Sunday, January 27, 2013

Bercinta, tunang, dan kahwin



Hari ni aku nak jadi serius. Bukan hari ni. Cukuplah setakat dari entri ini ditaip, diedit dan dipublish. Itu saja tempoh aku serius. Lain tempoh aku serius bila perlu. Aku bukan jenis sembang serius. Aku orang yang banyak ketawa dan selalu senyum, Sebab tu dah umur 30 tapi nampak macam 20. Hahaha. Gagal nampaknya percubaan untuk serius. Tak apa. Lepas ni aku cuba lagi.


Bercinta? Banyak kali aku bercinta. Tapi tak ada jodoh nak ke nikah. Takkan ku sebut ke jinjang pelamin sebab pelamin tu pakai masa bersanding. Bersanding tak boleh. Mahu bangun Ustaz dari kubur kalau dia tahu aku bersanding. Kalau orang lain renjis, boleh jadi aku disiram sampai lencun secara halimunan. Aku saja yang nampak. Moralnya, tak payah bersanding. Jimat duit satu hal.


Bercinta zaman universiti aku dapat boyfriend yang dah bekerja. Kerja boleh tahan, banyak OT dan muka ala-ala Bollywood. Tapi mak dia tak suka kat aku. Hahaha. Sebab apa. Takyah lah aku sebut. Nanti anda jugak yang akan gelakkan maknya sebab alasan sungguh tak best. Tapi tak apa. Langsung aku tak kecik hati. Memang untung ada boyfriend yang dah bekerja time kita masih belajar. Nak keluar siap kereta tunggu.  Makan minum harap boyfriend. Nak pergi sana, pergi sini harapkan boyfriend. Nak suruh bayar itu, bayar ini harapkan boyfriend juga.


Tapi aku bukan macam tu sebab aku bukan mengada-ngada. Aku mengada-ngada juga. Perempuan mana tak mengada-ngada. Tapi mengada-ngada aku tak masuk bab duit. Mengada aku nak suruh dia sebut dia sayang aku dua tiga kali dalam sehari. Hahaha. Perempuan mengada memang semua kalau boleh nak harap boyfriend. Zaman universiti buat part-time. Tak cukup duit, SOS Bini Ustaz. SOS tu apa? Saya Orang Susah. Hahaha. Maka Bini Ustaz akan hulur. Tak cukup lain bulan aku cari kakak Petronasku. Terima kasih kerana banyak membantu dari wang ringgit terutamanya :')


Mintak duit dengan boyfriend? Pernah. Tapi tak banyak. Dan biasanya aku bayar balik sebab aku segan. Yang aku tak bayar kalau mintak dia tolong reload kredit handphone sebab maha leceh nak cari dari satu bilik ke satu bilik zaman mengaji dulu. Tapi sekali reload sepuluh hengget. Dan sebagai balasan aku belanja kehepsi. Aku tak cakaplah belanja kehepsi ganti duit topup tapi dah faham-faham sendirilah. Kata cintaaaa. Hehehe.


Tapi aku dah jumpa lelaki akal tak berapa panjang habis duit untuk girlfriend. Sungguh kecewa sehingga melebih-lebihkan sang girlfriend berbanding emak. Ya. Memang patut guna sang sebab gedik dah macam jenis-jenis sang jugak. Bayar broadband minta boyfriend dan boyfriend pun bagi. Nombor pin MUET tak sempat beli pun minta boyfriend. Itu belum masuk topup handphone yang bulanan lebih tiga puluh hengget. Lebih. Tak pernah kurang. Dan itu belum juga campur duit belanja yang dihulur. Ini boyfriend atau ayah? Ayah girlfriend masih ada. Masih sihat. Emaknya pun ada. Pun sihat. Tapi...tak apa. Kita tak payah cerita.


Moralnya, yang mana bercinta dengan yang bekerja janganlah nat jadi set mengada yang boleh ku bagi kaki mintak itu ini. Reti malu tak kiralah boyfriend anak raja atau Perdana Menteri sekalipun. Tambah kalau dapat anak menteri atau yang Perdana Menteri jenis korup sapu duit rakyat. Lagi mohon dijauhi. Bukan jauhi mintak duit. Jauhi terus jangan buat laki. Hahaha. Jahat mulut!




Tunang pula episod memang ke arah dah nak nikah. Katanya nk berkenal-kenalan tapi kalau dah kenal, tak payahlah berlama-lamaan. Aku tak pernah bertunang. Pada aku bertunang tempoh untuk bertenang. Aku pun tak reti nak explain. Jadinya dah kalau tak reti, tak payahlah explain. Sebab aku jadi cikgu sakit hati bila dapat jawapan tulis panjang berjela tapi content tak ada. Tapi aku hargai effort mencuba. Nanti ada pula yang jaki kutuk aku cikgu malas. Hehehe. Tak boleh kena kutuk. Nanti terasa, aku sedih. Bila sedih nanti kulit kedut. Lagi aku bertambah sedih. Nampak tak kesan jangka panjangnya? Makanya mohon jangan buat aku sedih.


