Friday, September 28, 2012

Ros






Aku tak ingat bila kelas aku ada budak baru dari rumah anak yatim yang tak jauh sangat dari sekolah aku. Memandangkan usia yang sudah mahu masuk three series, maka mengingati setiap nama pelajar aku memang perkara terakhir aku akan buat. Yang penting aku cam muka dan tahu dari kelas mana.



Maka anak yatim itu duduklah dalam kelas aku dan kerjanya hanya tidur, tidur dan tidur. Mula-mula memang aku angin lama-lama aku letih dah nak marah sebab 10 kali aku kejut dia bangun, 9 kali dia bangun dan kemudiannya 10 kali dia tidur. Tidur yang kesepuluh tu dah tak kuasa aku nak kejut sampai dia bangun. Sakit hati dan buang masa saja yang aku dapat.



Satu hari ada diagnostic test untuk bahasa Inggeris. Aku pun masuk kelas dan edar kertas dan bagi penerangan macam mana nak jawab. Sebelum tu dah ingatkan supaya tulis nama, tulis nama, dan tulis nama. Budak kelas belakang memang kena sebut banyak kali sebab kalau kelas lain mungkin masuk telinga kiri keluar telinga kanan, tapi kalau kelas belakang, apa-apa yang kita cakap, lalu tepi telinga dia pun belum tentu. Bukanlah semuanya begitu, tapi banyaknya begitulah.



Tak sampai sejam dah habis jawab. Bukan sebab terer, bukan sebab handal tapi sebab tak reti. Ada la dua tiga budak yang buat tapi aci kerat jari yang boleh buat tu pun takkan boleh buat semua soalan. Sebabnya ini kelas belakang. Majoritinya tak jawab langsung walaupun aku ni kadang-kadang ada jugak bagi-bagi clue macam mana nak jawab. Tak reti tambah dengan malas memang pakej lengkap yang lepas lima minit waktu periksa terus angkat tangan hantar kertas.



Lepas satu jam aku pun mula tanda kertas. Waktu rehat dah siap segala aku mula nak tulis markah dalam buku rekod. Sambil kira markah, sambil tulis markah dalam buku rekod. Satu-satu aku buat takut silap key-in tiba-tiba budak kelas aku yang tercorot ni boleh dapat markah lagi hebat dari budak kelas depan. Kalau soalan objektif, mungkin. Tapi ini semua soalan sturuktur open-ended bagai.



Tiba-tiba sampai pada satu kertas yang tulis nama Ros. 
Ros? 
Ros mana? 
Sejak bila kelas aku ada budak nama Ros? 
Ros?


Puas aku fikir sampai berkerut-kerut dahi cuba imagine budak kelas aku yang nama Ros. Walaupun aku tak ingat nama, tapi bila senarai nama ada depan mata, secara tiba-tiba jadi terer boleh bayang muka-muka dalam senarai nama tu walaupun bila dalam kelas aku hentam saja panggil apa asalkan tak ada yang bawa maksud yang buruk.



Ros?
Siapa Ros?



Tulisan memang jujurnya huduh Ya Rabbi! Huruf kecil besar suka-suka hati dia nak tulis. Biasanya aku memang cam tulisan budak-budak dalam kelas aku. Tapi yang bernama Ros ni memang aku fail.




Sebab tak puas hati tak ingat atau mungkin aku tak kenal siapa si Ros ni, terus aku panjat tangga di blok belakang yang sumpahlah, kelas ini adalah kelas yang paling jauh. Sudahlah blok yang paling belakang, kelas pulak di tingkat tiga dan kelas yang paling hujung. Gigih aku berjalan semata-mata kerana Ros.



Sampai saja dalam kelas terus aku tanya siapa yang ambil diagnostic test tadi. Semua angkat tangan dan aku kira satu-satu. Bilangan yang angkat tangan sama dengan bilangan kertas yang aku tanda. Maknanya memang Ros wujud dalam kelas aku.



Oleh kerana aku tak mahu tunjuk yang aku tak tahu ada nama Ros dalam kelas aku, maka aku pun bagi kertas-kertas soalan tadi suruh semak markah. Bila sampai nama Ros, aku tiba-tiba jadi berdebar-debar. Hak tuih berdebar konon. Tak ada rasa apa pun padahalnya.



'ROS!!!!!


