehah tapi mudah minta tolong. Biasa la, aku memang suka puji diri sendiri. Hihihi


10.37 malam
Masuk tempat syaiton. Gosok gigi, cuci muka dan cepat-cepat keluaq. Tempat syaiton tak elok duk lama-lama *tazkirah selingan*. Kemas beg nak pi sekolah. Susun netbook, pencil case molek-molek macam tuan dia. Bersedia untuk tidoq. Tapi hati tak berapa tenang jadinya biasa online barang 15 minit baru tutup lampu. Hahaha.


Biasanya aku tak tau aku tidoq pukul berapa. Tapi dalam pukul 11.00 lebih aku dah tutup lampu. Siap tau dia tidoq pukul berapa memang terer. Terer la sebab dah pejam mata pun tau pukul berapa. Hebak mung!



Inilah yang aku lalui setiap kali hari persekolahan. Nampak macam bosan tapi sangat awesome sebenaqnya. Hahaha. Memang aku selalu tak bersemangat nak pi sekolah. Tapi bila dah pi sekolah, bersemangat mengajar sampai lajak ambil waktu orang. Tapi kadang-kadang saja la aku terlajak. Bila dah berjumpa kawan, balik rumah lambat sikit pun tak pa. Tambah-tambah dapat kawan yang bukan jenis bermuka-muka dan tak mengata :')

Bermuka-muka? Ala, bermuka-muka yang depan kita ajak makan sekali, ajak bersembang, mai mintak tolong buat dokumentasi tapi kemudiannya cakap yang bukan-bukan pasai kita. Adaaa, sapa kata tak dak manusia macam ni di kalangan cikgu? Cikgu bukannya nabiiii. Eh eh, ni awat tetiba jadi emosi nih. Oh, tetiba Aunty Flow mai melawat. Esok boleh mangkit lambat sikit.







Monday, January 16, 2012

Benarkah Nabi Muhammad buta huruf?


Aku dilahirkan di dalam keluarga yang sangat pentingkan pendidikan agama. Dari kecik sampai dah besar tak berapa nak besar, sepasang telinga aku memang banyak diperdengarkan dengan bahan-bahan berasaskan agama. Kecik-kecik dulu masa naik kereta dengan Ustaz, mesti pasang orang mengaji atau pun ceramah-ceramah agama. Dan aku dan adik-beradik yang lain diam tak berkutik dan redha sahaja dengar apa yang Ustaz pasang dalam kereta. Kalau Ustaz pasang lagu pun, lagu-lagu Umm Kulthum, penyanyi Egypt yang jujurnya aku tak tau tang mana yang sedap sangat suara dia. Mungkin sebab masa tu aku kecik lagi. Tak reti nak feeling menghayati bagai.

Agak dah besar sikit, bila naik kereta kakak aku baru reti nak dengar siaran radio lagu omputeh, melayu bagai.  Dan masa tu pun Ustaz dah tua dan kesedaran aku terhadap sirah nabi sangatlah rendah maka tak ada pula aku bertanya kepada beliau. Sobs.



Kenapa tiba-tiba aku rasa intro aku sungguh tak ada kaitan dengan tajuk entri. Tak apalah. Abaikan saja. Yang penting, dulu-dulu masa Ustaz masih belum arwah aku tak terfikir nak tanya. Bila dah besar, banyak membaca, dah pandai otak bergeliga baru terfikir nak tanya tapi aku tak pernah dapat jawapan. Aku juga pernah tanya kepada beberapa ustaz di sekolah lama aku dulu tapi tak ada jawapan. Cakap pusing sana sini tapi tetap tak menjawab soalan.

Sejak dari kecil aku disogokkan dengan cerita Nabi Muhammad seorang yang buta huruf. Baginda tak pandai membaca dan dalilnya adalah berdasarkan peristiwa ketika Jibril datang menyampaikan wahyu.

Pada aku, adalah sesuatu yang tidak logik sekiranyanya dikatakan Nabi Muhammad tidak pandai membaca. Berdasarkan apa yang ustaz ustazah cerita dalam kelas, Nabi Muhammad dijaga oleh bapa saudaranya Abu Talib selepas kematian datuknya Abdul Mutalib.