Sekarang ni ada yang majlis bertunang buat gah sangat dah macam majlis nikah. Aku tengok dengan hantarannya, dengan nak beli cincin segala. Terpandang saja hantaran terus mata aku nampak syaitan. Hahaha. Keji. Sebenarnya aku nampak benda tu bazir. Itu saja. Bila dah kerja aku sangat menghargai nilai wang. Aku tak suka spend duit untuk benda yang pada aku tak ada faedah. Aku suka yang simple, jimat, jimat dan jimat. Ya. Jimat tu penting. Katalah aku kedekut. Tapi aku takkan tergamak lihat bakal suami habis duit beribu hanya untuk bertunang. Kan lagi baik simpan duit dan berjimat boleh holiday ke Istanbul. Hahaha. Nampak tak aku punya berangan padahal bayang calon pun tak ada.


Jadi kepada yang nak bertunang, kalau yang perempuan masih belajar tak payahlah tergedik sangat habiskan duit si bakal tunang mintak itu ini. Especially yang nak tunang time belajar dan dapat bakal tunang yang dah bekerja, Sedarlah dengan status diri yang masih belajar. Tak payah nak buat grand sangat. Hantaran nak bagi sembilan. Tak sedar semua yang sembilan minta duit boyfriend. Yang boyfriend pula orang jauh. Utara lawan selatan. Nah duit lagi kos perjalanan segala.



Kahwin. Aku pernah bagi tips menjimatkan kenduri kahwin. Kalau aku, memang nak jimat sungguh. Kadang-kadang rasa macam nak buat high-tea saja untuk wedding. Ada murtabak, roti canai, kuih muih, coklat, laksa, bihun sup.  Hidang teh tarik, kopi kampung dan make sure semua memang sedap. Sebab benda begini orang tak makan banyak-banyak. Tambah-tambah yang memang ada kilang gula dan garam dalam badan. Hehehe.


Dari segi tarikh aku tak kebulur nak kejar tarikh yang best. Aku rasa orang yang nak tarikh best-best ni sebab ada masalah ingatan. Tak ingat. Cepat lupa. Tarikh yang cantik bajet macam senang ingat tapi dah kalau pelupa tu, pelupalah jugak. Sungguh memandang rendah aku pada manusia begini. Mulut jahat tak ada insuran harap aku diampun.


Bila sebut kahwin terus nampak duit hantaran, mas kahwin segala. Emak ayah yang punya anak perempuan tak payahlah susahkan anak lelaki yang bakal jadi menantu. Kalau letak tinggi-tinggi, yang nak miskin, nak susah anak menantu anda juga. Tak payah nak ikut standard. Ukur standard anak pompuan anda dah la. Dan jangan lupa padankan dengan kehendak agama. Ecewah. Terasa sungguh ustazah menaip di perenggan ini.


Sebut cerita kahwin terus teringat bab nak beranak-pinak. Kalau ditanya aku. Aku takut nak ada anak. Kenapa? Sebab takut tak boleh jadi emak yang baik. Jadi setiap kali lepas sembahyang, antara doa aku, kalau aku boleh menjadi ibu yang baik, maka kurniakanlah anak kepadaku. Sebab Dia kan Maha Mengetahui. Senang. Biar Dia yang tentukan. Memang anak itu saham akhirat. Tapi kalau anak jadi tak ketahuan pun saham juga untuk mak ayah. Dan banyak lagi cara lain nak main saham akhirat. Antara jumud dengan tak jumud fikiran saja bezanya.



*************

Aku tak berani nak tulis panjang-panjang. Nanti orang kata, aku tak kahwin lagi sembang kencang serupa dah kahwin anak sepuluh dan anak pun dah ramai yang kahwin. Aku memang bujang dan tak ada boyfriend. Saja cakap dua tiga kali supaya tak ada yang syak entri begini tandanya tak lama lagi aku nak kahwin. Buat masa ni, tak nampak lagi bayang-bayangnya. Yang berminat nak jadikan kakak atau adik ipar, boleh tinggalkan di ruangan komen. Hahaha. Sejujurnya, bagaimana doa aku tentang anak, sama juga doa aku untuk mendapatkan suami. Hanya jika aku mampu jadi isteri yang baik, maka Kau jodohkanlah aku dengan lelaki yang baik.

















































p.s  Entri separa serius begini terasa sangat 30.