Kuat aku panggil nama dan sekali budak laki yang bangun datang ambil kertas sambil tersengeh-sengeh.
Satu kelas gelakkan budak laki tu. 
Ya, budak lelaki! 
Budak lelaki dari rumah anak yatim yang selalu aku letih dah nak marah sebab 10 kali aku kejut dia bangun, sembilan kali dia bangun dan kemudiannya 10 kali dia tidur balik itu.



"Ros??? Nama penuh apa?"



ROSfarizal


"Takkan kawan-kawan panggil hang Ros???? Pasaipa tak tulis nama penuh????"




"Tak reti"














Tsk














Ya, anak yatim yang masuk kelas aku tu lelaki dan namanya Rosfarizal. Mampu, tulis Ros saja? Gila kentang! Dekat 10 minit aku berletiaq. Tapi hari ni dah boleh tulis nama penuh. Maka satu pencapaian yang membanggakan untuk aku dan cikgu-cikgu yang lain.







:')


Wednesday, September 26, 2012

Think wise





Memang dalam dunia ni, ada benda yang kita cerdik, ada benda yang kita tak cerdik. Bila tak cerdik, sila belajar, sila kaji, sila buka buku, sila luaskan pandangan, dan sila rajin bertanya supaya tak sesat jalan.



Makanya Tuan Mufti yang komen untuk filem Untuk Tiga Hari, silalah jangan tunjuk diri anda tidak cerdik. Aku malu. Aku malu bila orang ada ilmu tinggi tapi buat perkara simple yang terus nampak ketidakcerdikkannya.






Or perhaps, it is a human nature to think wisely but act foolishly?








Wednesday, September 5, 2012

Pengalaman bermalam di hospital




Tanggal 26 Ogos 2012 *mood merdeka terus nak guna perkataan tanggal* aku telah dimasukkan ke Metro Specialist Hospital (MSH) di Sungai Petani. MSH ada di negeri lain jugak kah? Aku bukan reti hospital-hospital private ni. Ini kali pertama masuk hospital private. Maksudnya aku masuk sebagai patient. Masuk sebagai visitor adalah sekali dua. Dulu-dulu aku benci bau hospital. Bau ubat buat aku rasa nak muntah. Belum lagi tengok pesakit yang rupa macam tak mandi. Ok, aku memang mengada-ngada. Tapi dululah. Sekarang ni tengok macam mana pun tak apa rasanya. Harap-harap macam tu lah!



Kali pertama aku masuk hospital masa aku darjah empat. Aku kena kayap di mata. Aku pun hairan dalam banyak-banyak tempat di mata yang dia nak hidup. Ketika itu sambutan Hari Raya Haji dan tak semena-mena aku muntah dengan dahsyat nak arwah ketika menjamu selera nasi putih lauk sup daging lembu. Biasalah Hari Raya Korban menunya semua menambah kolestrol tapi diumur sepuluh tahun kolestrol pun aku tak tahu hapakebenda tambah pula zaman aku belajar tak ada subjek sains. Aku pula bukan jenis rajin nak membelek buku berilmiah. Mengadap novel atau komik itu memang aku hadap.



Bila sudah muntah-muntah balik rumah bermula episod demam dan pening kepala tahap kronik. Tidur pun di bilik Bini Ustaz dan setiap pagi bila matahari baru-baru menjengah nak naik aku mula menangis tak tahan pening kepala. Bila tengah hari Bini Ustaz goreng lauk lagi sekali aku menangis. Memang tak tahan rasa pening kepala yang tangkap urat mata.



Aku rasa Bini Ustaz cuak tengok aku yang muntah memanjang dan sikit-sikit mengadu pening kepala sampai menangis-nangis. Aku pun tak pasti sama ada aku memang pening tahap kronik atau aku ni memang jenis mengada-ngada pantang sakit sikit nak menangis. Hehehe. Aku rasa lebih cenderung kepada aku ni mengada-ngada *mengaku saja la*. Makanya terus aku dibawa ke Poliklinik Azhar dan rakan-rakan yang aku sampai sekarang tak tahu siapa rakan-rakan dia. Sumpah dia ramai kawan sebab mana-mana aku pergi mesti ada Kinik atau Poliklinik Dr Azhar dan rakan-rakan. Kalau ada rakan-rakan dia yang bujang silalah recommend untuk aku. Hehehe.