Abu Talib merupakan seorang saudagar yang kaya raya, sangat dihormati dan datang dari susur galur bangsawan. Oleh yang demikian pada aku adalah mustahil seorang pakcik yang kaya raya dan dihormati tidak memberi pendidikan asas kepada anak saudaranya yakni Nabi Muhammad. Melainkan Nabi Muhammad dibenci oleh bapa saudaranya maka logik sekiranya baginda tidak menerima sebarang pelajaran. Tetapi berdasarkan sirah, baginda sangat disayangi oleh bapa saudaranya dan daripada bapa saudaranya, baginda mewarisi kepandaian berniaga.

Apabila menginjak dewasa, Nabi Muhammad dikenali sebagai seorang yang bijak berniaga. Makanya pada aku, seandainya seseorang itu bijak berniaga, seperti agak bertentangan sekiranya dikatakan tidak pandai membaca atau buta huruf.

Selain itu, berdasarkan sirah nabi-nabi terdahulu, aku lihat Allah memilih para nabi dari kalangan yang hebat belaka. Kesemuanya menghampiri kesempurnaan dan aku juga percaya Nabi Muhammad seorang yang bijak pandai sehingga diangkat sebagai kekasih Allah. Dan kerana aku percaya baginda seorang yang bijak pandai, aku juga percaya baginda boleh membaca dan tidak buta huruf.

Ketika aku belajar di universiti, seorang pensyarah aku yang bukan berasal dari Malaysia tidak pernah menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang buta huruf. Sebenarnya, bila aku recall balik lecture Dr Usman ni yang menyebabkan aku terfikir - benarkah Nabi Muhammad buta huruf?

Sekiranya dikaitkan dengan peristiwa penerimaan wahyu yang pertama di mana Jibril meminta baginda membaca, pada aku Nabi Muhammad tidak dapat membaca kerana baginda perlu membaca dengan menyebut nama tuhan, yakni Allah. Aku sebenarnya tak berapa reti nak explain bab ini. Tapi, dalam bahasa mudahnya, ia merupakan kali pertama Nabi Muhammad menerima wahyu, kali pertama untuk baginda memperakui keesaan Allah maka sudah pasti ia sesuatu perkara yang berat diibaratkan sebagai transition dan intermission di dalam kehidupan baginda. Faham dak? Kalau tak faham lain kali aku cerita lagi.

Aku menimbulkan persoalan ini bukan kerana terpengaruh dakyah agama lain tetapi aku cuma nakkan kepastian. Sebabnya selama aku belajar ni, dah terlalu banyak benda yang kita tak berapa nak betul. Aku ulang, tak berapa nak betul, bukannya totally wrong. Contohnya rukun Islam. Dari kecik aku belajaq yang pertama mengucap syahadah, kedua menunaikan solat, ketiga berpuasa, keempat mengeluarkan zakat dan kelima menunaikan haji.

Tapi dah masuk universiti, lecturer aku ajaq - pertama kedua sama. Ketiga mengeluarkan zakat dan keempat berpuasa dan kelima menunaikan haji. Bila aku fikir balik yang lecturer aku ajaq lagi betoi sebab dalam Al-Quran ayat waaqimussolah dikembarkan dengan watu'tizzakat. Tak pula berkembar dengan suruhan berpuasa. Kan?

Nama-nama isteri nabi pun macam tu jugak. Ustaz ustazah aku semua kata ada Siti kat depan padahal tak ada pun. Pendek kata sebab tu aku tak berapa percaya kalau dikatakan Nabi Muhammad seorang yang buta huruf melainkan ada dalil atau peristiwa, atau apa-apa sahaja yang boleh menyokongnya.


Tolong betulkan aku kalau aku salah. 
Aku kan anak ustaz yang sekolah agama tetapi iman tak dapat diwarisi -____-




Update: Terima kasih atas komen anda :')










Friday, January 13, 2012

Tanda-tanda seorang pelajar nak jadi pengawas



Sebagai seorang rakyat Malaysia yang boleh tahanlah tahap cintakan negaranya, aku menghabiskan sesi persekolahan aku secara total di bumi Malaysia. Tambahan pula aku mempunyai perut yang sangat kasihkan nasi berbanding makanan-makanan lain maka memilih untuk berada di Malaysia adalah lebih afdhal. Bukanlah aku ingin katakan tempat lain tak ada nasi, tetapi harganya mungkin lebih mahal. Ahhh cakap banyak pun tak guna sebab aku sebenarnya bukan ada banyak duit nak berhijrah negara lain. Kahkahkah.
ihsan kekasih gelap