Saturday, January 26, 2013

Aku dan Sibuk




Aku dan Sibuk sungguh akrab. Hubungan kami ibarat carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua. Sibuk tak pernah cari pasal dengan aku. Tapi aku memang bencikan Sibuk. Sibuk sangat Sibuk ni nak menempel dengan aku. Menyampah tahu.


Tapi itulah. Dah namapun seperti bulu ayam yang dicarik-carik. Eh, bulu ayam kalau dah carik boleh bercantumkah? Hukum sambung rambut haram. Sambung bulu ayam haram tak? Haram ah ayam ni. Tapi tak apa. Itu tak termasuk dalam rukun sembelihan yang sah. Aku rasa la. Kalau salah, jangan maki. Tegur aku secara mulia.



Aku sangat benci dengan Sibuk. Bila Sibuk di sisi, nak tidur pun susah. Dah macam orang bercinta kerana Sibuk mendominasi masa-masa yang aku ada. Ya, kalau aku bercinta, aku banyak fikirkan boyfriend. Agaknya sebab tu sekarang tak ada boyfriend. Siapa nak boleh hantar sebut harga. Aku pandai masak yang aku suka makan dan aku ada OCD. Rupa boleh tahan cun. Tak tinggi sangat. Ok tipu. Tak pernah orang kata aku tak tinggi sangat. Memang adjektif 'yang pendek-pendek tu' untuk aku.



Aku doakan Sibuk tinggalkan aku supaya aku boleh buat perkara lain yang dah lama aku tak buat. Seperti melakukan kajian rawak untuk merapu-rapu di blog. Juga berjimba menonton wayang secara marathon bersama rakan sebujang atau Dato K. Sungguh kerana Sibuk aku tak sempat nak buat semua ini. Bilakah bulu ayam itu akan tercarik-carik lagi?




Monday, December 24, 2012

Jawapan -jawapan Bini Ustaz yang tak tercapai dek akal




Umum mengetahui Bini Ustaz kerap difeaturekan di dalam entri-entri blog ini sama ada entri berilmiah atau pun entri merapu-rapu. Mujur Bini Ustaz bukan jenis mata duitan maka mahu minta royalti segala. Mujur juga beliau tidak buat demo duduk dan bantah. Oh ya, demo-demo ni memang budaya kami. Hihi



Umum juga mengetahui Bini Ustaz ini merujuk kepada emak aku. Emak aku masih cun walaupun umur sudah 63. Tak perlu collagen segala tapi sumpahlah semua kata Bini Ustaz masih cantik. Nampak muda. Maka ke mana lagi tumpahnya cantiknya itu kalau bukan untuk aku. Huahuahua. Mohon jangan maki. Seperti mana yang anda pernah baca aku dapat Anugerah Guru Paling Cantik *confirm tahun depan dah tak dapat*, Bini Ustaz juga pernah dapat award yang sama dari persatuan NGO yang disertainya. Bukan ketika umur remaja. Tetapi ketika umur 60-an begini. Makanya silalah jangan nafikan atau ragu-ragu tentang kecantikkan Bini Ustaz. Cantik tak cantik emaknya, lihat saja pada anaknya. Kahkahkah. Mati kena hempap gunung Baling sebab perasan.



Umum juga sedar semenjak pertengahan 2011 aku pulang menetap di kampung halaman. Bukan kerana mengikut suami tetapi sudah berjauh hati dengan tempat yang lama. Makanya aku memilih untuk tinggal bersama Bini Ustaz dan adik lelakiku yang tidak pernah aku featurekan tentang dirinya di dalam blog ini. Tinggal bersama Bini Ustaz ini bererti setiap hari aku dapat berbual dengannya dan sekali sekala keluar berjimba di Pulau Pinang. Berjimba secara makcik-makciklah. Tidak ada aktiviti menonton wayang. Cukup sekadar mengukur shopping complex dan makan secara marathon. Hehehe.



Ok, cukuplah tiga kali aku gunakan perkataan umum. Nampak sangat tangan aku ni dah tak sabar nak pangkah untuk pilihanraya umum yang akan datang. Itu yang menyebabkan penggunaannya secara kerap.



Bini Ustaz seorang yang pandai berlucu dan kadang-kala jawapannya sungguh tak tercapai dek akal. Aku tidak sedar semenjak bila beliau memperolehi kebolehan untuk memberi jawapan begini. Mari kita lihat fiil Bini Ustaz yakni emakku sendiri.