Aku tak dibawa turun dari kereta dan masuk ke klinik kerana pantang kena cahaya matahari terus jerit pening kepala. Makanya tuan tabib yang bertugas datang merawat aku di kereta. Terus kata aku kena kayap dan minta Ustaz dan Bini Ustaz bawa aku ke hospital. Sampai di hospital kena admit dan sebagai kanak-kanak yang tak pernah jauh dengan emak ayahnya terus berlaku drama air mata dua tiga babak. Meraung-raung tak mahu duduk hospital tapi tak berani nak buat perangai lebih-lebih sebab Ustaz sangatlah garang dan tak mustahil dalam aku sakit macam tu dia boleh naik angin juga. Hewhewhew.



Setengah jam yang pertama Bini Ustaz dan Ustaz duduk meneman. Untuk pengetahuan anda rumah aku dan hospital ketika itu tak sampai pun satu kilometer. Tapi memang bangsa mengada-ngada dan ratu air mata maka sudah pasti air mata berjurai macam jauh puluh-puluh kilometer.



Lepas setengah jam Bini Ustaz mengexcusekan diri mahu balik rumah masak untuk makan tengah hari. Siap berjanji akan datang semula mahu menghantar makanan kerana sakit aku yang perlu berpantang. Aku memanglah tak setuju tapi kerana Ustaz ada bersama cukuplah tak setuju tu aku pendam dalam hati dan tunjukkan dengan emosi saja. Bini Ustaz aku lepaskan pergi dengan iringan air mata. Duduklah aku bersama Ustaz yang sekejap-sekejap menjampi kayap di mata aku sebab aku pun sekejap-sekejap mengadu sakit pening segala. Bini Ustaz balik jalan kaki sahaja. Lagipun memang dekat sangat. Walaupun dekat sangat tapi berpeluh jugaklah kalau berjalan. Tapi kita di Malaysia. Rumah dua tingkat jalan turun dari tingkat atas ke tingkat bawah siang-siang hari pun boleh berpeluh -___-




Lepas 15 minit Bini Ustaz balik rumah, tiba-tiba Ustaz pula bangun dan beritahu nak ubah tempat parking. Katanya parking tadi tempatnya panas, nak ubah ke tempat yang redup bawah pokok supaya tak panas kereta. Dah nama pun Ustaz sudah pasti aku percaya saja setiap kata-katanya padahal aku telah dikelentong oleh beliau. Huhuhu. Memang benar dia ubah kereta parking di tempat yang redup yakni di rumah sendiri yang bukannya bawa pokok dalam kawasan hospital. Lama aku tunggu tapi sampai ke sudah Ustaz tidak muncul dan ketahuilah olehku aku telah ditipusunatkan oleh ayah sendiri.



Tak tunggu lama aku menangis lagi. Sudahlah terpaksa duduk bersama makcik-makcik yang sakit beranak, sakit eksiden kerana wad kanak-kanak penuh. Masa tu dalam kepala mula fikir diri anak angkat yang tidak disayangi hanya kerana Ustaz dan Bini Ustaz tak teman duduk sorang-sorang di hospital. Hahaha. Ngek!



Lama aku menangis. Mula-mula ada jururawat yang datang pujuk. Pujuk-pujuk punya pujuk tak ada hasilnya kerana air mata berkoyan maka aku memilih untuk menangis secara istiqamah. Mungkin kerana geram aku yang menangis secara marathon seorang lagi nurse telah mencucuk kedua belah bontotku dengan ubat apa tak tahu tapi tak sampai dua tiga minit aku terlelap selama berjam-jam. Kalau tak salah aku, nurse tersebut adalah emak kepada kawan aku, Siti Nur Rohana yang bapanya seorang polis. Nama Johari rasanya. Aku rasa mak dia garang gila tapi boleh jadi juga aku terbawa-bawa dengan emosi sedih sebab ditinggal Ustaz dan Bini Ustaz.