Oleh yang demikian sudah pasti sudah pasti aku cukup arif dengan setiap entiti yang terdapat di sekolah bermula dari peringkat tertinggi sehinggalah entiti-entiti di kalangan pelajar. Tambahan pula sehingga hari ini hidup aku masih lagi bergelumang dengan entiti-entiti begini maka sekaligus menambahkan ilmu yang sedia ada dan secara tidak langsung telah merajinkan aku untuk membuat satu kajian tentang satu entiti yang sangat popular tetapi tidak begitu disukai yakni pengawas. Hahahaha.

Kali ini aku telah membuat kajian tentang tanda-tanda seorang pelajar nak jadi pengawas. Kebiasaannya pengawas dilantik bukan dari kalangan tingkatan satu melainkan sekolah baru yang semua rakyatnya tingkatan satu belaka. Oleh yang demikian, tanda-tanda ini dapat dilihat ketika mereka di tingkatan satu di mana guru-guru akan mula melakukan pemerhatian untuk memilih para pengawas bagi sesi tahun berikutnya. Ayuh kita lihat dan baca secara senyap.



1) Pulun
Pulun adalah satu adjektif yang sangat berkait rapat dengan seorang pelajar yang mahu menjadi pengawas. Sikap pulun ini ditunjukkan apabila mereka bersama guru dan ini dilakukan untuk mendapat perhatian dari guru terbabit supaya sedar mereka sungguh bertanjak untuk dijadikan pengawas. Sebagai contoh, sewaktu sesi gotong-royong secara tiba-tiba mereka akan menunjukkan sikap rajin. Contoh mudah, kalau yang lelaki selama ni nak pegang penyapu ibarat perlu memegang najis mughalazah. Seboleh-bolehnya nak elak sebab rasa susah sangat nak samak.

Tetapi tatkala ternampak kelibat guru, sudah pasti batang penyapu bertukar menjadi sahabat akrab dan akan terus menyapu sambil mulut bising suruh orang lain tepi-tepi, nak sapu pun susah. Contoh lain, apabila guru meminta tolong sudah pasti diri tanpa sebarang paksaan mengangkat tangan. Padahal kalau kawan minta tolong biasanya pura-pura tak dengar. Kalau mak ayah yang minta tolong boleh jadi buat-buat tidur. Nampak tak kepulunan yang ditunjukkan di sini? Pulun yang maha pulun sehingga secara tidak langsung mendatangkan kejian dan umpatan dari rakan-rakan.



2) Jilat bontot
Ini adalah perbuatan yang tidak asing bagi pelajar-pelajar yang menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi pengawas. Memandangkan mereka hanyalah pelajar biasa, mereka akan jilat bontot mereka-mereka yang telah menjadi pengawas supaya selepas itu nama mereka meniti di bibir-bibir sang pengawas dan tidak mustahil memudahkan mereka untuk merealisasikan impian menjadi pengawas - jawatan yang menjadi dambaan dan akan bertukar menjadi dambaan pilu sekiranya impian tidak tertunai. Sobs.

Oh ya, jilat bontot di sini tidak dimaksudkan dalam konteks secara literal. Tetapi ia bermaksud seseorang yang mengikut sahaja arahan orang lain dan sanggup mengorbankan prinsip diri demi memperoleh habuan. Biasa boleh dilihat dalam sebuah parti politik yang sudah melebihi umur pencen itu. Hihihi.




3) Tukang kipas, tukang ampu, kaki bodek
Mereka yang menjadi tukang kipas dan tukang ampu memiliki kosa kata adjektif yang sangat luas terutamanya yang berbentuk positif dan acap kali digunakan secara istiqamah apabila berhadapan dengan mereka yang telah menjadi pengawas. Mereka akan memuji tanpa rasa letih. Melalui aktviti mengipas, mengampu dan membodek, ia dapat menjana kepopularitian positif di kalangan pengawas dan memudahkan mereka menempa nama di dalam organisasi pengawas. Selain itu ada juga sebilangan kecil yang sanggup menjadi pencacai untuk para pengawas. Suruh sahaja basuh baju, beli makanan, kemas katil, mereka tidak akan menganggap sebagai membuli, tetapi lebih kepada pertolongan yang terselit seribu makna.