1) Hujan turun
Aku duduk di tingkat atas dan ketika hari bekerja, hanya sekali-sekala aku di tingkat bawah. Aku turun hanya untuk makan, tengok tv dan kadang-kala membuat rondaan ketika Bini Ustaz sedang tidur. Hendak memastikan beliau sihat dan 'ada'. Aktiviti seharian selepas pulang bekerja kebanyakkannya dilakukan di dalam bilik. Selain mandi, membasuh baju, menyidai kain, aku hanya meng-onlinekan diri dan kemudian tidur. Menyebut tentang aktiviti menyidai kain, Bini Ustaz dan adik lelakiku melakukan aktiviti tersebut di luar rumah.

Alkisah suatu hari hujan kucing-kucing dan anjing-anjing. Sungguh lebat sehingga menyebabkan aku terjaga dari tidur. Sebelum aku naik untuk tidur, Bini Ustaz juga sedang tidur dan aku terperasan kain baju penuh di ampai. Makanya kerana bimbangkan kain baju mungkin basah lencun kelak perlu basuh sekali lagi, pantas aku bingkas bangun dari katil... pergh, bingkas siut. Serupa novel Anis Ayuni dah. Kehkehkeh. Ok mari sambung.

Terus aku berlari-lari anak sambil turun tangga menjerit pada Bini Ustaz.


"Mak, hujan turun mak!!!"


Menjerit as memberitahu, Bukan menjerit marahkan Bini Ustaz. Tidakkkk. Lagi tiga anak tangga nak sampai bawah, aku lompat turun langkau ketiga-tiga anak tangga. Cewahhh. Bajet macam filem aksi. Sila jangan ungkit peristiwa aku jatuh tangga. Tidak ada kena mengena. Sekali lagi aku jerit,


"Makkkkk, hujan turunnn!!!"


Terus nampak kelibat Bini Ustaz keluar dari bilik tidur sambil gosok-gosok kepala. Terkejut barangkali aku terjerit-jerit memanggil beliau.


"Pasaipa? Ada apadia duk panggil, mak, mak..?"


"Dak...hujan turun...," indirectly aku harap mesejnya sampai. Aku nak bagitahu hujan turun dan kain di ampai sudah berangkat atau belum.


"Awatnya hujan turun? Biasa la hujan turun. Kot hujan naik baru la pelik."


Ok, mak. You win!





2) Naik atas
Rumah peninggalan arwah Ustaz ini adalah rumah kampung dua tingkat yang boleh tahan besarnya. Besar bukan kerana kaya. Tapi besar kerana anak-anaknya sembilan orang. Makanya kalau rumah yang kecil sudah pasti tidak selesa untuk kami adik-beradik tinggal secara rukun. Namun demikian, hari ini, rumah besar begini hanya didiami oleh tiga orang yakni Bini Ustaz, aku dan juga adik aku. Hanya kami bertiga sahaja. Bilik aku di tingkat atas dan Bini Ustaz dan adik lelaki di tingkat bawah.


Setiap malam, aku biasanya akan duduk di ruang menonton tv bersama Bini Ustaz dan menonton cerita-cerita pilihan Bini Ustaz. Ya, aku hanya mengikut saja. Apa yang Bini Ustaz tengok, aku bantai saja walaupun sekejap-sekejap akan dengar komen tak puas hati mengondem cerita pilihan beliau. Hahaha.


Seandainya aku tak dapat bertahan menonton cerita yang ntahapapa, aku biasanya akan meninggalkan ruang menonton tv dan naik ke bilik.


"Tak best pun cerita mak tengok ni...." sambil bangun dan buat muka tak best.

Bini Ustaz tak beri sebarang response.

"Tak pa lah mak...orang nak naik ataih (atas) lahhh."

"Nak naik sebut naik sudah la. Nak kata naik ataih buat apa? Memang naik tu naik pi ke ataih. Takdak naik ke bawah aihh."

Tudia sekali dia bagiiii.

Tsk





3) Tak masin
Sudah menjadi trend di rumah kenduri menghidangkan pelbagai jenis menu lain selain dari nasi. Dari teh tarik ke pelbagai bubur dan manisan termasuk laksa dan roti canai. Terjadi di satu majlis kenduri yang cukup gah dengan enam ribu jemputan ada dihidangkan laksa sebagai menu mencuci mulut. Makanya seorang makcik yang berkongsi meja dengan aku dan Bini Ustaz ingin turut sama makan laksa tersebut.


Umur makcik tersebut lebih kurang Bini Ustaz jugak. Dan di umur yang melebihi 60 pelbagai penyakit dari yang bersifat tinggi rendah dan manis datang bermastautin. Makcik ini sibuk bertanya perihal laksa bimbang sifatnya yang masin menyebabkan darah naik mencanak. Almaklumlah dalam badan dah ada kilang hihihi.

'Tak mau masin ambik laksa ngan ulam saja la. Kuah toksah ambik'


Ya, itu cadangan Bini Ustaz. 
Bernas tak? 
Bernas tak? 
Bernas gilaaaa.