Selepas disuntik di bontot aku seperti dipukau terus tidur sehingga bapa saudara aku datang melawat pun aku tak sedar. Mungkin juga kerana back-to-back aku menangis menyebabkan aku bertambah letih makanya tidur aku berlarutan sampai ke petang. Dah malam abang aku datang bawa makanan. Aku tak tahu sepanjang di hospital siapa yang teman aku tapi rasa-rasa macam aku memang duduk seorang. Siang-siang saja ada yang datang. Malam duduk sorang dan sembang dengan kakak sebelah yang banyak koleksi Majalah Wanita. Walaupun umur sekolah rendah aku hentam juga baca majalah wanita sebab sumpahlah bosan duduk hospital. Ada sekali dua tengok tv tu pun setakat dua siaran - tv1 dan tv2.



Makanya 26 Ogos yang lalu sekali lagi aku masuk hospital. Kawan-kawan aku bila ditanya pengalaman masuk hospital semua kata time beranak saja. Petang 25 Ogos aku nak turun bawah, nak buka puasa. Sebelum tu masa dalam bilik aku dah rasa pening kepala sebab bau abang aku makan durian. Bukan abang aku yang berbau. Durian yang dia makan tu berbau. Aku tak makan durian tapi tak adalah alah dengan bau. Mungkin sebab perut kosong makanya perut aku memberi reaksi mengada-ngada tak tahan bau segala.



Niat aku turun ke bawah adalah sebab nak buka puasa dan tutup buah durian yang ada atas meja. Bini Ustaz yang turut berpuasa tanya aku nak minum apa. Sempat aku tengok handphone di tangan, 6.59pm. Sambil turun aku tak tahu apa yang aku fikir - bau duriankah? Nak minum air apakah?, tup-tup aku dah jatuh tujuh anak tangga. Punggung menghempap setiap anak tangga dan nasib baik tangan kiri pegang pemegang tepi tangga kerana tanpa pegangan tersebut nescaya sudah pasti aku jatuh tergolek. Aksi lagak ngeri *aku saja yang rasa ngeri* pada petang itu mendapat perhatian adik-beradik aku kerana kata mereka ia menghasilkan bunyi yang kuat. Kuat yang macam mana aku tak tahu tapi boleh jadi juga mereka cuba memberitahu secara halus berat badanku telah naik maka bila terjatuh bunyinya kuat dan mungkin juga berlaku gegaran kecil di dalam rumah.



Walaupun tanpa amaran tsunami dikeluarkan oleh Bini Ustaz selaku orang pertama yang datang memegang aku, kerana sakit dan juga malu makanya aku menangis teresak-esak dan hilang mood nak buka puasa.



Malamnya aku rasa sakit sengal yang biasa saja. Tapi masa nak tidur rasa macam nak tercabut tulang pinggul walaupun tak ada pula tulang pinggul aku ni pernah tercabut atau dicabut orang. Esok paginya bangun sahur untuk meneruskan aktiviti puasa enam yang sungguh banyak manfaatnya tetapi sungguhlah sakit sungguh badan sehingga aku membuat keputusan untuk tidak ke sekolah.




Pukul 8.00 pagi aku bangun siap mandi dan kemas beg sebab aku ada perasaan aku akan ditahan. Sebab nak buktikan aku ni tough makanya drive sendiri ke Metro dan sungguh benar bagaiku kata, aku ditahan di wad. Sebabnya nak buat fisioterapi dan x-ray yang ada dalam enam kali dia buat. Syukur tak ada patah atau retak di mana makanya hari keempat boleh balik.



Hari kedua Bini Ustaz datang bersama adikku yang kini telah memprivatekan blog beliau (malas nak hapdetlah tu), datang membawa baju-baju dan lain-lain barang sebab aku ingat aku kena tahan satu hari saja. Hihihi. Masa hari pertama tu sumpahlah aku menangis macam mula-mula kena masuk wad masa kena kayap. Silalah kata aku ni mengada-ngada kerana aku terima seadanya. Hehehe.



Kerana diri disayangi maka setiap malam Mr. K datang melawat dan tak lupa membawa makanan yang sedap-sedap. Makanan di MSH bergantunglah anda duduk di wad mana. Aku tak dapat bilik berdua kerana ramai sungguh yang sakit tambah-tambah lepas raya kencing manis tak manis, darah tinggi segala semua ada. Aku duduk di bilik berempat yang makanannya tak adalah sendu sangat tapi kadang-kadang macam tak berperasaan pun ada.



Tuan tabib yang merawat dah berumur tapi masih kacak. Hehehe. Aku kalau doktor memang selalu nampak hensem saja di mata. Hihihi. Sungguh ramah bersembang dan handal dalam arena usik-mengusik. Menggunakan khidmat kekasih gelap terus keluar gambar di atas. Kalau semua doktor baik macam dia, jatuh tangga dua belas kali pun tak apa.