Oleh yang demikian, kepada para pengawas adalah diharapkan anda tidak kelabu mata dengan pujian yang diberikan kerana tidak mustahil kebanyakkannya bermuka-muka. Boleh jadi juga ada yang mempunyai talam sepuluh muka maka adalah lebih afdhal anda tidak suggestkan nama mereka sebagai calon pengawas dan menganggap mereka menyokong anda melalui pujian yang diberikan.



4) Jadi spy
Menjadi spy boleh diibaratkan sebagai training untuk dijadikan pengawas di masa hadapan. Setiap perincian dimaklumkan dan ada juga yang jenis menokok tambah demi meraih pujian dan secara tidak langsung menjadikan impian menjadi lebih cerah dan mudah digapai. Mereka menjadi spy guru atau para pengawas. Melalui jawatan ini, sudah pasti ia menampakkan ciri-ciri mereka ini dipercayai oleh rakyat biasa tetapi dalam masa yang sama mereka akan berpaling tadah dari rakan-rakan seperjuangan yang bukan pengawas. Oh, agak keji mereka ini. Mungkin yang lebih afdhal menasihati rakan seperjuangan tetapi seandainya tidak diendahkan barulah dilaporkan.


5) Kaki mengadu
Ahhh di kalangan adik-beradik pun pasti ada seorang yang kaki mengadu. Sikit-sikit nak mengadu sehingga kita rasa macam nak terajang atau sekiranya mengadu secara berlebihan mahu sahaja disentet atau disimbah asid. Hahaha. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi pengawas. Mereka ada sikap suka mengadu walaupun perkara kecil atau boleh jadi juga bila dah jadi pengawas pun masih terbawa-bawa sikap kaki mengadu walaupun depan kita cakap settled. Pasti mengundang cacian melibatkan najis mughalazah yang juga tahun kelahiran aku mengikut zodiak kaum cina.

Bagi si kaki mengadu ni, ayat yang paling mesra di bibir mereka adalah nanti aku report kat prefect atau aku report kat cikgu kot atau yang lebih mesra di telinga aku adalah aku habaq kat pengawas satgi kot diikuti beberapa tanda seruan di hujungnya.




Ini merupakan tanda-tanda yang dapat dilihat oleh mata kasar aku. Aku pasti ada lagi beberapa tanda yang aku tak berapa perasan tetapi sebenarnya menjurus ke arah mahu menjadi pengawas. Sekiranya ditanya kepada aku, aku tidak akan memilih pelajar sebegini sebagai pengawas kerana sudah pasti ketokohan yang ditunjukkan adalah fake dan apabila dilantik menjadi pengawas masih terbawa-bawa sikap begini. Kerana itulah ada yang selama ini depan aku senyum dan bagi salam, tunduk kepala tanda hormat tapi belakang aku berani carutkan aku padahal tak sedar SPM pun belum lepas. Apa dia ingat dia ketua pengawas dia hebat sangat? Apa dia ingat dia kumpulan Black Jack aku boleh terkincin. Ahh tak redha aku dengan ilmu yang aku bagi di atas perbuatan anda.









Friday, January 6, 2012

Jenis-jenis novel yang aku menyampah


Membaca amalan mulia. Maka kerana itu aku antara manusia yang rajin membaca. Dari majalah, buku, novel dan Al-Quran *uhuk uhuk* semuanya aku baca. Tapi adalah keji untuk mereka yang memilih untuk membaca bahan lucah dan menggunapakai dalil membaca amalan mulia sebagai alasan untuk disandarkan perbuatan mereka.. Haruslah secara berjemaah kita menyimbah asid sahaja untuk orang begini. Aku mula membaca novel seawal usia 9 tahun. Novel pertama yang aku baca adalah Saat Rindu Berdetik karya Zuraidah Othman dan kesudahannya aku menangis bengkak mata. Setelah itu, aku meneruskan pembacaan novel-novel lain yang biasanya dibeli oleh kakak-kakakku, dan apabila adik aku turut serta dalam hobi yang mulia ini, maka dia juga turut menyumbang he arah pembelian novel-novel yang ada.