4) Kurus
Aku memang ada tabiat suka tanya soalan yang ntahapapa dan kadang-kadang aku suka ulang tanya soalan yang sama. Zaman ada boyfriend hari-hari dia kena hadam soalan "Sayang dak?" dah aku pun sedar perbuatan aku memang annoying. Hihihi. Apabila di rumah, setiap kali aku masak aku secara gigih akan tanya sama ada menu yang dimasak sedap atau tidak. Begitu juga setiap kali aku balik dari berjogging. Nampak sahaja Bini Ustaz depan mata, terus tanya "Mak, orang kuruih (kurus) dak gi?"


"Kuruih dahhhh........






































*tersengih gumbira*








































...kat gigi.."






















Terima kasihlah mak. Jawapan mak sungguh menaikkan motivasi untuk terus lagi berjogging. Hari lain aku tanya, dia boleh jawab kurus kat kuku. Warghhh!! Terus takmau tanya dah. Takmau dah. 




















Wednesday, December 12, 2012

Sebab-sebab aku gagal menghapdet blog secara istiqamah



Sebagai seorang Muslim, kita sememangnya dianjurkan untuk melakukan perkara yang baik secara istiqamah. Wah bahasa aku. Macam nak menjawab kertas SPM. Perkataan dianjurkan tu yang aku rasa nak tergelak. Ya, memang tak lucu untuk anda semua jadi tak payah nak gelak kesian. Aku sangat pasti blog aku ni bukan kategori berilmiah. Selain dari melampiaskan emosi dan nafsu amarah serta merapu sana sini, ada tak kurang 10 entri aku rasa yang boleh boleh gagahlah tahap keilmiahannya. Entri-entri lain mungkin ada yang rasa nak bagi kaki kat aku.



Namun demikian sukacitanya untuk aku maklumkan pada semua, aku sebenarnya sangat suka menulis. Menulis dalam konteks merapu-rapu kerana sebenarnya ia adalah hiburan ringan yang sudah pasti tidak seringan berat badan aku. Cerita sedih untuk semua, berat badan naik lagi. Tapi itu lain kali aku carutkan. Bila lama tak menaip entri baru, aku sebenarnya malu nak klik button new post. Maklumlah, orang beriman. Malu tu perlu. Malu itu sebahagian dari iman *dah terkeluar perkataan istiqamah, iman segala terus rasa entri sangat berilmiah*. Tetapi hari ini aku gagahkan menaip entri baru buat tatapan dan bacaan anda semua. Hahaha. Bajet serupa blog sendu ni glamer ramai pembaca. Mampoih pi lahhh.


1) Memilih kerjaya sebagai guru bererti adalah tidak dari lari, merangkak, atau pun berguling jauh dengan peperiksaan. Makanya sebagai guru yang masih muda, cantik jelita sudah pasti aku dengan suku rela menjadi pengawas peperiksaan. Ya, bila wajah cantik senyum manis berseri pelajar lebih semangat nak jawab exam. Kahkahkah mampoih satgi kena kutuk lagi! Bulan Oktober menjadi pengawas PMR yang tentulah bukan di sekolah aku. Dan bulan November sambung lagi kontrak menjadi pengawas SPM. Sujud syukur kerana menjaga SPM hanya untuk lapan hari. Kepada guru-guru yang mengawas hingga bulan dua belas, aku hulurkan simpati. Nama nak hulur duit, aku tak cukup kaya.

Bila dah terpaksa mengawas, kerjanya sehingga ke petang dan balik rumah terus terkelepek atas katil. Tidak lagi mampu nak beronline dengan gagah kerana badan mahu beronline di atas katil. Kalau bernafsu sangat nak beronline, aku berwasap bersama kawan-kawan sekolah. Itu saja yang aku mampu. Itu saja. Itu. Saja. *saja taip dua tiga kali nak bagi entri nampak panjang...keji!*



2) Perkara kedua sebenarnya berkait rapat dengan perkara pertama. Apabila kerap meninggalkan sekolah, sudah pasti banyak kerja terbengkalai. Dengan nak tanda answer scripts, nak kelebet borang PBS Bahasa Inggeris, nak buat itu, buat ini...huiii tak cukup tangan nak buat. Lepas tu mula rasa nak resign dan jadi suri rumah. Tapi tuan rumah pun belum ada, maka tak usahlah nak emosi bagai nak resign segala. Menanda dan menyemak kertas jawapan sehingga demam sudah menjadi lumrah kerana mengejar masa. Ya, harus aku mengejar masa kerana kelak mungkin aku tidak dapat berjimba. Hahaha. Berjimba itu perlu. Kelak mengundang stress *mampoih kali ketiga satgi ada hat suruh aku pi mengaji Quran*