Aku tak tahu nak buat ending macam mana. Boleh dak lepas habis ayat ni aku titik lepas tu habis macam tu saja?
























Ok tak jadi sebab ayat tadi kena letak tanda soal.























Tuesday, August 28, 2012

Jenis-jenis tetamu yang datang beraya



Assalamualaikum semua saudara sandari, cikibum cikibum. Bagaimana dengan sambutan hari raya anda? Adakah lebih meriah berbanding puasa anda ataupun anda rasa sama saja dengan hari-hari yang lain. Kepada yang rasa sama sahaja seperti hari-hari lain, mungkin anda tak berpuasa di bulan Ramadhan ataupun berkemungkinan juga kerana anda tak dapat bercuti dan pulang ke kampung di hari raya.


Hari ini sudah 10 Syawal dan aku episod menggantikan puasa dan berpuasa enam bakal dilakukan. Itupun kalau rajin dan tidak tergoda dengan menu-menu yang lazat dimasak oleh Bini Ustaz mahupun diri sendiri. Mengaku tu diri sendiri masak sedap. Sahabat-sahabat di sekolah, sila jangan buat open house terlalu awal kerana diriku yang imannya tak dapat diwarisi ini mudah tergoda dengan makanan free.


Sehingga hari raya kelima ramai tetamu yang hadir di rumah dan kerana kerajinan yang sememangnya ada dalam ini, aku secara sengaja telah membuat kajian terhadap tetamu-tetamu yang datang. Ayuh kita lihat jenis-jenis tetamu yang datang beraya.


1) Mata duitan
Ini biasanya budak-budak tak cukup umur yang datang rumah memang hadap duit raya saja. Rumah aku jenis rumah kampung ada halaman rumah dan porch bagai. Budak-budak yang hadap duit raya ni, nak jalan masuk ke pintu pun tak sudi. Mungkin mereka saban tahun cuba mengatasi rekod terdahulu dengan harapan kutipan duit raya lebih memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya. Ada juga yang muka tembok jenis bagi salam kemudian dengan tulus dan telus menyampaikan hajat di hati 'Kami datang nak duit raya saja'. Huiii. Anak siapa perangai begini. Tapi dalam hati tuan rumah yang pemalas seperti aku rasa bersyukur tak terhingga kerana tak perlu susah payah berpenat lelah buat air oren ketuk ais bagai tapi minum setakat seteguk sahaja.



Aku dulu kecil-kecil memang gigih berusaha kutip duit raya. Dapat lima kupang pun tak bising kerana bangsa reti bersyukur. Budak zaman sekarang kalau kita bagi seringgit sumpah tahun depan dia tak datang. Itu kalau yang jenis mata duitan. Kalau yang jenis otak singkat aku bagi duit lama dia tak mahu. Nak duit baru padahal tak sedar nilai duit tu sama sahaja. Harus aku bagi siku baru dia reti barangkali.




2) Merisik anak tuan rumah
Makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang ada anak dara atau anak teruna yang masih solo gemar mengambil kesempatan di hati raya merisik anak orang. Tak payah pergi cari contoh yang jauh-jauh. Aku dengan berbesar hatinya sudi menjadikan diri aku sebagai contoh. Ada juga yang pagi-pagi di hari raya kedua telefon Bini Ustaz tanyakan aku dan kakakku. Benarlah orang kata bangun pagi rezeki murah. Hehehe.


Tak reti pulak aku nak elaborate panjang-panjang. Biasa kalau cerita diri sendiri memang tak berapa nak handal. Cuba kalau cerita pasal nak mengutuk nak mengata tiba-tiba mulut petah berkata-kata dan tangan ni lancar saja nak menaip. Tsk




3) Ziarah sambil bergosip
Di hari raya, sebelum mulut mengungkapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin, ada juga yang mengambil kesempatan membuat kunjungan ke rumah sanak saudara dan rakan taulan dengan menambah aktiviti bergosip sama ada secara sulit atau pun secara berjemaah. Aku pun termasuk juga dalam kumpulan ini. Macam biasa aku memang jenis sedar diri dan mengaku saja aku ni bukan lindungan kaabah bagai. Gosip-gosip adalah berkisar apa yang berlaku atau peristiwa-peristiwa yang ada kaitan dengan diri sendiri.