Di usia yang tidak berapa hari lagi nak masuk 29, aku telah membaca ratusan novel, mungkin jugak dah ribu, dan novel-novel tulisan Zuraidah Othman adalah yang paling dekat di hati aku. Walaupun nama Hlovate mendominasi carta-carta peminat novel, tetapi beliau tidak dapat melawan keoseman Zuraidah Othman.  Memandangkan aku telah menghabiskan lebih dari 2/3 hidup aku dengan membaca novel, aku dengan sesuka hati aku ingin berkongsi jenis-jenis novel yang aku tak suka.



1) Heroin cantik melampau
Kebanyakkan novel-novel Melayu suka menampilkan heroin yang cantik tahap melampau. Kecantikkan yang melampau dari hujung kaki sehingga hujung rambut dan menjadi igauan jejaka-jejaka yang ditampilkan di dalam novel tersebut. Mungkin ada yang akan melemparkan tuduhan aku cemburu. Oh pelis lah. No point of being jeles untuk watak tak logik begitu. Memandangkan watak heroin mempunyai wajah cantik jelita mengalahkan Miss Universe, maka kesemua jejaka tak kira watak baik atau jahat akan menggilai heroin tersebut dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkannya. Oh, sungguh tak logik dan tak dapat diterima dek akal. Sebagai contoh yang realistik, di kampung ini, ada seorang akak yang cukup cun. Memang ramailah yang berkenan tapi tak adalah sampai sekampung nak kan dia kerana aku pun hot dan cun juga maka ada juga yang nak dengan aku. Kahkahkah.

Selain itu, heroin juga digambarkan sebagai hamba Allah yang tidak berparut - flawless. Apakah? Setahu aku mereka yang mendapat pendidikan di Malaysia sudah pasti menerima suntikan BCG semasa tahun enam yang sudah pasti juga meninggalkan parut di bahu.

2) Hero yang sempurna
Selain dari heroin yang cantik melampau, sudah pasti pembaca disaji dengan hero atau pakwe yang sempurna dan gadis-gadis tak kuat iman *tidak termasuk aku* mulalah berangan untuk mendapat pakwe atau suami sebegitu rupa. Dan selagi tak dapat, tak mau kawen bagai. Wake up, girls. Tak ada lelaki sesempurna itu - yang ada harta berjuta, mak ayah dato tan sri, melancong overseas macam pergi pasar malam, wajah kacak membunuh, seorang yang beriman dan rajin baca Quran, yang kalau si gadis merajuk dipujuk dengan jambangan bunga, yang tolong jaga anak bila isteri sibuk, tak merokok, yang tolong bangun malam buat susu anak tukar lampin bagai, tak pandang perempuan lain, tak gatal dan macam-macam lagi sikap mahmudah yang sudah pasti menjadi dambaan gadis-gadis.

Sekiranya watak begini benar-benar wujud, sudah pasti mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah atau Tokoh Belia atau anugerah-anugerah lain. Maka untuk novel yang watak heronya sebegini sudah pasti mengundang kejian dari aku kerana aku tidak suka cerita yang tidak logik. Ya, pada aku tidak logik untuk wujudnya jejaka yang begini sempurna.



3) Ending yang lame dan cliché
Aku bukanlah jenis manusia yang kalau baca novel, baca ending dulu. Aku tidak kisah kesudahan cerita yang sedih dan tak menyebelahi si hero dan heroin kerana aku percaya kepada bercinta tidak semestinya memiliki. Cewah. Ya, dalam dunia ni mana ada semua benda kita dapat. Mana ada semua benda berakhir dengan kegembiraan. Akhirat pun ada syurga neraka yang melambangkan happy ending atau sad ending. Makanya, apabila membaca novel, aku baca dari mula sampai habis. Mungkin ada juga yang aku skip macam cerita Hlovate part psychology atau benda-benda yang aku rasa tidak ada kepentingan. Iklan dan promosi: Cerita Zuraidah Othman tak ada benda yang tak penting atau meleret-leret macam tu.

Oleh yang demikian, adalah menjadi spoiler besar sekiranya belum separuh pun aku baca aku sudah dapat meneka kesudahan ceritanya. Tak ada sebarang twist untuk jalan cerita yang ditulis yang sudah pasti membuatkan aku menyesal kemudiannya kerana membeli novel yang sungguh lame dan cliche begini.