3) Bulan Oktober yang lalu, aku menggelarkan diri sendiri sebagai guru kurang ajar. Bukan kurang ajar as 'koajaq hang' atau kalau bahasa drama Yusof Haslam 'Kurang ajar, kau!' yang pada aku bunyi haram tak ganas. Hahaha. Kalau sebut slang utara nampak sikit ganasnya. Maksud kurang ajar dalam konteks aku sebagai guru yang kurang mengajar. Ini semua sebab jadi pengawas peperiksaan dan kemudian tinggal lagi sekolah untuk menjadi juruletih RIMUP. RIMUP ni sat lagi aku carutkan. Lepas dah habis RIMUP sambung pula dengan cuti raya korban dan bila dah cuti ingat aku hadap sangat nak buat kerja-kerja sekolah? Tak mau aih!



4) Tak cukup dengan jadi pengawas peperiksaan, sekolah hantar aku untuk jurulatih program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Kiranya peserta adalah dari berbilang bangsa, agama dan warna kulit. Tiga hari menjadi penunggu di Pusat Ko-Kurikulum Daerah Baling tapi aku berkampung siang saja. Malam aku cabut balik rumah. Bunyi nama macam gah, tapi nahaiiii boleh masuk rancangan Bersamamu TV3. Sebenarnya aku tak berapa faham kenapa masih ada program RIMUP nak mengintegrasikan murid bagai. Kata dah satu Malaysia?




5) Bagi anda yang tak terdedah dengan dunia seorang guru, aku suka nak berkongsi tentang guru bahasa Inggeris. Di mana-mana negeri, mana-mana daerah, mana-mana sekolah pun, guru bahasa Inggeris dikira macam tak reti mengajar. Ada saja program itu, program ini, dan paling terkini aku baru sahaja menduduki peperiksaan APTIS. Malaih aku nak google APTIS tu hapakebenda tapi ada listening, ada speaking, ada writing segala dan lepas tu kena attend course di British Council. Punah harapan nak berjimba di hari Sabtu. PPD pula melontarkan kata-kata manis seperti pesakit diabetes kononnya kami adalah insan terpilih. Ahhhh terpilih la sangatttt. Cikgu yang lagi 10 tahun nak pencen pun kena juga attend course. Makanya dapat aku bayangkan tahun depan blog aku ni mungkin seperti bangkai bernyawa. Maklumlah tuan badan sibukkk..nak berjimba pun takdan gamaknya!



6) Selepas seminggu berSPM, ada gap satu minggu yang membuatkan nafsu untuk berblogging nak menaip entri baru muncul di hati. Namun hajat di hati tak kesampaian. Jangan ingat seminggu gap aku duduk saja boleh kelebet laptop online 24 jam baca BeautifulNara dan Malaysiakini. Memang aku memanjang online...tapi online nak masukkan PBS. Huiiii yang ini memang bikin aku naik hantu dan mencarut ringan di dalam hati. Sehari nak key-in satu budak pun seperti mengandung sembilan bulan. Lama menunggu dan page loading boleh sembahyang sunat dua rakaat. Itu pun belum tentu page dah habis loading.








Pendek kata..ya aku yang pendek ini berkata. Yang panjang duduk diam. Pendek kata, terlalu banyak kerja-kerja lain sehingga tidak mampu aku menghapdet blog secara istiqamah seperti masa lalu. Doakan ketidaksibukkan aku maka aku akan kembali menghangatkan arena blogging ini. Mungkin aku boleh jadi lebih hebat dari blogger femes yang kini dah berlakon dan kalau melawat blognya, entri advertorial saja yang banyak. Itupun gigih ramai yang mengomen. Hahaha. *memang betoi-betoi nak mampoih aku ni tetiba perli blogger femes*










Thursday, December 6, 2012

Jenis-jenis pelajar yang dapat dilihat di dalam dewan peperiksaan




Memilih pekerjaan sebagai guru, anda tidak mengelak mahupun menepis daripada menjadi pengawas peperiksaan. Sekurang-kurangnya sekali seumur pekerjaan, anda akan menjadi pengawas untuk peperiksaan-peperiksaan umum yang terdapat di Malaysia seperti UPSR, PMR, SPM, MUET dan STPM. Tahun ini merupakan kali keempat aku mengawas peperiksaan dan kali pertama untuk peperiksaan SPM. Sungguh bahagia apabila aku hanya perlu mengawas selama enam hari. Empat kali mengawas peperiksaan, aku dapat mengklasifikasikan jenis-jenis pelajar yang terdapat di dalam peperiksaan.