Baru-baru ini ada aku bergosip tentang kawan aku yang telah menipu aku dan kawan aku serta melibatkan sejumlah wang yang besar. Bab menipu tu boleh nak maaf. Tapi yang bab duit tu memang ada rasa macam nak simbah asid pun ada. Melalui kunjungan hari raya sambil bergosip juga dapat aku menghapdet kisah-kisah terkini tentang rakan-rakan dan mungkin juga musuh-musuh yang ada. Hahaha. Dah macam orang main politik ada musuh segala. Kalau datang sepupu sepapat aku sakan juga kami bergosip. Waktu macam nilah boleh tahu sepupu mana yang dah ada boyfriend, anak buah mana yang dah nak menikah, siapa yang mengandung, siapa yang dapat transfer, siapa yang menganggur dan segala hapdet yang mungkin tidak terdapat di facebook.


Tapi ada juga sedara mara aku yang omega dalam kepala tak berapa banyak. Nama aku dan kakak aku asyik tertukar-tukar padahal nama kami jauh berbeza. Aku Widad, dia Affaf. Lagi satu dah beribu kali dah aku cerita aku sekarang di Kuala Pegang tapi masih ramai yang sangka aku di Bukit Kayu Hitam. Masa aku di Bukit Kayu Hitam mereka sangka aku di USM. Harus aku reka cerita aku dapat sekolah lain. Mungkin ketika itu dalam kepala mereka ada memori aku di Kuala Pegang.



4) Rehat dan Rawat
Bagi yang memandu jauh, gunakan kesempatan hari raya untuk menambah pahala dengan melawat kawan-kawan atau saudara mara anda. Di samping dapat beramas mesra dan meminta maaf kot-kot ada dosa yang dilakukan secara sedar atau tak sedar, anda juga dapat merehatkan badan dan jika langkah tak kengkang tuan rumah akan menjamu anda dengan hidangan yang boleh meningkatkan kolestrol dan menambah berat badan anda. Siapa-siapa pun suka makanan yang lazat tapi yang tambah berat badan tu walaupun tak suka boleh pejam mata.



Bagi emak-emak yang ada anak kecil kalau singgah rumah saudara atau kawan boleh tumpang bilik air nak tukar diapers segala. Untung sabut anda boleh lelap barang sejam dua sebelum meneruskan perjalanan jauh. Tapi biasanya kita sebagai tetamu akan pilih kawan yang rapat atau saudara kita yang boleh tahan akrab dan ramahnya untuk dijadikan tempat rehat dan rawat. Kalau kawan yang sekadar hai-hai bye-bye atau saudara yang kita jumpa time kenduri kahwin sahaja mungkin segan juga tiba-tiba buat ramah sampai tumpang tidur segala.




Kecederaan akibat jatuh tangga menyebabkan aku tidak dapat mengingat dengan cemerlang. Ditambah pula aircond dalam wad ni macam nak membunuh aku ke hapa makanya aku cuma dapat senaraikan setakat empat sahaja. Raya lain kali kita lihat barangkali ada pertambahan. Itupun kalau aku tak buat aksi stuntman hingga jatuh tangga seperti tahun ini -__-


Jadi bagaimana dengan anda? 
Tepuk dada, suluh cermin dan kaji anda jenis tetamu yang bagaimana? 






Sunday, August 26, 2012

Bahana mengejek




Aku, hari raya dan mengadakan pesta separa liar tatkala bergambar memang tak dapat dipisahkan. Ibarat isi dengan kuku dan tak ada cagu antara mereka.





Banyak lagi jenis posing yang ada tapi sebab perangai bukan lindungan kaabah maka aku telah mempengaruhi the sisters untuk menggayakan sore-eyes-five-days-of-mc.



Dan hari ini...




Kena tahan di Metro. Tak tahulah mc berapa hari tapi sebab nak kena buat physiotherapy bagai, lebih dari sehari itu sudah pasti. Di saat nak berbuka puasa semalam, nak turun tangga boleh terjatuh menggelungsur sampai ke bawah. Ambik aku, ini makan dia.




Selamat Hari Raya Aidilfitri, Fitri. Maaf Zahir Batin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...