4) Cerita yang banyak adegan 'tiba-tiba'
Membaca novel yang penuh dengan ketiba-tibaan adalah sungguh menyampah. Pada aku penulis yang memasukkan adegan tiba-tiba secara jamak adalah penulis yang malas dan nak habiskan cerita dengan cepat dan memilih jalan mudah begini. Watak yang tak ada tiba-tiba diwujudkan untuk memastikan si hero dan heroin dapat bersatu. Plot ceritanya juga tiba-tiba menyimpang dari landasan supaya endingnya menggembirakan. Aku sebenarnya tak begitu arif untuk bercerita panjang untuk point ini tetapi walau apa pun, aku memang tak suka dan menyampah jalan cerita yang mempunyai adegan 'tiba-tiba' demi merealisasikan cinta si heo dan heroin. Kebiasaannya plot dan watak tiba-tiba begini akan memberi keinsafan kepada watak antagonist atau mereka yang menjadi penghalang kepada pengkhiran yang menggembirakan kepada hero dan heroin.



5) Tajuk yang takdak kena mengena dengan jalan cerita
Ramai penulis gemar menggunaka metafora yang tinggi bagi pemilihan tajuk-tajuk novel. Sebagai pembaca novel, aku akan mencari connection antara tajuk dan jalan cerita. Namun kadang-kala aku menjadi marah secara tiba-tiba kerana tidak dapat mencari hubung kait antara tajuk dan jalan cerita. Novel-novel Ahadiat Akashah dan Zuraidah Othman biasanya mempunyai tajuk yang sangat mudah untuk difahami dan sudah pasti mempunyai hubung kait dengan jalan cerita yang ditulis.

Sebagai contoh, memetik kata-kata seorang blogger, dia juga tidak dapat mencari connection tajuk Ombak Rindu dan juga jalan ceritanya. Hahaha. Sungguh aku bersetuju. Mamposlah aku akan dikeji dan dicerca oleh kipas susah mati Ombak Rindu dan Fauziah Ashaari. Kahkahkah



6)  Oxymoron
Oxymoron adalah sesuatu yang bertentangan. Contoh mudah, seseorang yang mengaku alim dan beriman tapi sembahyang pun culas. Dari konteks novel pula, oxymoron berlaku apabila si penulis memasukkan unsur-unsur lawak dan watak yang dikaitkan dengan situasi lawak juga ketawa berdekah-dekah kononnya lawak sangat sampai sakit pundi dan abdomen. Tetapi aku sebagai pembaca senyum pun tidak. Aku sendiri dah jadi macam Chef Wan sewaktu mengkritik Raja Lawak Mega, tercari-cari tang mananya aku nak gelak, tang mananya yang lawak? Makanya kadang kala aku mengambil tindakan untuk tidak meneruskan pembacaan dan menangguhkan episod untuk membaca cerita tersebut sehingga tamat.



7) Nama panjang berjela
Nama yang panjang berjela sehingga nak untuk nak tulis dalam kad pengenalan pun dah terlebih aksara. Kalau tak panjang pun, nama mesti berirama kurang-kurang dua patah perkataan. Nama panggilan pun yang glamer-glamer saja. Ada sorang penulis tu, kalau tak guna nama kerabat, anak dato, tengku, puteri, syarifah bagai memang tak sah. Sungguh aku rasa menyampah. Apa ingat yang nama panjang saja muka lawa. Nama aku lima huruf saja, tapi betapa comelnya aku, tuhan saja yang tahu. Hahahaha. Perasan gilos.





Membaca novel sebenarnya mampu menurunkan kadar stress. Tetapi dengan situasi-situasi di atas, sudah pasti sebenarnya ia menambahkan kadar stress dan menyebabkan aku rasa aku telah membazirkan duit untuk membeli novel sebegini. Masalah ini juga boleh jadi sebab ramai sangat nak jadi penulis novel. Kerana itu juga, pada pendapat aku novel-novel yang menjadi lambakan di pasaran adalah lebih banyak yang tidak berkualiti dan tidak berbaloi untuk dibaca. Zuraidah Othman, sila terbitkan novel baru kerana tahap ketagihan aku sudah tidak terkawal kerana sudah lebih tiga tahun tidak membaca novel anda. Kepada Alaf21, sila kreatif dalam menghasilkan cover novel yang menarik kerana aku sudah terperasan ada dua novel berkongsi cover yang sama, warna sahaja yang berbeza.







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...