1) Pelajar masa depan gemilang
Pelajar yang masa depannya gemilang dapat dilihat dari sebelum bermulanya satu-satu kertas. Sebelum melangkah masuk ke dewan, tangan diangkat memohon doa. Doanya sudah pasti panjang dan boleh jadi qunut nazilah juga dibaca. Melangkah masuk ke dalam dewan menggunakan kaki kanan. Kalau tersalah rela berundur walaupun tahu belakangnya ramai yang sedang menyerbu dan diri tak ada side mirror. Sewaktu berjalan masuk, mulut terkumat-kamit. Terkumat-kamit membaca doa ataupun menghafal nota-nota penting. Nak duduk doa. Tatkala ketua pengawas mengumumkan boleh mula menjawab soalan, ditadahnya tangan sekali lagi berdoa. Menjawab pula dengan khusyuk. Sekali sekala tengok jam bimbang tak cukup masa. Masa menjawab digunakan sepenuhnya. Agak tak cukup kertas, laju angkat tangan. Aku yang mengawas pun jalan laju macam penguin nampak ikan dalam air jernih tak sabar nak terjun laut. Dah cukup masa, kadang tak henti menulis. Kalau dah habis, semak dua tiga kali. Bila pengawas dah kutip, baca doa lagi. Nak keluar dewan, ucap terima kasih, senyum dan lagi ada doa. Huiiii. Kagum aku. Macam-macam doa boleh ingat. Cerah hati. Tahniah. Terus aku nampak bayang A lurus untuk pelajar begini.




2) Pelajar PJJ
Bagi anda yang bersekolah di asrama penuh, atau sekolah budak-budaknya pandai belaka, pasti tidak tahu pelajar sekolah menengah ramai yang belajar secara PJJ. Bulan Januari datang sekolah, mendaftar dan ambil buku teks. Yuran PIBG belum tentu dia bayar. Tak apa. Itu boleh kutip hari nak ambil keputusan. Masa setiausaha peperiksaan minta guru kelas kutip duit yuran SPM, dia pun bayar dan semangat isi borang fotostat kad pengenalan segala. Bulan berikutnya, 20 hari sekolah, 15 hari sahaja dia muncul. Bulan berikutnya 10 hari dan semakin bertambah bulan semakin kurang hari kedatangannya. Bulan 7, bulan 8 terus hilang seperti disorok bunian. Tapi kalau disorok bunian petang dan malamnya yang kita tak nampak. Tapi pelajar PJJ, petang dan malamnya berpesta muda mudi tak ingat mati.


Tiba di hari peperiksaan, boleh muncul tanpa rasa malu dan datang bergelak ketawa seperti sudah berkurun dia bersedia. Padahal sekolah haram tak datang dan biasanya guru-guru menggelarkan mereka PJJ. Nama saja PJJ, tapi jangan haraplah mereka di rumah membaca dan mengulangkaji secara maya. Mungkin lebih banyak membuta dari mencelik. Mereka ini di dalam dewan peperiksaan datang sekadar menyakitkan hati guru di sekolah dan guru yang mengawas. Sudahlah tak mahu menjawab soalan. Di dalam dewan usik mengusik rakan yang ada dan ada yang perasan kacak dimengoratnya pengawas yang comel seperti aku. Huahuahua. Akhirnya jumpa point untuk aku perasankan diri. Kahkahkah dan sila jangan carutkan aku. Baiklah, mari kita sambung. Biasanya aku selalu memaksa mereka keluar dari dewan peperiksaan. Bukanlah aku memaksa dengan menghalau atau menggunakan teknik mengugut atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya aku akan mengulang tanpa jemu yang mereka dibenarkan keluar selepas 30 minit masa peperiksaan berlalu. Di samping itu aku juga meracuni fikiran mereka dengan kelazatan makanan di kantin atau keempukkan tilam di rumah. Hihihi




3) Pelajar ganjil
Pelajar ganjil bukanlah pelajar yang mempunyai angka giliran yang ganjil di dalam dewan peperiksaan. Tetapi terma ini merujuk kepada pelajar yang bersikap ganjil seolah-olah dia berada di dalam dunianya sendiri. Sewaktu pelajar lain gigih menjawab mahupun menghentam jawapan, dia sibuk membelek benang yang diberi. Benang yang sepatutnya diikat pada kertas dipusing-pusing pada hujung pen atau pensel dan kemudian tersengeh sendiri. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran beliau tetapi biasanya aku akan berjalan menghampiri pelajar begini dan memberi pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan dan aku sendiri pun tak tahu bagaimana hendak mengekspresikan pandanganku itu dengan kata-kata.


Lihat dunia pelajar ini. Wajahnya tampan tapi stokin yang dipakai....nahaiiii


Pesanan penaja: Muka yang nampak kental jangan disangka gagah. Mungkin punggungnya longgar

Senang cerita, biasanya selepas menerima pandangan begitu, pelajar begini akan mengamalkan konsep tomma'ninah. Makna kata berhenti seketika dan sejurus aku berlalu pergi, dia menyambungnya lagi seolah-olah tidak terkesan dengan pandangan aku tadi. Cis!





4) Pelajar taqlid
Sebagai bekas pelajar sekolah agama disamping diberi jolokkan anak ustaz...hahaha. Tetiba aku rasa macam tak berapa nak kena perkataan jolokkan tu. Tak apa. Tak penting. Makanya aku rasa wajar aku menggunakan terma berunsurkan bahasa arab. Biasalah, bajet handal serupa hebat sangat tak lain tak bukan akulah.


Makanya pelajar taqlid adalah pelajar yang mengikut perbuatan rakan-rakannya yang lain secara mengkhinzir buta. Sebagai contoh, kawannya angkat tangan mohon ke tandas, dia juga sibuk cerita pundinya size XS maka mahu turut serta ke tandas. Dilihat kawan yang lain angkat tangan minta kertas, dia juga sibuk mahu kertas padahal kertas yang diberi awalnya guna bahagian atasnya sahaja. Ya, bahagian atas yang perlu ditulis nombor kad pengenalan, angka giliran, nama matapelajaran dan kod kertas. Itu sahaja tetapi dek kerana nak mengikut kawan dan konon tak mahu ketinggalan, gigih angkat tangan minta itu ini.





5) Trend-setter
Yang trend-setter begini setiap kelas atau dewan peperiksaan seorang sahaja. Biasanya muka yang sama dan pakwe sekolah yang akan jadi trend-setter. Maksud aku di sini, ini adalah pelajar pertama yang angkat tangan untuk meninggalkan dewan peperiksaan. Pelajar-pelajar lain sebenarnya tak tahan juga berlama-lamaan di dalam dewan bimbang punggung mereka berakar barangkali. Tetapi masing-masing tidak mahu jadi yang pertama walaupun mendapat isyarat dari rakan seperjuangan untuk bangun secara serentak tetapi masih tidak bangun-bangun dan keluar dari dewan peperiksaan. Aku kadangkala mahu sikukan sahaja pelajar begini kerana sesungguhnya mata aku rimas melihat aksi mereka. Dan secara tiba-tiba sewaktu aku hampir melampiaskan marah aku, akan ada penyelamat di mana tanpa ragu-ragu dan mempamerkan wajah kental tangan diangkat dan mohon untuk keluar. Dan tak tunggu lama, pelajar-pelajar taqlid tadi akan turut akan tangan dan keluar secara berjemaah.




6) Pelajar buaih
Buaih ini adalah dialek utara yang kata dasarnya adalah buas. Tetapi buas ini bukan bererti liar seperti buaya di dalam sungai Amazon mahupun amazon dot kom. Buaih boleh didefinisikan sebagai tak boleh duduk diam. Pelajar buaih di dalam dewan peperiksaan merujuk kepada pelajar yang peralatan menulisnya kerap kali jatuh. Kalau bukan tudung pen, boleh jadi kad pengenalan atau slip peperiksaannya jatuh. Sebagai pengawas sudah pasti aku perlu mengutip barang yang jatuh dan dengan tertib meletakkannya semula di atas meja pelajar begini. Tunggu lagi barang 10 minit benda lain pula yang dijatuhkan. Sesungguhnya pelajar yang sama yang akan jatuh segala benda yang ada di atas mejanya. Mujur anggota badan yang lain memang bersambung sejak azali. Kalau semua boleh main tanggal, tak mustahil benda dalam seluar pun tertinggal atau terjatuh tengah jalan.






Ada juga pelajar-pelajar yang tanpa rasa malu angkat tangan tanya jawapan pada pengawas. Kalau peperiksaan Bahasa Inggeris, ada yang tanpa ragu-ragu mohon aku berikan maksud perkataan. Ada juga jenis yang angkat tangan dan bila pengawas tanya ada apa dijawabnya dia sedang mengeliat. Yang ini memang tunggu hari nak makan kaki aku! Mengawas peperiksaan sebenarnya sangat menjemukan dan meletihkan. Perlu berkawad, tak boleh bersembang, perlu sentiasa peka membuatkan aku pengsan di atas katil tatkala sampai di rumah. Dan akhir kata, pengawas peperiksaan tak sama dengan pengawas sekolah. Pengawas peperiksaan baik hati dan comel. Contoh mudah sudah pastilah diriku. Pengawas sekolah...malas aku nak cerita.













LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...